Jagalah hatimu lebih daripada segalanya, kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan—Amsal 4:23.
Apabila kita sakit secara fizikal, kita biasanya dapat mengenal pasti tanda-tandanya. Demam, batuk atau sakit berpanjangan mendorong kita untuk berjumpa dengan doktor. Begitu juga apabila kita mengalami tekanan, keletihan emosi atau pergelutan dalam diri. Kita belajar untuk tidak mengabaikan tanda-tanda tersebut kerana kesihatan mental juga perlu diberikan perhatian dan rawatan atau pertolongan.
Namun, selain kesihatan tubuh dan mental, ada satu lagi aspek yang sering kita terlepas pandang iaitu kesihatan rohani. Sakit rohani tidak semestinya mempunyai tanda yang dilihat oleh orang lain. Malah, seseorang boleh tetap datang ke gereja, berdoa, menyanyi dan memuji, melayani, bahkan bercakap tentang Tuhan, tetapi dalam diam hatinya semakin jauh daripada Tuhan. Dari luar mungkin kelihatan baik-baik sahaja, tetapi di dalam mungkin sedang mengalami kekeringan rohani, kepahitan, dosa yang tidak diakui, kehilangan sukacita, atau kasih kepada Kristus semakin pudar.
Berikut ialah lima tanda penyakit rohani yang perlu kita perhatikan dalam diri kita.
1. Hilang Kerinduan Kepada Tuhan
Penyakit rohani sering bermula apabila kerinduan kepada Tuhan semakin pudar. Doa yang dahulu menjadi sukacita mula terasa hambar. Firman Tuhan yang dahulu dirindukan tidak lagi menjadi keperluan. Persekutuan dengan umat Tuhan juga semakin kurang penting. Sedikit demi sedikit, hubungan dengan Tuhan menjadi renggang tanpa kita sedari.
Sebab itu Alkitab berkata, “Jagalah hatimu lebih daripada segalanya, kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan” (Amsal 4:23). Alkitab mengingatkan bahawa keadaan hati sangat penting dalam kehidupan iman.
2. Berkompromosi Dengan Dosa
Penyakit rohani juga dapat dilihat apabila dosa tidak lagi dirasakan sebagai dosa. Apa yang dahulu membuat hati gelisah akhirnya dianggap biasa. Kita mula mencari alasan, membenarkan diri dan kehilangan keinginan untuk bertaubat. Hati nurani menjadi seperti yang digambarkan dalam 1 Timotius 4:2, “diselar besi panas”, sehingga menjadi tumpul dan tidak lagi sensitif terhadap dosa. Kita kelihatan sihat di hadapan manusia, tetapi sebenarnya sedang mengalami kerosakan di dalam.
3. “Memelihara” Kepahitan
Kepahitan juga boleh menjadi tanda bahawa hati kita sedang tidak sihat. Kepahitan ini membawa kita menjauhkan diri daripada Tuhan dan perkumpulan orang percaya. Kita mungkin rajin berdoa, membaca Alkitab dan melayani, tetapi pada masa yang sama menyimpan kemarahan atau kebencian terhadap seseorang. Bergelut untuk mengampuni adalah manusiawi, tetapi apabila kepahitan terus dipelihara dan dibenarkan, kita perlu berhenti dan memeriksa hati kita di hadapan Tuhan. Alkitab mengingatkan supaya, “Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat” (Efesus 4:31).
4. Mengutamakan Pelayanan daripada Kristus
Kita juga perlu berhati-hati apabila aktiviti keagamaan menjadi lebih penting daripada Kristus sendiri. Seseorang boleh begitu sibuk dengan program, pelayanan dan jawatan gereja sehingga lupa tujuan sebenar. Jemaat di Efesus tekun bekerja dan melayani, tetapi Yesus menegur mereka kerana “telah meninggalkan kasihmu yang pertama” (Wahyu 2:4). Kesibukan dalam gereja tidak semestinya menunjukkan kesihatan rohani. Kita boleh aktif melayani tetapi semakin jauh daripada Kristus.
