Berita Baik Krismas

 

Lukas 2:10: Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang.

 

Pengertian Natal yang sebenar semakin pudar dalam kalangan orang Kristian hari ini, malah Natal juga turut disambut oleh orang bukan Kristian kerana ramai yang beranggapan bahawa Natal adalah kesempatan untuk bertukar hadiah, makan-makan, minum-minum dan bercuti semata-mata. Di luar sana, kita dapat lihat shopping malls memasang lagu Natal sambil dihiasi oleh perhiasan-perhiasan Natal dan watak utama ialah Santa Claus! Pubs, bistro, lounge atau karaoke center turut melakukan promosi-promosi bertemakan perayaan Natal untuk menarik para pelanggan berpesta pora di ambang malam Natal. Ada juga segelintir yang membuat persiapan atau meraikan Natal dengan meminum arak sehingga mabuk.

 

Namun bagi orang Kristian sejati, Natal membawa pengertian yang mendalam kerana ada Berita Baik yang menggembirakan telah dikongsikan lebih kurang dua ribu tahun yang lalu. Injil Lukas 2:11 (TB) berkata, “Hari ini telah lahir bagimu Juruselamat, yaitu Kristus, Tuhan, di kota Daud” dan hal itu menjadi khabar sukacita bagi orang-orang yang “letih lesu dan berbeban berat” (Matius 11:28 TB).

 

Kenapa Yesus perlu datang ke dunia?

manusia tidak berupaya menyelamatkan diri sendiri

 

Jawapan paling sederhana adalah kerana manusia tidak berupaya menyelamatkan diri sendiri. Secara kontekstual dalam Alkitab, “mereka” yang letih lesu dan berbeban berat dalam ayat di atas bermaksud orang-orang Yahudi yang mengalami kelelahan kerana melakukan tuntutan hukum Taurat untuk mendapatkan keselamatan, maka itu sebabnya Yesus menawarkan pelawaan melegakan ini kepada mereka dan kita juga pada hari ini.

 

Peringatan, Yesus datang ke dunia bukan untuk meniadakan Hukum Taurat tetapi menggenapinya dan melalui Dia, manusia tidak perlu lagi bergantung pada usaha diri sendiri untuk mendapatkan keselamatan kekal kerana tiada apa-apa yang dapat kita lakukan untuk mengembalikan kemuliaan Tuhan yang telah hilang disebabkan dosa kita, kecuali melalui penebusan Yesus Kristus. Inilah sebabnya Yesus perlu datang ke dunia dan meninggalkan takhta-Nya di syurga.

 

Persembahan korban yang sempurna

Yesus perlu datang ke dunia dan meninggalkan takhta-Nya di syurga

Alkitab mencatatkan bahawa kita semua telah menjadi seteru Tuhan setelah moyang kita, Adam dan Hawa melanggar satu-satunya perintah Tuhan dalam taman Eden. Semenjak itu, manusia jatuh ke dalam dosa dan tidak seorang pun yang benar atau sempurna di hadapan Tuhan. Ini dapat dibaca dalam Perjanjian Lama, bahawa bangsa Israel harus mempersembahkan korban bakaran untuk mendapatkan pengampunan Tuhan atas salah laku, pelanggaran, pemberontakan atau dosa mereka

 

Namun korban-korban ini tidak cukup baik atau sempurna untuk menutup dosa-dosa manusia kerana korban-korban ini bersifat sementara. Maka itulah sebabnya Tuhan mengutus anak-Nya yang tunggal supaya Dia menjadi korban yang sempurna dan jalan keselamatan kepada orang-orang yang percaya kepada-Nya. Injil Yohanes 1:29 berkata, “Pada keesokan harinya Yohanes melihat Yesus datang kepadanya dan ia berkata: Lihatlah Anak domba Allah, yang menghapus dosa dunia.” Ini sebabnya kita tidak lagi mengorbankan binatang untuk mendapat pengampunan kerana Kristus Yesus telah mengambil posisi sebagai korban terbaik dan sempurna, supaya masalah dosa kita diselesaikan selama-lamanya di hadapan Tuhan.

 

Dia menjadi korban yang sempurna dan jalan keselamatan

 

Hari Natal yang tidak lagi sama

Maka, Natal bukan sebuah perayaan semata-mata tetapi mempunyai maksud tersirat yang mendalam dan setiap orang Kristian sejati harus tahu kepentingan dan maksud perayaan Natal itu. Natal menceritakan 3 perkara, iaitu Kasih Bapa, Kedatangan Kristus dan Respons Orang Percaya yang tersirat dalam ayat hafalan orang Kristian dalam Injil Yohanes 3:16 (TB), “Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal.”

 

Natal menceritakan 3 perkara, iaitu Kasih Bapa, Kedatangan Kristus dan Respons Orang Percaya

 

Kesimpulannya, Tuhan mengasihi orang-orang yang berdosa dan memberi penyelesaian, iaitu melalui kedatangan Yesus Kristus sebagai korban Anak Domba Yang Sempurna. Hasilnya, mereka yang menerima dan mengikut Dia akan beroleh kehidupan yang kekal. Jadi, bagaimana seharusnya kita meraikan Natal? Kita harus meraikan Natal dengan penuh rasa bersyukur dan hati yang gembira kerana kita telah diberikan hadiah terhebat dan tidak ternilai, iaitu Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penebus kita. Oleh Dia, kita diperdamaikan dengan Tuhan dan layak digelar sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.

 

Tidak salah bercuti, kunjung-mengunjung, makan-makan atau minum-minum (bukan mabuk-mabuk), saling bertukar hadiah, tetapi biarlah pengertian Natal kita betul, berpusat kepada Kristus Yesus. Walaupun Natal secara simboliknya mengingatkan kita akan kelahiran Mesias ke dunia, ia harus dihayati dan diraikan dengan rasa hormat, kagum dan penuh kesedaran tentang kasih Tuhan. Charles Spurgeon berkata, “Jika anda risau Natal anda tidak akan meriah atau bermakna, datang kepada Tuhan dengan pergumulan atau bebanmu dan anda akan mulai bergembira dan bersukacita kerana Kristus telah diberikan bagimu.”

 

mereka yang menerima dan mengikut Dia akan beroleh kehidupan yang kekal

 

Salam Natal daripada saya dan keluarga untuk semua pembaca Pedoman Harian. Sesungguhnya, Yesus ialah Berita Baik yang menggembirakan. Dialah menjadi sebab utama kita meraikan Natal. Haleluyah, Puji Tuhan!

 


Tentang Penulis
Pr. Billy Quick merupakan Pastor Sidang di Sidang Injil Borneo Nilai, Negeri Sembilan dan berasal dari Sarawak. Isteri beliau bernama Carol Elizeberth, berasal dari Sabah dan anak mereka, Zendaya Phebe baru dilahirkan pada bulan Oktober lalu. Pr. Billy juga seorang pelajar separuh masa dan merupakan calon program kedoktoran (Doctorate of World Christian Studies).

 

read_more