Ketika tahun baru tiba, ramai yang berkongsi azam mereka di media sosial. Ada yang menetapkan azam yang besar seperti, “Saya mahu menambah kekayaan. Bila kita kaya, sekurang-kurangnya kita tidak menyusahkan sesiapa,” ada juga yang lebih sederhana seperti, “Saya mahu cukup tidur.” Tidak kurang juga yang bergurau (atau mungkin serius), “Saya akan menyambung status bujang saya pada tahun hadapan.” Namun, ada juga yang langsung tidak menetapkan sebarang azam baru.

Menetapkan azam baru adalah satu langkah yang baik. Rasul Paulus berkata dalam Filipi 3:13-14 bahawa dia “melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan…terus berusaha ke arah matlamat.” Ayat ini mengingatkan kita untuk terus fokus dan berusaha mengejar matlamat kita. Namun, perbezaannya ialah matlamat utama Paulus adalah “mengejar ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus.”

Jadi, apakah asas atau matlamat kita dalam menetapkan azam baru? Walau apa pun azam kita pada tahun ini, pastikan ia tertumpu kepada panggilan syurgawi. Berikut adalah 5 azam baru yang popular di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Mungkin azam anda juga tersenarai!

1. Menyimpang Wang

Dalam Alkitab, kita diingatkan, “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya.” (Matius 6:19-20)

Menyimpan wang bukanlah sesuatu yang buruk, tetapi ia boleh menjadi penghalang kepada kita jika kita mula menjadikannya idola atau menjadi “hamba kekayaan” (ayat 24). Semasa menabung, ingatlah bahawa sumber kekayaan dan kehidupan kita adalah Tuhan Yesus, bukan wang.

2. Makan Secara Sihat

Mengamalkan pemakanan sihat atau menetapkan diet yang seimbang adalah baik untuk tubuh badan kita dan juga boleh dilakukan untuk memuliakan Tuhan. Firman Tuhan berkata, “Setiap yang kamu lakukan, baik makan mahupun minum, lakukanlah untuk memuliakan Allah” (1 Korintus 10:31). 

Jika kita sedang mengurangkan gula, garam, atau kopi, lakukanlah dengan niat untuk memuliakan Tuhan. Kita memerlukan tubuh yang sihat agar dapat melayani Tuhan dengan lebih aktif. Namun, seperti tubuh memerlukan makanan sihat, kehidupan rohani kita juga memerlukan “makanan” daripada firman Tuhan. Ingatlah, “manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah” (Matius 4:4). 

3. Latihan Jasmani 

Latihan jasmani atau bersenam adalah salah satu azam yang semakin popular. Ramai yang berkongsi gambar tubuh badan mereka di media sosial dengan #bodygoal. Latihan jasmani bukan sahaja memberi manfaat kepada tubuh kita, tetapi juga meningkatkan stamina dan ketahanan fizikal.

Namun, Tuhan mahu kita melatih “diri menjadi orang yang salih” (1 Timotius 4:7).  Alkitab mengingatkan kita bahawa latihan jasmani tidak boleh mengatasi latihan rohani, “latihan jasmani ada faedahnya, tetapi kesalihan berfaedah dalam segala hal, kerana memuat janji baik bagi kehidupan sekarang ataupun kehidupan akan datang” (ayat 8). Justeru, melatih tubuh adalah penting, tetapi melatih diri untuk hidup dalam kesalihan adalah jauh lebih utama.

4. Mengurangkan Berat Badan

Mengurangkan berat badan mempunyai prinsip yang sama dengan azam kedua dan ketiga di atas. Kita perlu bertanya, “Mengapa saya mahu melakukannya?”  Pastikan tujuan kita adalah untuk memuliakan Tuhan, bukan sekadar ingin kelihatan menarik. Salah satu punca kenaikan berat badan ialah tabiat makan berlebihan. Selain itu, pelahap menurut Alkitab juga boleh membawa kepada kemiskinan, “kerana peminum dan orang yang rakus menjadi miskin” (Amsal 23:21), yang juga bermaksud makan dan minum yang berlebihan boleh memudaratkan kesihatan tubuh badan kita.

Jadi, marilah kita berusaha menjaga tubuh agar kita dapat melayani Tuhan dengan lebih aktif tanpa halangan fizikal.

5. Meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan

Keluarga dan rakan-rakan adalah anugerah daripada Tuhan. Namun, kesibukan kerja, komitmen peribadi, atau pelayanan di gereja kadangkala membuatkan kita sukar meluangkan masa berkualiti bersama mereka.

Keluarga merupakan institusi yang penting di mata Tuhan. Firman Tuhan memberi banyak panduan tentang hubungan dalam keluarga dan persahabatan. Meluangkan masa bersama mereka bukan sekadar memenuhi tanggungjawab, tetapi juga memupuk kasih sayang. Firman Tuhan berkata “Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu. Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya” (Yohanes 15:12-13). 

Jadikan tahun ini peluang untuk kita lebih mengasihi keluarga, rakan-rakan, dan sesama kita.

 

Ketika kita melangkah ke tahun baru ini, marilah kita menetapkan matlamat seperti Paulus dan “serahkanlah perbuatanmu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan terlaksana” (Amsal 16:3). 

Selamat Tahun Baru 2025


Tentang Penulis
Clarensia Rongkos melayani sebagai kakitangan sepenuh masa di Our Daily Bread Ministries (ODBM) sejak tahun 2019. Dia berasal dari Kota Belud, Sabah dan kini membantu dalam pelayanan bahasa Malaysia di ODBM.

read_more