Batasan dalam Percintaan
Manusia sememangnya diciptakan untuk berhubung dan berinteraksi dengan satu sama lain. Perasaan kasih, sayang, dan perasaan tertarik kepada orang yang berlawanan jenis adalah perasaan yang normal dan memang ada di dalam DNA setiap manusia. Bagaimanapun, hubungan adalah sesuatu yang sangat kompleks dan rumit untuk dibincangkan, apalagi untuk dijalani. Ada banyak masalah yang timbul, terutamanya apabila hubungan tersebut tidak dibina dan didasarkan pada firman Tuhan. Satu masalah yang semakin meruncing ialah kes pembuangan bayi. Kes ini meningkat tahun demi tahun. Isu pembuangan bayi kebanyakannya berkaitan dengan kes kehamilan remaja di luar ikatan perkahwinan. Menurut kajian, sebanyak 34.5 peratus daripada kes tersebut melibatkan mereka yang berada dalam usia persekolahan dari semuda 10 hingga 17 tahun. Gadis belasan tahun di bawah usia 16 tahun menjadi hamil kerana kegiatan seksual suka sama suka sebelum bernikah.
Hubungan yang sihat dan memuliakan Tuhan ialah hubungan yang didasarkan pada firman Tuhan. Raja Salomo memberi peringatan kepada puteri-puteri Yerusalem supaya “jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya” (Kidung Agung 2:7, 3:5, AVB) atau sebelum ada ikatan perkahwinan yang sah. Alkitab menonjolkan perbuatan seks di luar perkahwinan sebagai dosa dan perbuatan cabul. Ini menunjukkan Tuhan sememangnya memandang serius isu ini dan sebagai anak-anak Tuhan, kita perlu berpegang kepada firman Tuhan.
Cinta dan seks adalah dua unsur yang berbeza. Cinta tidak perlu dibuktikan melalui seks dan seks tidak semestinya cinta. Cinta yang sejati bukan hanya pada rasa dan “getarannya” tetapi memerlukan komitmen, kesabaran dan penguasaan diri. Ia memerlukan masa untuk bertumbuh dan menjadi mekar. Jika unsur ini diterapkan dalam hubungan, pasangan akan menjadi matang dan lebih bersedia masuk ke alam berumah tangga. Sebaliknya, jika pasangan tersebut terlanjur atau jatuh ke dalam dosa ini, mereka akan terluka dan perlu menanggung akibatnya.
Saya percaya, anak-anak muda kristian tahu bahawa hubungan seks di luar perkahwinan adalah dosa. Tetapi perlu diingat bahawa, dosa itu adalah perangkap. Maksudnya, seseorang mungkin tidak berniat melakukannya dan tidak merancang, namun terjerat sehingga gagal mengawal diri. Oleh itu, anak-anak muda perlu memiliki disiplin dan batasan dalam hubungan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk menjalin hubungan yang sihat dan menyenangkan Tuhan.
- Pasangan yang Seiman
Alkitab berkata “Janganlah berpasangan dengan orang yang tidak beriman. Pasangan begitu tidak sepadan; kerana adakah persamaan antara yang benar dengan yang derhaka? Dapatkah terang bersatu dengan gelap?” (2 Korintus 6:14 AVB) Ini sangat penting kerana dua orang yang takut akan Tuhan dan telah menerima ajaran yang benar akan menghormati satu sama lain dan tidak akan mempunyai niat yang jahat terhadap satu sama lain. Di samping itu, pasangan tersebut boleh saling mendorong dalam iman, bertumbuh dan melayani bersama-sama.
- Bersikap Terbuka dalam Hubungan
Gereja dan anak-anak muda perlu bersikap terbuka dalam hal berkaitan percintaan atau “bercouple”. Pasangan bercinta tidak harus “menyembunyikan” percintaan, sebaliknya perlu berterus-terang dengan ibu-bapa dan para pemimpin gereja. Dengan ini secara tidak langsung, pasangan tersebut boleh dipantau dan dibimbing supaya sentiasa menjaga batas dalam pergaulan. Ibu bapa dan pihak gereja juga tidak harus memandang percintaan remaja sebagai satu kesalahan dan cepat menjatuhkan hukuman. Maka, apabila kedua-dua pihak saling terbuka, secara tidak langsung ini akan menutup ruang bagi kuasa kegelapan menguasai dan memanipulasikan hubungan tersebut.
- Menetapkan Peraturan dan Sempadan
Setiap pasangan yang bercinta perlu ada peraturan dan meletakkan sempadan yang harus dipatuhi. Peraturan ini boleh didasarkan pada firman Tuhan, peraturan di sekolah, pesan daripada ibu bapa dan para pemimpin gereja. Anggaplah ini sebagai panduan dan disiplin dalam menjaga keharmonian hubungan dan batas pergaulan. Perlu diingat perjalanan anda masih jauh lagi dan anda perlu bertanggungjawab terhadap masa hadapan yang akan anda jalani.
- Mendengar Pandangan dan Nasihat Orang Dewasa
Anak muda perlu mengambil kira pandangan dan nasihat orang dewasa. Orang yang hangat bercinta sangat sukar untuk melihat kelemahan pasangannya. Hati yang sedang berbunga-bunga akan nampak semua yang baik pada teman lelaki atau teman wanitanya. Justeru itu, sesiapa yang cuba muncul di tengah-tengah akan dilihat sebagai “musuh”; termasuk kawan-kawan, ibu bapa dan sesiapa sahaja. Dalam bahasa Inggeris, situasi ini disebut sebagai “infatuation” iaitu perasaan tergila-gila akan seseorang dan ini boleh menyebabkannya tidak dapat berfikir dengan waras. Ini akan mendorong kepada tindakan yang salah seperti lari bersama pasangan atau terperangkap dalam hubungan seks. Seorang yang bijak dan mahu menyenangkan Tuhan akan mencari kehendak Tuhan dan mendengar pandangan orang lain.
Selain itu, gereja juga memainkan peranan yang penting untuk membantu para remaja berhadapan dengan cabaran ini. Ramai orang bukan kristian, mempunyai gambaran bahawa kristian membenarkan seks di luar pernikahan. Ini adalah pengaruh daripada apa yang ditonjolkan dalam media-media elektronik dan juga media sosial. Tidak mustahil juga, sekiranya anak muda menjadi keliru. Maka, gereja perlu membetulkan perspektif ini dengan mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran (2 Timotius 3:16). Gereja perlu memperbanyak pengajaran dan penulisan, dan menggunakan kesempatan kemajuan teknologi komunikasi sekarang untuk menyebarkan dan berkongsi kebenaran firman Tuhan. Perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih terbuka supaya anak-anak muda ada sumber rujukan dan mendapat maklumat yang lebih tepat. Maka dengan itu mereka akan lebih bijaksana dalam menangani isu-isu berkaitan percintaan.
Tentang penulis
Pastor Saripah anak Belaja berasal dari Keranggas Pantu, Sri Aman, Sarawak. Beliau melayani di Gereja Shalom Fellowship Kuala Lumpur selama 17 tahun dan masih melayani di gereja tersebut sehingga sekarang (2021).