Kasih Bapa
Ketahuilah betapa kasihnya Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah! Dan sememanglah begitu! Sebabnya dunia ini tidak mengenal kita ialah kerana dunia ini tidak mengenal Allah. (1 Yohanes 3:1)
“Papa…papa…papa…”
Begitulah panggilan anak saya kepada saya sejak dia mula pandai berkata-kata. Sehingga ke hari ini, panggilan itu masih kekal. Pada pertama kali mendengar panggilan itu, hati saya terasa penuh dengan sukacita yang sukar digambarkan. Bagi saya, panggilan “papa” itu bukan sekadar sebutan, tetapi satu anugerah yang sangat istimewa. Ia adalah satu panggilan yang lahir daripada hubungan yang penuh kasih.
Apabila anak saya memanggil saya “papa,” dia tahu bahawa saya akan menjawab dia. Saya akan segera menjawab bukan kerana saya dipaksa atau kerana itu tanggungjawab saya, tetapi kerana hati saya digerakkan oleh kasih. Saya ingin memenuhi keperluannya, mendengar rintihannya, memberi perhatian, dan menyatakan bahawa dia penting dalam hidup saya. Saya melakukan semua itu kerana saya mengasihi dia, dan kasih itulah yang menjadi asas hubungan kami.
Ya benar, sebagai bapa, kita mempunyai tanggungjawab. Tetapi lebih daripada itu, kasih adalah pendorong utama saya. Apabila kasih menjadi dasar tindakan kita, kita tidak melakukannya kerana terpaksa, tetapi kerana kita rela dan bersukacita. Kasih adalah sesuatu yang sangat mulia dan kudus di hadapan Tuhan. Oleh kasih, kita dikuatkan. Oleh kasih, pengampunan diberikan. Dan oleh kasih jugalah, pengharapan muncul dalam hidup kita.
Kasih Bapa di Syurga
Jika saya, sebagai manusia yang penuh kelemahan, ingin memberikan yang terbaik kepada anak saya kerana kasih—betapa lebih lagi kasih Bapa kita yang di syurga!
Tuhan tidak menjadikan kita sebagai hamba, tetapi sebagai anak-anak-Nya sendiri. Kita adalah anak-anak Tuhan—inilah identiti kita yang sejati sebagai orang percaya. Dan kerana kasih-Nya yang agung, Bapa Syurgawi telah mengurniakan kepada kita hadiah yang paling besar—kehidupan yang kekal melalui Yesus Kristus, Anak Tunggal-Nya, yang telah menyerahkan diri-Nya untuk menyelamatkan kita semua.
Kasih Bapa kepada kita tidak bersyarat dan tidak terbatas. Dalam segala ciptaan-Nya, hanya manusia diberi hak istimewa untuk menjadi anak-anak-Nya. Hubungan ini dibina atas dasar kasih—bukan ketakutan, bukan kewajipan, tetapi kasih yang sejati. Sebab itu kita boleh datang kepada Tuhan dengan yakin, memanggil-Nya “Bapa,” dan menghampiri takhta kasih kurnia-Nya pada bila-bila masa.
Walaupun kita jatuh, gagal, atau berasa tidak layak, Bapa kita tetap setia. Dia tidak pernah meninggalkan kita. Kasih-Nya tidak seperti kasih manusia yang terbatas—kasih Bapa di syurga kekal selama-lamanya. Seperti yang dinyatakan dalam Mazmur 136, kasih setia-Nya kekal untuk selama-lamanya.
Anugerah Menjadi Anak Tuhan
Betapa indahnya hidup sebagai orang percaya! Hidup kita didasari atas kebenaran bahawa kita adalah anak-anak Bapa di syurga, yang sangat mengasihi kita. Ini bukan sekadar konsep rohani—ini adalah identiti kita yang paling dalam. Dan daripada kasih itulah, kita belajar mengasihi orang lain, terutama anak-anak kita sendiri.
Pada Hari Bapa ini, marilah kita merenung kembali kasih Bapa di syurga, dan menjadikan kasih-Nya sebagai teladan dalam hidup kita sebagai bapa, sebagai anak, dan sebagai keluarga dalam Kristus. Kasih yang datang daripada Bapa—yang tidak pernah gagal—adalah sumber kekuatan dan pengharapan kita hari demi hari.
Baca artikel lain tentang Hari Bapa>> Tokoh Bapa
Tentang Penulis
Allexsis ialah seorang penginjil yang melayani bersama isterinya, Anika. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Esaiah. Dia pernah berkhidmat dalam sektor kerajaan sebelum mengikuti panggilan Tuhan ke pelayanan sepenuh masa. Dia menyelesaikan pengajian di Malaysian Baptist Theological Seminary dan memulakan pelayanan sebagai pastor di Excel Point Community Church, Pulau Pinang. Dia kemudian melanjutkan pelayanan misi di Eropah dan kini aktif melayani di gereja-gereja lokal di Sarawak.