Keindahan Wanita yang Takut akan Tuhan (Menurut Amsal 31) 

Isteri yang cemerlang, siapakah dapat menemukannya? Dia jauh lebih berharga daripada intan berlian. (Amsal 31:10)

Dalam dunia hari ini, kejayaan sering diukur melalui apa yang dimiliki seperti harta, pencapaian, atau kedudukan. Namun sempena Hari Wanita Sedunia ini, firman Tuhan mengajak kita melihat sesuatu yang lebih mendalam tentang nilai seorang wanita. 

Mari kita merenung satu prinsip rohani iaitu memberi untuk diberkati atau “Give to Gain”. Prinsip ini bukan sekadar idea moden. Ia sudah lama dinyatakan melalui gambaran wanita mulia dalam Amsal 31. Wanita ini tidak hidup untuk kepentingan diri sendiri, tetapi memberi dengan setia. Melalui hidupnya yang memberi, dia menerima kemuliaan yang sejati. 

Mari kita renungkan beberapa keindahan yang lahir daripada kehidupan wanita seperti ini.  

  

Memberi Kasih, Mendapat Kepercayaan 

“Hati suaminya mempercayainya…” (Amsal 31:11)

Perkara pertama yang menonjol dalam hidup wanita Amsal 31 ialah hatinya yang penuh kasih yang tulus dan kesetiaan. Dia membina keluarganya dengan kejujuran dan ketulusan. Dia tidak bertindak demi kepentingan diri sendiri, tetapi melayani dengan kasih yang nyata. Hasilnya? Dia memperoleh kepercayaan, nilai yang jauh lebih mahal daripada emas. Dalam hidup, seorang wanita yang memberi kasih dengan tulus akan menuai hubungan yang kukuh dan dihormati. 

  

Memberi Kerajinan, Mendapat Keberkatan 

“Dengan senang hati bekerja dengan tangannya…” (Amsal 31:13,17) 

Selain berhati lembut, wanita Amsal 31 juga seorang yang rajin dan berdedikasi. Dia menggunakan apa yang ada padanya seperti tenaga, masa dan kemahirannya bukan kerana terpaksa, tetapi kerana tanggungjawab dan visi. Kerajinannya membawa kestabilan kepada keluarganya dan berkat dalam pekerjaannya. Prinsip “Give to Gain” tetap relevan bagi wanita hari ini. Sama ada di rumah, tempat kerja, pelayanan, atau masyarakat, usaha yang dilakukan dengan setia tidak pernah sia-sia di mata Tuhan. 

  

Memberi Kepedulian, Mendapat Kehormatan 

“Dia membuka tangannya bagi orang miskin, dan menghulurkan tangannya bagi orang melarat.” (Amsal 31:20)

Wanita Amsal 31 bukan hanya berjaya untuk dirinya sendiri. Dia memberi perhatian kepada yang miskin dan yang lemah. Dia peka terhadap penderitaan orang lain dan rela berkongsi apa yang dimilikinya. Inilah tanda hati yang dipenuhi kasih Tuhan. Memberi bukan kerana kelebihan, tetapi kerana belas kasihan. Kerana itu, kehormatan yang diterimanya bukan datang daripada kedudukan atau kekayaan, tetapi daripada kehidupan yang memberi kepada sesama manusia.

  

Memberi Hikmat, Mendapat Pengaruh 

Dia membuka mulutnya dengan hikmah, dan ajaran kebaikan hati ada di lidahnya. (Amsal 31:26)

Kata-kata wanita ini mencerminkan hatinya. Dia tidak bercakap dengan sembarangan. Kata-katanya membina, bukan meruntuhkan. Dia memberi nasihat, semangat dan pengharapan. Orang mendengar kerana mereka tahu kata-katanya membawa kebaikan. Tanpa perlu memaksa atau meninggikan diri, dia menjadi seorang yang berpengaruh dalam kehidupan orang lain. Wanita yang memberi kata-kata hikmat akan meninggalkan kesan yang melangkaui zamannya. 

 

Memberi dengan Takut akan Tuhan, Mendapat Kemuliaan Sejati 

Perempuan yang takut kepada TUHAN akan dipuji-puji. (Amsal 31:30) 

Inilah asas kepada seluruh kehidupan wanita Amsal 31. Semua kasih, kerajinan, kepedulian, dan hikmatnya lahir daripada hubungannya dengan Tuhan. Dia memberi hidupnya untuk menghormati Tuhan dalam setiap keputusan, perwatakan dan perhubungan. Apa yang dia peroleh? Pujian bukan daripada manusia semata-mata, tetapi daripada Tuhan sendiri. Kecantikan luaran akan berubah seiring waktu, tetapi kehidupan yang takut akan Tuhan menghasilkan kemuliaan yang kekal.

Wanita “Give to Gain” dalam konteks wanita masa kini sebagai ibu, isteri, pemimpin, profesional, aktivis, guru, atau pelayan Tuhan prinsip ini tetap relevan. Melalui hidup seperti inilah dunia dapat melihat keindahan sebenar seorang wanita.  

 

Memberi Bukan Kehilangan 

Hari Wanita Sedunia bukan sekadar meraikan pencapaian wanita, tetapi peluang untuk menghargai karakter wanita yang Tuhan sudah berikan. Amsal 31 mengingatkan kita bahawa memberi bukanlah kehilangan, tetapi memberi adalah cara Tuhan bekerja melalui hidup kita.

Semoga setiap wanita hari ini tidak hanya bertanya,“Apa yang boleh saya dapat?” tetapi dengan iman berkata “Apa yang boleh saya berikan untuk kemuliaan Tuhan dan kebaikan orang lain?” Kerana dalam Kerajaan Tuhan, memberi bukan satu paradoks tetapi ia adalah janji Tuhan. 

 

 

 

Apakah peranan dan hak sejati wanita dari perspektif Alkitab? Baca PERANAN DAN HAK SEJATI WANITA | Pedomanharian.org

 


Tentang Penulis
Martha Elizabeth Jublee berasal dari kampung Iran Beluran dan berbangsa Kadazan Dusun. Dia sudah berkahwin dengan Penatua Michael Sulukan selama 33 tahun (2026) dan dikurniakan 4 orang anak (3 lelaki dan 1 perempuan), seorang menantu perempuan dan 4 orang anak angkat. Dia mempunyai pendidikan Sarjana Muda Psikologi & Kaunseling, UMS (2012) dan Sarjana Diviniti, STS (2019). Dia suka melancong, menulis, mendengar muzik, membaca dan memasak.

 

read_more