3 Poin Penting tentang Pemuridan

Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman. (Matius 28:20)

 

Jikalau ada satu frasa yang telah dihafal, perkataan yang diguna berkali-kali, inilah ayatnya: Matius 28:18-20 dijadikan tema tahunan gereja, slogan orang Kristian dalam seminar, visi diosis dan dihafal oleh anak-anak sekolah minggu.

 

pemuridan itu sering kali hanya tinggal laungan dan slogan

Saya pernah menghadiri cukup banyak seminar dan dengar program pemuridan sejak puluhan tahun. Saya kenal guru-guru Alkitab yang baik dan hebat datang untuk mengajar tentang cara melakukan pemuridan dalam seminar dan di gereja. Tetapi akhirnya, apabila kita lihat di sekeliling kita, pemuridan itu sering kali hanya tinggal laungan dan slogan. Apa itu pemuridan dan apakah jalan melaksanakannya?

 

1. Pemuridan melibatkan orang dengan orang.

Ia melibatkan suatu hubungan.

Kita boleh anjurkan cukup banyak program, seminar, dan kelas tetapi akhirnya pemuridan hanya menjadi realiti apabila ada hubungan antara sesama. Kamu mahu memuridkan seseorang? Ia melibatkan suatu hubungan. Mengenali orang itu, mendekati orang itu, berbual dengan orang itu, mendengar naik turun kehidupannya, kemudian memberikan input, panduan dan bimbingan sehingga orang itu menjadi murid Kristus juga.

 

2. Pemuridan melibatkan hati dan tangan.

Didikan, latihan, perlengkapan, dan bimbingan untuk melakukan kehendak Tuhan adalah sangat penting. Tujuannya adalah agar orang yang dimuridkan belajar sesuatu, dilatih, dilengkapi dan dibimbing untuk melakukan apa yang dipelajari.

 

Jadi pemuridan menuntut bukan sahaja teori tetapi juga amali.

Seperti kata seorang paderi dalam gereja Anglikan, “hati dan tangan” (heart and hand) ialah tugas pemuridan. Bukan sahaja hati seseorang diubah, tetapi juga perilakunya juga. Dalam Roma 12:1-2, kita melihat bagaimana pembaharuan akal budi disusuli dengan penyerahan tubuh kepada Tuhan untuk melakukan apa yang baik, berkenan dan sempurna di hadapan Allah. Jadi pemuridan menuntut bukan sahaja teori tetapi juga amali.

 

3. Pemuridan melibatkan kesanggupan.

Pemuridan dijadikan realiti apabila pemurid sanggup meluangkan masa, tenaga, emosi dan dana ke dalam kehidupan seseorang. Saya mendengar keluhan orang di Facebook, Instagram dan Whatsapp, kemudian memberikan input saya ke kepada mereka seperti kaunseling, bimbingan, teguran, didikan teologi, ajaran dan nasihat yang praktikal.

 

Seorang pemurid harus siap sedia “diganggu” selalu.

Walaupun kami mungkin tidak boleh berjumpa secara bersemuka, saya izinkan diri dihubungi hampir pada bila-bila masa. Saya juga menjadi pendengar, penasihat, pengkritik dan pendorong dalam hidup rohani mereka. Mahu melaungkan pemuridan? Seorang pemurid harus siap sedia “diganggu” selalu. Saya tabik dengan hamba-hamba Tuhan yang di tengah-tengah kesibukan pelayanan, masih ada masa untuk jumpa individu yang bermasalah secara peribadi, duduk di kedai dan memberikan bimbingan dan tunjuk ajar. Bukan sahaja secara umum, tetapi secara peribadi.

 

Pemuridan memberikan kesan dinamik kepada orang yang dimuridkan.

Pemuridan memberikan kesan dinamik kepada orang yang dimuridkan. Mereka yang dimuridkan dan dibawa bersama dalam kehidupan si pemurid, biasanya memperlihatkan kesan positif jangka panjang, berbanding dengan sekadar membuat seminar atau memberi khutbah. Oleh itu, marilah bersama-sama giat memuridkan orang lain kerana inilah panggilan Tuhan untuk kita semua.

 


Tentang Penulis
Pastor Edmund Kumar ialah Pengarah Ibadah Penjara di Persatuan Penjara Malaysia (Sabah). Dia
sudah berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan. Dia juga seorang penulis buku Kristian
dan sudah menulis beberapa naskah antaranya Jelajah Cinta dan Pengembaraan Cinta. Untuk maklumat lanjut mengenai Pastor Edmund Kumar dan buku-bukunya, boleh melawat di
https://www.facebook.com/edkumar2018/ dan
https://www.facebook.com/edkumar2018/posts/855621454964694

 

read_more