Kesaksian: Melepaskan Dendam, Menemui Damai
Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat. Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus. (Efesus 4:31-32)
Luka Sejak Kecil yang Menghancurkan Hati
Saya dibesarkan dalam keluarga yang berpecah-belah dan hidup dalam kemiskinan. Sejak kecil, saya sering dihina, dibuli, dan dipulaukan. Bukan sahaja oleh masyarakat, malah oleh mereka yang mengaku sebagai umat Tuhan. Saya masih ingat bagaimana kami disimbah air kencing, dituduh mencuri kerana kemiskinan, dan dipandang hina oleh rakan-rakan. Hati saya luka, kecewa, dan penuh dengan dendam.
Pada usia 6 tahun, saya belum mengerti banyak perkara, tetapi saya tahu bahawa hati saya sakit. Saya mempersoalkan mengapa keluarga saya perlu melalui semua ini. Saya tidak dapat menerima hakikat ini, apatah lagi untuk mengampuni orang yang telah melukakan saya. Saya bahkan pernah berkata untuk tidak akan mengampuni ibu bapa saya yang telah bercerai.
Mengampuni, mengampuni lebih sungguh,
Yesus lebih dulu mengampuni dosa saya,
Mengampuni, mengampuni lebih sungguh.
Demikianlah lagu rohani yang selalu terngiang-ngiang di telinga saya dan saya nyanyikan ketika saya rasa terlalu berat untuk mengampuni. Namun, Tuhan tidak membiarkan saya terus hanyut dalam kepahitan. Melalui persekutuan doa di asrama dan pelayan-pelayan Tuhan yang setia, saya diingatkan bahawa Tuhan mendengar doa saya dan meneguhkan saya untuk memandang serta menyembah-Nya dengan lebih sungguh. Sedikit demi sedikit Tuhan menyentuh hati saya yang keras dan terluka.
Pembebasan Daripada Beban Dendam
Namun saya masih bergelut. Walaupun saya berdoa dan menyanyi, dendam itu tetap saya genggam erat. Saya sedar, saya tidak dapat memikulnya lagi. Saya sangat lelah. Saya hanya inginkan damai. Pada tahun 2012, asrama kami dikunjungi oleh beberapa penginjil dari Australia. Banyak aktiviti yang mereka lakukan untuk membangun jati diri pelajar termasuk berdoa bagi kami.
Ketika warden saya meletakkan tangan di atas kepala saya dan berdoa, saya mula menangis teresak-esak. Malam itu saya mengalami pembebasan daripada beban dendam yang terlalu berat. Bukan disebabkan oleh warden saya, tetapi oleh kuasa dan kasih Yesus yang agung. Saya menyerahkan semuanya kepada Tuhan—dendam terhadap ibu bapa saya, orang kampung, dan gereja yang pernah menghina kami.
Tahun-tahun saya di Asrama Skycommunity (2012–2014) adalah tahun-tahun pembentukan oleh Tuhan. Di sinilah saya dibebaskan oleh kuasa-Nya untuk mengampuni. Hati saya dipenuhi ketenangan. Damai dan sukacita mula bersemi. Saya mulai belajar untuk mendoakan mereka yang pernah melukai saya, termasuk keluarga sendiri.
Tuhan tidak mengubah sejarah hidup saya, tetapi Tuhan mengubah hati saya seperti gelas yang pecah dan tak dapat digunakan lagi, Tuhan menjadikannya pasu bunga yang indah. Sekalipun luka tidak mudah dilupakan, Tuhan mampu menjadikan semua luka itu sesuatu yang berguna untuk kemuliaan-Nya.
Kuasa Tuhan yang Membebaskan
Hari ini, saya berdiri sebagai saksi bahawa pengampunan tidak mudah, tetapi ia membebaskan dan melegakan. Yesus telah mengampuni saya terlebih dahulu, maka saya juga mahu mengampuni, dan hanya Tuhan yang mampu membentuk hati baru dalam diri saya.
Firman Tuhan berkata, “Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu” (Matius 7:7). Saya mengetuk dengan hati yang luka dan Tuhan membuka jalan kepada pemulihan dan damai.
Projek Keluarga Kedua
Kesaksian ini mencerminkan impak rohani yang boleh berlaku apabila pelajar asrama menerima bimbingan dan kasih Tuhan. Inilah semangat yang ingin diteruskan melalui Projek Keluarga Kedua oleh Our Daily Bread Ministries Malaysia.
Mari sertai kami dalam projek ini bertujuan untuk:
- Menyediakan bahan rohani dalam Bahasa Malaysia untuk pelajar, warden, dan gereja.
- Mengadakan lawatan dan bengkel latihan di komuniti asrama.
- Membina generasi muda yang mengenal Tuhan dengan lebih mendalam.
Seperti yang Rostella alami di Asrama Skycommunity, ramai pelajar di Sabah dan Sarawak juga menjadikan asrama sebagai keluarga kedua mereka. Dengan sokongan rohani yang berterusan, mereka dapat mengalami pemulihan, pengampunan, dan pertumbuhan iman yang sejati.
Tentang Penulis
Rostella berasal dari Kota Marudu, Sabah.