3 Cara Mengajar Anak Mengasihi Tuhan

Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya, maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu” (Amsal 22:6).

“Kasihilah TUHAN, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dan dengan sepenuh kekuatanmu. Simpanlah dalam hatimu kata-kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Ajarkanlah kesemuanya dengan saksama kepada anak-anakmu dan bicarakanlah semua itu ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun. Ikatkanlah semua itu sebagai tanda peringatan pada tangan dan dahimu” (Ulangan 6:5-8).

Sebagai ibu bapa, kita sering bimbang tentang anak-anak kita—apa yang boleh saya buat agar anak saya menjadi seorang yang tabah? Kenapa anak saya tidak cemerlang di sekolah? Anak saya sakit lagi. Anak saya tidak pandai bergaul dan sebagainya. Kita sering memikirkan kehidupan dan masa depan anak-anak kita kerana kita mahu memberikan yang terbaik kepada mereka.

Peranan paling utama kita adalah mengajar anak-anak kita mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati, jiwa dan kekuatan mereka.

Memang penting dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memikirkan hal-hal seperti di atas untuk anak-anak kita. Namun, peranan paling utama kita adalah mengajar anak-anak kita mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati, jiwa dan kekuatan mereka. Inilah panggilan utama kita sebagai ibu bapa terutamanya ketua keluarga, iaitu bapa, yang memikul tanggungjawab ini di bahu setiap hari.

Bagaimanakah kita dapat mengajar anak-anak kita mengasihi Tuhan setiap hari?

1)  Jadikan Tuhan sebagai pusat keluarga kita

Inilah inti perbualan yang paling penting, yang harus ada dalam keluarga kita dan harta paling berharga yang kita boleh wariskan kepada mereka.

Menceritakan tentang Yesus kepada mereka setiap hari. Membantu mereka mengenal Tuhan dan perbuatan-Nya, membantu mereka memahami maksud dosa dan akibatnya, dan menceritakan penyelamatan Tuhan. Inilah inti perbualan yang paling penting, yang harus ada dalam keluarga kita dan harta paling berharga yang kita boleh wariskan kepada mereka.

Kita harus berdoa bagi mereka dan mengajar mereka berdoa bersama-sama tentang keinginan dan cita-cita mereka. Mengajar mereka nilai-nilai syurgawi melalui saat teduh keluarga, melayani bersama-sama di gereja dan menjadi contoh bagi mereka.

Meletakkan Tuhan pada kedudukan pertama hidup kita. Mengutamakan Tuhan bermaksud tidak membiarkan jadual dan aktiviti seharian berlangsung seakan-akan Tuhan tidak wujud. Keutamaan kita adalah keperluan rohani—bukan keperluan material dan fizikal.

2)  Mendorong penglibatan di gereja

Kita harus membawa dan mendorong mereka melibatkan diri dalam kegiatan gereja atau perkumpulan orang Kristian, tidak kira mereka masih kecil atau sudah menjadi remaja. Namun, ini harus dimulai dengan diri kita sendiri, jika anda sebagai bapa atau ibu tidak pergi ke gereja, bagaimanakah kita mahu mendorong mereka? Jika kita boleh menghantar anak-anak kita ke kelas tuisyen, kelas muzik dan sebagainya, maka kita juga boleh mendorong mereka ke gereja.

Perkembangan dan kesegaran rohani amat diperlukan dalam perjalanan rohani mereka.

Perkembangan dan kesegaran rohani amat diperlukan dalam perjalanan rohani mereka. Namun ini tidak bermaksud bahawa pertumbuhan rohani mereka terletak pada peranan gereja. Amsal 22:6 dan Ulangan 6:5-7 adalah mesej untuk ibu bapa. Tuhan sudah memberi kita tanggungjawab untuk mengajar anak-anak tentang Tuhan dan kebenaran Alkitab, bukan tentang pelajaran, wang dan cita-cita semata-mata.

3)  Jangan mengecewakan, tetapi tunjukkan kasih Tuhan

“Kamu, bapa, janganlah sakitkan hati anak-anak; tetapi peliharalah mereka dalam didikan dan nasihat Tuhan” (Efesus 6:4).

Tuhan mahu kita menjaga emosi dan mental anak-anak kita.

Tuhan mahu kita menjaga emosi dan mental anak-anak kita. Jangan meletakkan jangkaan atau tuntutan yang tidak berpatutan terhadap anak-anak kita kerana ini boleh menyebabkan kepahitan dan kemarahan dalam hati mereka.

Kasih kita terhadap anak-anak juga harus tanpa syarat dan bukan berdasarkan pencapaian.

Sebaliknya, kita harus mencontohi Bapa Syurgawi yang mengasihi dan menunjukkan belas kasihan kepada anak-anak-Nya. Seperti kasih Tuhan, kasih kita terhadap anak-anak juga harus tanpa syarat dan bukan berdasarkan pencapaian. Para bapa (dan ibu), marilah kita menjadi seperti Bapa yang, “penyayang dan pengasih, panjang sabar serta berlimpah kasih dan setia” (Mazmur 86:15).

Para bapa, jangan letakkan tanggungjawab ini kepada ibu sahaja, walaupun anda mungkin sibuk bekerja di luar dan ibulah yang bersama-sama mereka di rumah. Tuhan sudah memanggil anda menjadi seorang bapa dan ketua keluarga, Dia pasti akan melengkapi anda untuk mendidik anak-anak dan membina keluarga yang takut akan Tuhan.

Soalan Renungan:

Adakah saya telah mengutamakan Tuhan dalam keluarga dan cara saya mendidik anak-anak selama ini?

Apakah yang saya boleh lakukan untuk memastikan pelayanan kepada Tuhan menjadi keutamaan dalam keluarga dan anak-anak saya?

Apakah yang patut saya lakukan untuk memastikan mental dan emosi anak-anak saya terjaga?

Bagaimanakah saya boleh menunjukkan kasih Kristus kepada anak-anak saya?

 

Diadaptasi daripada Siri Bimbingan Bahasa Inggeris, Help! I’m stressed about my child’s education. 

read_more