3 Cara Melibatkan Diri dalam Misi Allah

 

Waktu saya di bangku sekolah teologi, saya masih ingat banyak perbahasan antara pelajar-pelajar teologi tentang kurnia-kurnia Roh Kudus. Ada yang mengatakan wujudnya kurnia menyembah, kurnia melakukan pelayanan misi, kurnia memberi, kurnia berdoa syafaat dan sebagainya.

 

Dalam proses berbincang, seorang rakan berkata bahawa bukannya semua orang dipanggil untuk melakukan pelayanan misi; ada yang dipanggil untuk duduk di rumah dan mendoakan pelayanan misi. Memikirkan hal itu, saya menolak jawapan itu.

 

Pertama kerana saya tidak percaya bahawa pelayanan misi adalah suatu kurnia. Semua orang Kristian dipanggil untuk melibatkan diri dalam misi, tanpa sebarang pengecualian. Kedua, saya tidak percaya orang Kristian ada kurnia atau panggilan khusus untuk berdoa sahaja. Orang yang percaya demikian hanya menggunakan hal itu sebagai alasan untuk tidak keluar ke ladang pelayanan dan melakukan pekerjaan Tuhan.

Semua orang Kristian dipanggil untuk melibatkan diri dalam misi

 

Kembalilah kita kepada maksud misi. Apa itu misi? Misi datang daripada perkataan missio (bahasa Latin) yang sama maksud dengan perkataan apostolos (bahasa Yunani), iaitu orang yang diutus; menjadi utusan untuk sesuatu, tetapi secara khusus bagi orang Kristian, diutus oleh Allah untuk memberitakan Injil.

 

Masalahnya, jika kita mendefinisikan missio hanya sekadar sebagai orang yang diutus ke tempat yang jauh, lintas daerah, negara, lautan dan budaya, kita mewujudkan suatu definisi yang terlalu sempit. Akibatnya ramai orang Kristian di gereja tidak mahu melibatkan diri dalam misi Allah kerana berandaian bahawa mereka harus meninggalkan ahli keluarga, isteri dan anak untuk pergi ke tempat yang jauh.

 

Untuk itu, saya akan cuba menghuraikan 3 cara untuk melakukan atau terlibat dalam misi Allah.

 

1) Pergi

Pertama, saya percaya bahawa pelayanan misi adalah pengutusan untuk membawa Injil kepada orang yang tidak terjangkau. Misi itu boleh dilakukan di negeri sendiri atau di luar negara —tidak ada peraturan dalam perkataan misi yang mengehadkan misi kepada pelayanan luar negara dan lintas perairan.

Di mana ada orang yang perlu mendengar Injil, di situlah ladang misi kita

Di mana ada orang yang perlu mendengar Injil, di situlah ladang misi kita. Keluhan orang Kristian bahawa pelayanan misi terlalu jauh ada kalanya menjadi alasan sahaja. Di negeri Sabah, kita tidak perlu fikirkan pelayanan misi ke luar negara; pelayanan misi itu dibawa oleh Tuhan kepada tanah air kita sendiri dalam rupa kedatangan orang asing dari negara-negara jiran.

 

Ini memudahkan pelayanan misi gereja di Sabah. Tidak perlu pergi jauh-jauh; misi itu ada di depan kita! Pelayanan misi juga terdapat di penjara, hospital, rumah pelacuran, dan sarang penagih dadah. Misi itu jangan dihadkan kepada orang yang tinggal di hutan, tidak bertamadun, berpakaian cawat; misi itu boleh sahaja berlaku di media sosial dan alam maya.

 

misi itu ada di depan kita!

 

2) Berdoa

Kedua, saya percaya bahawa ada orang-orang tertentu yang tidak boleh pergi ke pelayanan misi kerana terbatas secara fizikal, misalnya orang Kristian OKU tidak boleh pergi pelayanan misi di tempat-tempat tertentu. Namun keterbatasan mereka tidak bermaksud mereka tidak boleh melakukan apa-apa. Mereka masih boleh berdoa untuk pelayanan misi. Itu bukan alasan, melainkan kerana situasi mereka.

Berdoa untuk pelayanan misi bukan kurnia khusus

Berdoa untuk pelayanan misi bukan kurnia khusus, melainkan salah satu tanggungjawab “orang bermisi”. Doakan pelayan-pelayan misi. Doakan kesejahteraan mereka, perlindungan, kesihatan, dan keluarga mereka yang ditinggalkan demi misi Allah. Orang Kristian yang terkurung di penjara tidak dapat melakukan pelayanan misi ke luar negara. Tetapi mereka boleh mendoakan hamba-hamba Tuhan yang sedang melayani dalam misi—doa tidak terbatas, Allah tidak terbatas.

 

3) Sokong

Ketiga, jangan saja berdoa untuk pelayanan misi, tapi sokong pelayanan misi. Saya sokong pelayanan misi di luar negara dan di dalam negeri. Saya sokong dalam bentuk kewangan kerana duit tidak jatuh dari langit dan tidak bertumbuh di atas pokok.

 

Ada seorang pemuda Kristian yang saya kenal di Facebook pernah berkata bahawa hamba Tuhan tidak harus menerima gaji dan sumbangan duit. Saya fikir pemuda ini hidup dalam “bubble” (hidup dalam dunia sendiri) dan beranggapan bahawa hamba Tuhan yang melayani dalam ladang misi hanya makan rumput dan minum air dari perigi. Atau berfikir bahawa hamba Tuhan dalam pelayanan misi tidak memerlukan pakaian, minyak kereta, dan tidak perlu mencukupkan keperluan isteri serta anak-anak.

 

Dana diperlukan; kalau anda seorang yang ada kelebihan dari segi kewangan, bisnes kamu diizinkan untuk berlimpah dan berjaya, dan kamu diizinkan Tuhan menjadi kaya daripada orang Kristian yang lain, itu bermaksud bahawa kamu diberikan tanggungjawab untuk menyokong lebih banyak pelayanan misi Tuhan.

Tuhan memberi kita jari supaya kewangan boleh mengalir melalui celah jari kita kepada orang lain

 

Kita tidak akan membawa duit ke syurga mahupun ke kubur. Jadi, untuk apa Tuhan berikan kamu kekuatan untuk menikmati kekayaan, kalau bukan untuk menjadi saluran berkat kepada orang lain? (Ulangan 8:18). Seperti yang dikatakan oleh Martin Luther, "God divided the hand into fingers so that money would slip through." Tuhan memberi kita jari supaya kewangan boleh mengalir melalui celah jari kita kepada orang lain.

 

Pelayanan misi luas, lebih luas daripada sangkaan kita. Mari kita buka fikiran dan minda kita untuk menjadi pelayan misi di mana pun kita berada.

 


Tentang Penulis
Pastor Edmund Kumar ialah Pengarah Ibadah Penjara di Persatuan Penjara Malaysia (Sabah). Dia
sudah berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan. Dia juga seorang penulis buku Kristian
dan sudah menulis beberapa naskah antaranya Jelajah Cinta dan Pengembaraan Cinta. Untuk maklumat lanjut mengenai Pastor Edmund Kumar dan buku-bukunya, boleh melawat di
https://www.facebook.com/edkumar2018/ dan
https://www.facebook.com/edkumar2018/posts/855621454964694

 

read_more