Belajar Mencintai dengan Cara Tuhan 

Setiap kali Valentine’s Day diraikan, kasih sering dikaitkan dengan bunga, coklat, dan ungkapan romantik. Filem, lagu, dan media sosial pula menggambarkan cinta sebagai perasaan yang mendebarkan dan membahagiakan ketika saat mata bertentang, jantung berdegup kencang, dan dunia seakan berhenti berputar.  

Namun selepas fasa manis itu berlalu, ramai mendapati bahawa hubungan tidak sentiasa indah seperti yang digambarkan. Timbul salah faham, kekecewaan, dan persoalan: Adakah ini benar-benar kasih sejati? 

Alkitab memberikan kita perspektif yang lebih mendalam. Kasih bukan sekadar emosi romantik, tetapi suatu sikap hidup yang nyata, berakar dalam kebenaran, dan dinyatakan melalui tindakan.  

  

Kasih Menurut Pandangan Dunia: Indah Tapi Rapuh 

Dalam budaya popular, kasih sering digambarkan sebagai perasaan spontan yang harus sentiasa membahagiakan. Apabila perasaan itu pudar, hubungan dianggap “tidak lagi serasi”. Filem dan drama romantik seperti filem Hollywood atau Korea, sering menamatkan kisah cinta pada saat pasangan akhirnya bersama seolah-olah itulah pengakhiran yang bahagia. 

Namun realitinya, hubungan sebenar baru bermula selepas itu. Banyak kisah cinta yang kelihatan indah sebenarnya dipenuhi dengan ketidakjujuran, pengkhianatan emosi, dan sikap mementingkan diri. Hubungan yang dibina semata-mata atas emosi dan kepuasan diri biasanya rapuh dan tidak bertahan lama. Inilah sebabnya ramai orang mengalami kekecewaan dalam hubungan kerana mereka memahami kasih berdasarkan gambaran dunia, bukan pada kebenaran. Kita harus ingat bahawa hubungan memerlukan kematangan, bukan sekadar keserasian. 

  

Mitos “Teman Sejiwa” 

Satu kepercayaan yang sangat popular ialah idea tentang teman sejiwa: seseorang yang kononnya akan melengkapkan hidup kita, memahami kita sepenuhnya, dan memenuhi semua keperluan emosi dan fizikal kita. Namun konsep ini tidak mempunyai dasar Alkitabiah. 

Dalam 1 Korintus 7:32–33, Rasul Paulus tidak pernah menyatakan bahawa seseorang itu tidak lengkap jika tanpa pasangan. Sebaliknya, dia menekankan bahawa pentingnya memberi keutamaan kepada hubungan dengan Tuhan. Kepuasan dan kesempurnaan sejati hanya boleh ditemui dalam hubungan dengan-Nya. Yesus berkata, “kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu” (Yohanes 15:11). 

Apabila pasangan kita yang tidak sempurna diharapkan untuk memenuhi keperluan terdalam kita, hubungan tersebut akan dibebani dengan harapan yang tidak realistik dan akhirnya menyebabkan kekecewaan. 

  

Panduan untuk Hubungan yang Sihat 

Yesus memberikan definisi kasih yang paling jelas dan relevan untuk semua jenis hubungan, termasuk hubungan percintaan, dalam Yohanes 15:9–15. Daripada petikan ini, kita dapat memahami bahawa kasih sejati mempunyai tiga ciri utama. 

  

  1. Kasih itu Taat dan Bertindak 

Yesus berkata bahawa “Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku” (ayat 10). Ini menunjukkan bahawa kasih bukan sekadar perasaan yang tersembunyi dalam hati, tetapi sesuatu yang nyata dan boleh dilihat melalui ketaatan. Prinsip ini juga terpakai dalam hubungan percintaan. Kasih bukan sekadar kata-kata manis atau janji romantik, tetapi ditunjukkan melalui tindakan yang konsisten.  

