Belajar daripada Kesilapan
Bagi mengelakkan kesilapan kewangan pada masa hadapan, seperti keruntuhan ekonomi yang berlaku pada tahun 1929 dan 2008, Perpustakaan Kesilapan (“Library of Mistake”) telah diasaskan di Edinburgh, Scotland. Perpustakaan tersebut menampilkan koleksi lebih daripada dua ribu buku yang boleh membantu mendidik ahli-ahli ekonomi generasi yang akan datang. Selain itu, ia menjadi contoh sempurna kepada pepatah yang dinyatakan oleh para kurator perpustakaan tersebut, “orang pintar akan terus melakukan perkara bodoh.” Para kurator percaya bahawa satu-satunya cara untuk membina ekonomi yang kukuh adalah belajar daripada kesilapan masa lalu.
Mahkota Kehidupan
LeeAdianez Rodriguez-Espada yang berumur 12 tahun berasa bimbang bahawa dia akan lewat untuk menyertai perlumbaan larian 5 km. Kegelisahannya menyebabkan dia berlari 15 minit lebih awal daripada masa mula lariannya dengan peserta-peserta separuh maraton (jarak yang lebih daripada 21 km!). LeeAdianez telah ketinggalan, maka dia terus berusaha untuk berlari. Namun kira-kira selepas berlari sepanjang 6 km, garisan penamat masih tidak kelihatan. Barulah dia sedar bahawa dia telah menyertai perlumbaan yang lebih panjang dan sukar. Budak perempuan ini tidak berputus asa, sebaliknya dia meneruskan larian. Akhirnya dia menamatkan perlumbaan sejauh 21 km dan mendapat tempat ke-1,885 antara 2,111 orang penamat. Ketabahan yang ditunjukkan sungguh mengagumkan!
Penyelamatan Tuhan
Seorang sukarelawan yang berbelas kasihan telah dipanggil sebagai “malaikat pelindung” kerana tindakannya yang berani. Masa itu Jake Manna sedang memasang panel solar di tapak kerjanya, namun dia terus menyertai pasukan pencarian untuk mencari seorang anak perempuan berusia lima tahun yang hilang. Semasa jiran-jiran mencari di garaj dan halaman rumah mereka, Manna mengambil jalan yang menuju ke kawasan hutan berhampiran. Di situ dia ternampak budak itu sudah tenggelam separas pinggang di dalam paya. Dengan segera dia mengharungi lumpur yang melekit dengan berhati-hati, kemudian menarik budak itu keluar dan membawa dia pulang kepada ibunya yang penuh kesyukuran. Walaupun anak itu dalam keadaan lembap, kini dia terselamat tanpa cedera.
Berserah kepada Tuhan
Tuhan tidak mengendahkan orang yang bersandar kepada kekuatannya sendiri; Dia menolong mereka yang percaya dan bergantung pada-Nya. Jonathan Roumie—pelakon yang memainkan watak Yesus dalam siri televisyen popular “The Chosen”, yang berdasarkan kisah Injil—menyedari tentang perkara ini pada bulan Mei tahun 2018. Roumie telah menetap di Los Angeles selama lapan tahun, hidup dalam kemiskinan, hanya cukup makan, dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Dengan kehidupannya yang tidak tentu arah, pelakon tersebut telah mencurahkan hatinya dan menyerahkan kerjayanya kepada Tuhan. “Saya mengucapkan doa ini dengan bersungguh-sungguh, ‘Aku berserah. Aku berserah.’ ” Kemudian pada hari tersebut, dia telah menjumpai 4 keping cek dalam peti suratnya dan tiga bulan kemudian, dia telah dipilih untuk melakonkan watak Yesus dalam siri televisyen “The Chosen”. Roumie telah menyedari bahawa Tuhan akan menolong sesiapa yang percaya kepada-Nya .
Melayani Kristus Secekapnya
Pernahkah anda mendengar tentang Dewan Kemasyhuran Tukang Jahit (The Sewing Hall of Fame)? Ia ditubuhkan pada tahun 2001 dan mengiktiraf orang-orang yang telah memberikan “impak yang berkekalan terhadap industri jahitan rumah dengan sumbangan-sumbangan yang unik dan inovatif melalui pendidikan dan pembangunan produk jahitan.” Martha Pullen, merupakan salah seorang tokoh yang telah diabadikan dalam barisan tersebut pada tahun 2005. Martha digambarkan sebagai “seorang wanita yang disebutkan dalam Amsal 31... yang tidak pernah lupa untuk mengakui secara terbuka tentang dari mana asalnya kekuatan, ilham dan berkatnya.”
Seruan yang Jelas
Apabila bayi menangis, itu isyarat bahawa anak itu letih atau lapar, bukan? Ya, menurut para doktor di Universiti Brown, perbezaan halus dalam tangisan bayi yang baru lahir juga dapat memberikan petunjuk penting tentang masalah lain. Para doktor telah mencipta program komputer yang mengukur faktor tangisan seperti nada, kelantangan dan tahap bunyi tangisan untuk menentukan sama ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem saraf pusat bayi.
Masalah yang “Baik” untuk Tuhan
Pada suatu hari, seorang pelajar perempuan darjah enam menyedari bahawa seorang rakan sekelasnya mencederakan tangannya dengan pisau cukur. Oleh sebab dia prihatin terhadap rakan itu, maka dia mengambil pisau cukur itu daripada rakannya dan membuangnya. Hairannya, tindakan perempuan itu tidak dipuji, sebaliknya dia menerima hukuman digantung sekolah selama sepuluh hari. Mengapa? Kerana dia dianggap memiliki pisau cukur walaupun hanya untuk sekejap—benda yang dilarang bawa ke sekolah. Apabila dia ditanya jika dia akan mengulangi tindakan itu, dia menjawab: “Walaupun saya akan menghadapi masalah, … saya akan melakukannya lagi.” Seperti tindakan pelajar itu yang cuba melakukan kebaikan tetapi telah mengakibatkan masalah ke atas dirinya sendiri (hukuman digantung sekolah kemudian dibatalkan), Yesus yang campur tangan juga menyebabkan Dia bermasalah dengan para pemimpin agama.
Kekal di Landasan Bersama Tuhan
Bertahun-tahun dahulu, sebuah kereta api yang membawa 218 orang penumpang tergelincir dari landasannya di barat laut Sepanyol. Kemalangan tersebut telah meragut nyawa 79 orang penumpang dan 66 orang lagi dimasukkan ke hospital. Pemandu kereta api tersebut tidak dapat menjelaskan kemalangan itu, tetapi rakaman video mendedahkan apa yang telah berlaku. Kereta api tersebut bergerak terlalu laju sebelum mendekati sebuah selekoh maut. Had laju yang dibenarkan telah ditetapkan untuk melindungi semua penumpang di dalam kereta api. Walaupun pemandunya merupakan pemandu veteran selama tiga puluh tahun untuk syarikat kereta api kebangsaan Sepanyol, tetapi entah apa alasannya dia tidak menghiraukan had laju yang ditetapkan. Akibatnya, ramai orang kehilangan nyawa mereka.
Seruan Meminta Tolong
Ketika David Willis yang berada di tingkat atas Kedai Buku Waterstones turun ke tingkat bawah, dia mendapati lampu kedai sudah padam dan pintu telah dikunci. Dia terperangkap di dalam kedai tersebut! Ketika berasa cemas, dia membuka Twitter lalu mentwit: “Hai @Waterstones. Saya sudah terkunci di dalam kedai anda di Trafalgar Square selama dua jam. Tolonglah lepaskan saya.” Tidak lama selepas ciapan Twitter itu, dia diselamatkan.