3 Ciri Kematangan Rohani
Ada orang Kristian meminta petua untuk menjadi matang secara rohani; seperti kematangan rohani boleh diperolehi dengan satu suntikan vaksin, atau dengan menelan sebiji ubat, seseorang akan terus menjadi kebal dan kuat. Alangkah baiknya kalau jalan kepada kematangan rohani datang begitu sahaja.
Sebaliknya kematangan rohani merupakan suatu proses dalam kehidupan orang Kristian—lebih dekat kepada graf denyutan jantung. Garis mendatar, naik, turun, mendatar semula. Selagi masih ada naik dan turun, maksudnya pertumbuhan rohani sedang berlangsung; jikalau garis itu mendatar terus, pasti orang itu bukan
sahaja tidak bertumbuh, tetapi sudah menuju ke alam
maya!
Pendek kata, pertumbuhan rohani adalah suatu proses yang mengambil seluruh kehidupan kita. Apabila kita berkata, “saya sudah capai kesempurnaan” atau “saya sudah matang”, di situlah bukti bahawa kita belum mencapai kematangan rohani—kerana ungkapan itu ialah andaian dan sangkaan palsu, juga bukti sikap temberang (berlagak tahu). Justeru rasul Paulus berkata, “Aku berkata kepada setiap orang daripadamu, melalui kasih kurnia yang diberikan kepadaku: Janganlah nilai dirimu lebih tinggi daripada sepatutnya, sebaliknya nilailah dirimu sewajarnya, selaras dengan kadar iman yang telah diberikan Allah kepada setiap orang” (Roma 12:3, AVB)
Jadi persoalannya, apakah ciri-ciri kematangan rohani dalam kehidupan orang Kristian? Apakah bukti bahawa seseorang sudah mencapai kematangan rohani atau sedang pada landasan yang betul menuju kematangan? Saya cadangkan tiga ciri ini (walaupun pasti ada lebih banyak lagi).
1. Kerelaan untuk Mengakui Kelemahan
Mengakui diri sempurna atau berfikir bahawa kita sudah mencapai kerohanian tahap dewa bukan bukti kematangan rohani. Paulus berkata, “Oleh itu, aku paling rela berbangga tentang kelemahan-kelemahanku, supaya kuasa Kristus menaungiku” (2 Korintus 12:9b). Pengakuan bahawa kita lemah, serba kekurangan, belum mencapai sasaran yang kita kehendaki merupakan bukti bahawa ada ciri-ciri kematangan rohani sedang mengalir dalam ‘urat’ kita.
Paulus nampaknya memikirkan hidup lamanya dalam petikan lain, “Kristus Yesus datang ke
duria untuk menyelamatkan orang yang berdosa—akulah orang yang paling berdosa” (1 Timotius 1:15), katanya dengan menitiskan air mata. Kematangan rohani ialah kita tahu siapa kita yang sebenar. Seperti kata pelakon Denzel Washington, “I don’t blame anyone. I look in the mirror!” (“Aku tidak menyalahkan sesiapa. Aku terus melihat cermin!”)
2. Kehidupan yang Tidak Suka Cari Gaduh
Kita suka pertahankan bahawa kita betul dan benar dalam banyak perkara. Walaupun sememangnya kita betul dan tepat, sikap yang mahu membuktikan diri betul ialah tanda ketidakmatangan. Sebaliknya, sikap yang rela tunduk kepada kelemahan orang lain dan “kalah” ialah bukti bahawa kematangan rohani sedang berjalan dalam ‘saraf-saraf’ orang Kristian ini.
Dalam perbahasan teologi, isu-isu politik, dan perkara-perkara etika Kristian, kita pasti ada perbezaan pendapat. Dalam Roma 14, kita berjumpa dengan orang yang kuat iman dan yang lemah iman. Orang Kristian yang lemah iman cenderung cerewet tentang banyak perkara. “Ini tak boleh, itu tak boleh, semua tak boleh!” Tetapi orang Kristian yang kuat iman tenang dan relaks sahaja. Hal itu tidak rumit sangat dan bukan isu penting pun.
Namun sikap matang rohani pada orang Kristian yang kuat iman ialah pendekatan untuk tidak mengkritik, menghakimi, marah, menyindir atau memerli orang Kristian yang lemah imn. “Kenapa kamu ini? Itu pun kamu cerewet sangat?” Sikap yang rela menerima kekurangan dan perbezaan pendapat ialah bukti kematangan rohani. Yang matang tidak akan perjuangkan haknya, walaupun dia benar, lebih tahu dan lebih arif dalam perkara itu.
3. Kerelaannya untuk Diajar dan Dididik
Orang yang tidak mahu diajar dan tidak boleh ditegur selalu memberi respons seperti, “Kamu sajalah tahu. Kamu sudah masuk sekolah Alkitab. Kami ini orang biasa-biasa saja”, ini ialah petanda kerohanian yang kekanak-kanakan. Orang Kristian yang tidak mahu ditegur, tidak mahu diajar dan tidak mahu diperbetulkan ialah orang yang menuju kejahilan dan kebodohan rohani. Orang seperti ini senang ditipu dan senang diperdayakan.
Sikap pantang ditegur ialah bukti kerohanian yang tidak matang. Tetapi apabila seseorang ditegur atau dijemput untuk belajar dan menyelidik, mereka akan berkata, “Terima kasih atas teguran itu”, “Saya mahu belajar, tolong ajar saya,” inilah sikap yang membuktikan kematangan rohani. Sikap ini dapat dilihat dalam jemaah di Korintus dan Berea (Kisah Para Rasul 17). Sesudah ditegur tentang hal mengizinkan jemaah mereka melakukan percabulan, jemaah di Korintus melakukan apa yang disuruh oleh Paulus. Mereka mengusir orang berdosa itu dan mengizinkan diri dibetulkan. Mereka terbuka kepada teguran dan menerima tunjuk ajar.
Inilah tiga ciri kematangan rohani dalam kehidupan orang Kristian. Adakah kita mempunyai tiga ciri ini? Apakah cabaran anda untuk mengaplikasikan ketiga-tiga ciri ini dalam kehidupan anda?
Tentang Penulis
Pastor Edmund Kumar ialah Pengarah Ibadah Penjara di Persatuan Penjara Malaysia (Sabah). Dia
sudah berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan. Dia juga seorang penulis buku Kristian
dan sudah menulis beberapa naskah antaranya Jelajah Cinta dan Pengembaraan Cinta. Untuk maklumat lanjut mengenai Pastor Edmund Kumar dan buku-bukunya, boleh melawat di
https://www.facebook.com/edkumar2018/ dan
https://www.facebook.com/edkumar2018/posts/855621454964694