Mengasihi Tuhan melibatkan pilihan sedar untuk hidup menurut kehendak-Nya, walaupun dalam situasi yang mencabar. Begitu juga dalam hubungan sesama, kasih dinyatakan melalui kejujuran walaupun ia menyakitkan, kesetiaan walaupun ada godaan, dan pilihan untuk menghormati pasangan. Kasih sejati melibatkan keputusan sedar untuk melakukan yang benar. 

  

  1. Kasih itu Sanggup Berkorban 

Yesus juga menegaskan bahawa “Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya” (ayat 13). Walaupun pengorbanan nyawa jarang berlaku, kasih sejati dalam kehidupan seharian ditunjukkan melalui kesediaan untuk meluangkan masa walaupun sibuk, mendengar walaupun penat, mengalah demi kebaikan hubungan, dan mengutamakan keperluan pasangan berbanding kehendak diri.  

Hubungan yang sihat tidak bertahan kerana emosi semata-mata, tetapi kerana kesediaan kedua-dua pihak untuk “berkorban”.  

  

  1. Kasih itu Berdasarkan Pengenalan yang Benar 

“Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu.” (Yohanes 15:15) 

Yesus memanggil para pengikut-Nya sebagai sahabat kerana Dia telah memperkenalkan diri-Nya secara peribadi kepada mereka. Begitu juga dalam hubungan percintaan, kasih sejati wujud apabila ada pengenalan yang jujur dan mendalam. 

Mengasihi tanpa benar-benar mengenal pasangan, tentang nilai hidup mereka, kelemahan mereka, cara mereka berfikir, dan sebagainya seakan-akan kita sedang jatuh cinta dengan bayangan atau ilusi, bukan dengan individu yang sebenar. Mengenali pasangan walaupun bukan secara sempurna, terutamanya pasangan suami isteri sangat penting. Namun, kasih sejati tidak melarikan diri apabila kelemahan tersingkap, tetapi memilih untuk terus mengenal dan menerima dengan hikmat Tuhan.  

  

Membina Hubungan Pada Dasar yang Benar 

Kasih sejati bermula dengan hubungan yang betul dengan Tuhan. Daripada kasih-Nya, kita belajar bagaimana untuk mengasihi orang lain dengan tulus, setia, dan berkorban untuk pasangan. Kasih sejati membentuk siapa kita, bukan sekadar membuat kita bahagia. Yesus sendiri telah menunjukkan contoh kasih yang paling sempurna melalui kehidupan, ketaatan, dan pengorbanan-Nya di kayu salib. 

 

Renungkan: 

  1. Dalam hubungan anda sekarang, adakah anda lebih banyak dipengaruhi oleh “cinta versi dunia” atau oleh kasih Kristus yang taat dan berakar dalam kebenaran? Mengapa? 
  2. Apakah satu perubahan praktikal yang anda boleh lakukan dalam hubungan anda sekarang? 

 

Mari berdoa: Tuhan Yesus, ajar aku mengasihi seperti Engkau mengasihi dengan taat, setia, dan sanggup berkorban. Sucikan hatiku daripada harapan yang salah dan bentuk aku menjadi seorang yang matang dalam kasih. Pimpin aku untuk mengasihi orang di sekelilingku dengan jujur, rendah hati, dan penuh hikmat. Dalam nama Yesus, amin. 

 

Mari mendalami makna kasih sejati menurut Alkitab: Apa Itu Kasih Sejati? | Pedomanharian.org 

Ketahui perbezaan kasih sejati dan nafsu semata-mata: Nafsu: Apa yang Aku Harap Aku Tahu Lebih Awal | Pedomanharian.org 

 


Tentang Penulis
Clarensia Rongkos melayani sebagai kakitangan sepenuh masa di Our Daily Bread Ministries (ODBM) sejak tahun 2019. Dia berasal dari Kota Belud, Sabah dan kini membantu dalam pelayanan bahasa Malaysia di ODBM.

 

read_more