Saya berjalan-jalan sendirian pada suatu hari semasa tempoh kuarantin COVID-19 apabila saya ternampak satu tulisan pada jalan laluan masuk yang menarik perhatian saya. “Pilih sukacita. Tulis apa yang anda bersyukur di sini.” Satu bekas berisikan kapur diletakkan di tepi jalan, berhampiran papan tanda itu. Antara tulisan yang banyak, ini jawapan-jawapan yang ditulis oleh orang yang melalui tempat tersebut: makanan, rumah, ibu dan bapa saya, anjing saya, gula-gula, dan kasih Tuhan. Laluan tersebut dipenuhi dengan kata-kata syukur.
“Dipenuhi dengan kata-kata syukur.” Penulis Mazmur 33 memiliki hati seperti itu. Dalam mazmur ini, dia berterima kasih kepada Tuhan atas perbuatan-Nya dan kasih-Nya yang tidak pernah gagal (ayat 4-5), keagungan-Nya dalam penciptaan (ayat 6-7), dan berkat-Nya kepada umat-Nya (ayat 12). Penulis memuji Tuhan atas pengetahuan, penjagaan, dan kuasa-Nya (ayat 13-19). Pemazmur telah melihat bahawa dunia dipenuhi dengan kebaikan Tuhan, dan dia mengingatkan bangsa Israel yang lain: “Kita berharap kepada TUHAN; Dialah penolong dan pelindung kita. Kita bersukacita kerana Dia; kita percaya kepada nama-Nya yang suci” (ayat 20-21). Charles Spurgeon menulis ayat ini: “Jiwa kita, hidup kita, mesti bergantung pada Tuhan; kita perlu percaya kepada-Nya … dengan segala yang kita miliki dan segenap hidup kita.
Tuhan memberi kita banyak alasan untuk memiliki hati seperti pemazmur yang dipenuhi dengan kesyukuran. Semoga kita percaya kepada-Nya, memberi Dia pujian yang layak diterima-Nya, dan “nyanyilah dengan suara yang kuat!” (ayat 3) – Anne Cetas
Kembali ke laman “Makanan bagi Jiwa”