5. Menolak Teguran Firman Tuhan
Penyakit rohani juga dapat dilihat apabila kita tidak lagi mahu ditegur oleh firman Tuhan. Orang yang sihat secara rohani bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi orang yang masih bersedia berkata, “Telitilah aku, ya Allah, dan kenallah hatiku” (Mazmur 139:23). Firman Tuhan seperti cermin yang memperlihatkan keadaan hati kita. Kadang-kadang masalahnya bukan firman Tuhan terlalu keras, tetapi hati kita yang semakin keras.
Mitos Penyakit Rohani
Namun, kita perlu berhati-hati supaya tidak menganggap setiap kesedihan, keletihan, tekanan atau pergelutan emosi sebagai tanda penyakit rohani. Ada kalanya seseorang memang sedang melalui masa yang sukar dan memerlukan sokongan, rehat atau pertolongan daripada orang lain.
Kita dapat melihat contoh Elia dalam 1 Raja-raja 19. Selepas melalui pengalaman yang berat, Elia menjadi sangat letih dan tertekan. Tuhan tidak menuduhnya kurang iman. Sebaliknya, Tuhan memberikan makanan, minuman, istirahat sebelum berbicara kepadanya.
Ini mengajar kita untuk melihat manusia secara menyeluruh. Ramai orang, termasuk Kristian, bergelut dengan masalah emosi atau mental. Jangan terlalu cepat menghakimi seseorang yang sedang bergelut atau menganggap mereka jauh daripada Tuhan. Sebaliknya, dekati mereka dengan kasih, dengarkan pergelutan mereka dan berikan pertolongan yang diperlukan.
Pemeriksaan dan Kembali kepada Kristus
Paulus berkata, “Ujilah keteguhan imanmu; periksalah dirimu sendiri. Tidakkah kamu tahu Kristus Yesus ada dalam dirimu? Kecuali kamu gagal,” (2 Korintus 13:5). Ayat ini mengingatkan kita untuk memeriksa diri dan melihat dengan jujur keadaan hati kita di hadapan Tuhan.
Maka, tanyalah diri sendiri:
- Adakah saya masih mengasihi Tuhan?
- Adakah saya masih rindu kepada firman-Nya?
- Adakah saya masih peka terhadap dosa?
- Adakah saya sanggup bertaubat apabila ditegur?
- Adakah saya masih menyimpan kepahitan?
- Adakah saya lebih mencintai pelayanan daripada Kristus?
Jika kita menyedari ada sesuatu yang belum selesai dalam kehidupan rohani kita, jangan abaikannya, kembalilah kepada Kristus. Kita memerlukan pertaubatan, firman Tuhan, doa, iman, persekutuan dan pengampunan. Yang paling utama, kita perlu kembali menikmati hubungan dengan Tuhan.
Yesus berkata, “Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan” (Matius 11:28). Kristus bukan sekadar menawarkan kita agama atau pelayanan. Dia memberikan diri-Nya kepada kita.
Jangan tunggu sehingga hati semakin jauh daripada Tuhan. Jika ada dosa yang perlu diakui, akuilah. Jika ada kepahitan yang perlu dilepaskan, serahkan kepada Tuhan. Bukalah hati kepada Kristus, terimalah firman-Nya dan teruslah berjalan dalam kasih kurnia-Nya. Kiranya Tuhan menyembuhkan hati kita, memulihkan jiwa kita dan membawa kita kembali kepada kasih yang mula-mula kepada-Nya.
Renungkan
- Antara lima tanda ini, yang manakah paling menggambarkan keadaan rohani saya sekarang?
- Apakah satu langkah yang boleh saya ambil minggu ini untuk kembali mendekat kepada Tuhan?
Mari berdoa:
Ya Tuhan, telitilah hatiku dan tunjukkan apa yang perlu aku ubah dalam diriku. Pulihkan kerinduanku kepada-Mu, lembutkan hatiku terhadap firman-Mu dan ajarlah aku untuk bertaubat serta melepaskan segala dosa dan kepahitan. Tolonglah aku untuk terus berjalan dekat dengan-Mu dan menikmati hubungan dengan-Mu. Dalam nama Yesus, Amin.
Tentang Penulis
Rev. Parasin Oinung ialah pensyarah di Seminari Teologi Sabah dan EXCO Protestant Church of Sabah. Dia sudah berkahwin dengan Cheryn Balong dan dikurniakan seorang anak perempuan, Daester Ahgion dan seorang anak lelaki, Daezekiel Aedenn.
