Kesaksian Robin: Dari Gelap kepada Terang Tuhan

Saya berasal dari sebuah keluarga yang bukan Kristian. Kami berpegang teguh pada adat dan kepercayaan lama seperti melibatkan azimat serta mimpi tentang orang yang telah meninggal dunia. Saya telah menjadi Kristian setelah berkahwin. Walaupun saya sudah menjadi “Kristian” dan menghadiri gereja, saya masih belum benar-benar berubah. Saya masih terjebak dengan tabiat buruk seperti berjudi, merokok, ketagihan alkohol, berbohong, dan hidup berfoya-foya.

Saya sangat bersyukur kerana isteri saya ialah seorang wanita yang takut akan Tuhan. Dia tidak pernah berhenti berdoa untuk saya. Tuhan memakai isteri saya sebagai alat-Nya untuk menarik saya kembali kepada-Nya. Saya mula berubah secara perlahan-lahan dan membuat keputusan untuk bertaubat sepenuhnya.

Walaupun begitu, proses perubahan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kawan-kawan dan saudara mara mulai menjauhkan diri daripada saya. Mereka menganggap saya telah menjadi sombong, malah ada yang mengejek saya dan menyindir bahawa saya kini ingin menjadi pastor. Walaupun diejek dan dikucilkan, saya tetap berdiri teguh dalam kebenaran kerana saya sedar bahawa ini adalah ujian bagi iman saya.

Saya mengalami perubahan besar sejak saya membaca, merenung dan mempraktikkan firman Tuhan dalam kehidupan seharian.

Saya mula mencari kawan-kawan baru yang seiman, orang-orang yang dapat membantu saya bertumbuh dalam iman. Saya menyedari betapa pentingnya komuniti yang sihat untuk memupuk iman saya. Saya mengalami perubahan besar sejak saya membaca, merenung dan mempraktikkan firman Tuhan dalam kehidupan seharian. Bahkan, saya menjadi semakin rindu merenungkan firman Tuhan setiap hari. Melalui Firman-Nya, saya belajar hidup dalam kekudusan dan meninggalkan tabiat lama. Orang-orang di sekeliling saya juga mula melihat perubahan dalam diri saya.

Saya menjadikan restoran saya sebagai ladang pelayanan.

Sekarang, saya rindu untuk menjadi berkat bagi orang lain, termasuk keluarga, kawan-kawan, dan juga pelanggan restoran saya. Saya memiliki perniagaan kedai makan, dan dahulu, saya sering menipu pelanggan saya demi keuntungan. Namun, sejak mengenal Yesus, saya tidak lagi melakukannya. Malah, saya menjadikan restoran saya sebagai ladang pelayanan. Sebelum mula bekerja setiap hari, saya berdoa agar Tuhan menggunakan saya sebagai tangan dan mulut-Nya di restoran. Melalui kuasa-Nya, saya diberi keberanian untuk berdoa bagi pelanggan saya yang mempunyai masalah atau penyakit.

Saya pernah berdoa untuk seorang pelanggan yang tuli dan dengan kuasa Tuhan, dia disembuhkan. Saya juga mendoakan pelanggan yang ketagihan rokok dan arak, dan puji Tuhan, mereka dibebaskan daripada ketagihan itu. Pekerjaan Tuhan sungguh luar biasa! Namun, tidak semua orang yang saya doakan mengalami pemulihan dengan segera tetapi saya percaya Tuhan masih bekerja dalam kehidupan mereka. 

Salah seorang pelanggan yang didoakan.

Melayani tiada kata sibuk dan melayani di gereja tanpa tembok.

Setiap hari Isnin kami saling mendorong dan berdoa.

 

 

 

 

 

 

 

Pelayanan Tuhan tidak terbatas hanya di dalam gereja atau pada mereka yang bergelar pastor.

Pelayanan Tuhan tidak terbatas hanya di dalam gereja atau pada mereka yang bergelar pastor. Kita boleh melayani Tuhan di mana-mana sahaja, termasuk di tempat kerja atau perniagaan kita. Setiap peluang yang saya temui, walaupun saya tidak mengenali orang tersebut, saya akan menyampaikan kasih dan Berita Baik Tuhan. Walaupun ada yang mungkin menolak, saya percaya kasih Tuhan harus tetap disebarkan.

Hiduplah dalam Roh dan kebenaran Tuhan.

Kepada anda yang bekerja di luar sana atau mempunyai perniagaan, saya ingin memberi dorongan: hiduplah dalam Roh dan kebenaran Tuhan. Jadilah terang yang bersinar dan garam bagi dunia. Melalui pekerjaan anda, biarlah orang lain melihat kebaikan Tuhan dalam diri anda. Menyampaikan Berita Baik bukan hanya tugas mereka yang melayani di gereja, tetapi tanggungjawab kita semua sebagai anak-anak Tuhan.

Tradisi dan kepercayaan lama mungkin kelihatan baik bagi keluarga atau bangsa kita, tetapi semuanya tidak akan menyelamatkan kita.

Jika anda sudah bertaubat, tunjukkanlah buah pertaubatan itu dengan melakukan firman Tuhan. Jika anda masih bergelut dengan kepercayaan lama atau roh kegelapan, buanglah segala pegangan yang tidak benar ini. Tradisi dan kepercayaan lama mungkin kelihatan baik bagi keluarga atau bangsa kita, tetapi semuanya tidak akan menyelamatkan kita. Hanya Yesus satu-satunya kebenaran dan Dia menawarkan kehidupan kekal kepada sesiapa yang percaya kepada-Nya.

Persekitaran yang sihat sangat penting untuk membantu kita bebas dari tabiat lama. Carilah komuniti yang membina, dan elakkan bergaul dengan mereka yang terus melakukan perkara-perkara yang tidak berkenan kepada Tuhan. Jika mereka mengajak anda untuk kembali kepada adat yang bertentangan dengan ajaran Kristian, beranikan diri untuk menolak dan berkata, “saya sudah menjadi Kristian.”

Tuhan memberkati!

Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru. (2 Korintus 5:17)

Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan. (Filipi 4:13)

Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Allah itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna. (Roma 12:2)

 


Tentang Penulis
Robin Ak Nyurat berasal dari kampung Ulu Teru, Tinjau, Baram dan sangat dikenali dengan Robin’s Salai kerana perniagaan babi salainya. Tuhan telah mengubah hidupnya dan kini dia sangat bersemangat melayani Tuhan melalui perniagaannya. Jika anda pergi ke Miri, jangan lupa singgah makan ke restorannya dan didoakan!

read_more