TUHAN merapati orang yang patah hati dan menyelamatkan orang yang menyesal. Orang yang benar banyak ditimpa penderitaan, tetapi TUHAN menyelamatkannya daripada segala-galanya. (Mazmur 34:18-19)

Kesaksian Tentang Kebesaran Kasih Tuhan: Sebuah Perjalanan Iman dan Ketabahan

5 November 2021: Permulaan Pergelutan

Hati saya hancur mendengar berita ini.

Kisah ini bermula ketika saya menjalani pemeriksaan MRI di Hospital untuk mengenal pasti punca kesakitan kepala yang sering mengganggu hidup saya. Keputusan menunjukkan terdapat ketumbuhan abnormal di tengah-tengah otak saya, yang dikenali sebagai cavernoma dan sukar dijangkau melalui pembedahan. Hati saya hancur mendengar berita ini. Saya meraung ketakutan sehingga rebah, hanya mampu dipapah oleh doktor dan jururawat. 

Pada malam pertama, seorang doktor pakar berkata bahawa penyakit saya sangat serius dan boleh membunuh. Kata-katanya yang saya tidak lupa sehingga sekarang, tetapi di sinilah perjalanan iman saya dengan Tuhan bermula. 

Antara empat pilihan rawatan yang diberikan doktor, saya memilih yang keempat, iaitu mengambil ubat seumur hidup untuk mengawal kesakitan, dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Dalam doa saya sering berkata, “Walaupun saya tidak sembuh ya Tuhan, kuatkan saya semasa kesakitan. Jangan lepaskan pelukan-Mu Tuhan,” Setiap pagi, saya memohon kekuatan Roh Kudus untuk melalui hari dengan senyuman dan meyakinkan keluarga bahawa saya baik-baik saja. Tuhan mendengar doa saya, memberi saya ketenangan dan semangat untuk bertahan.

September 2022: Pisau Gamma dan Ujian Ketakutan
Kesakitan semakin teruk, memaksa saya menjalani prosedur Radiosurgeri Pisau Gamma. Ketakutan dan kegelisahan menyelubungi hati, tetapi doa dan kebergantungan pada Tuhan memberi saya kekuatan untuk mengambil keputusan ini.

Walaupun prosedur dikatakan hanya memakan masa dua jam, realitinya rawatan itu dijalankan selama sembilan jam! Ketika itu, saya kecewa dan hilang harapan. Dengan besi yang terpasang di kepala, saya meraung kecewa dan menyalahkan doktor. Kali keempat dimasukkan ke dalam mesin rawatan, saya hampir menyerah. 

Namun dalam kegelapan ini, saya tetap berdoa kepada Tuhan. Akhirnya, saya berjaya melalui prosedur itu, walaupun proses penyembuhan dan rawatan berlangsung lebih lama daripada jangkaan. Saya juga sempat dikuarantin selama seminggu kerana positif Covid. 

Februari 2023: Pendarahan Otak dan Mukjizat
Ujian terbesar datang apabila saya mengalami pendarahan otak. Doktor menyatakan tiada rawatan atau pembedahan yang dapat membantu. Dengan berat hati, saya memilih pulang ke rumah untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Dalam tempoh tiga bulan, saya mengalami kelumpuhan dan kehilangan deria rasa, penglihatan, dan pendengaran. Ubat tidak lagi berkesan untuk menahan kesakitan yang saya alami, namun doa menjadi sumber kekuatan saya. 

Suatu malam, jemaah gereja datang ke rumah untuk mendoakan saya. Secara ajaib, saya merasakan dorongan untuk bangkit dari tempat tidur dan duduk di kerusi roda untuk menyambut mereka. Itulah saatnya saya mula faham bahawa Tuhan sedang melakukan penyembuhan-Nya pada saya. Betapa besarnya kasih Tuhan!

Pergelutan selama 3 bulan seperti mimpi, namun dalam penderitaan itu, saya merasai kehadiran dan kemuliaan Tuhan yang nyata. Walaupun  Dia tidak dapat dilihat atau disentuh, mata hati saya menyaksikan pekerjaan-Nya yang luar biasa. Pengalaman ini menguatkan keyakinan saya bahawa masa depan saya penuh harapan. Saya disembuhkan oleh sentuhan tangan Tuhan yang berkuasa.

5 Disember 2023: Ujian Baru, Kasih Tuhan Kekal

“Papa, Tuhan pasti menolong kita, percayalah.”

Selepas 3 bulan saya sembuh, suami saya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4. Sekali lagi, hati saya hancur. Namun, pengalaman saya bersama Tuhan memberi saya kekuatan untuk menyokong suami. Saya berkata, “Kalau saya pernah dijamah oleh Tuhan, pastinya kamu juga,” “Papa, Tuhan pasti menolong kita, percayalah.” Sekali lagi, kami melihat pekerjaan dan kehadiran Tuhan yang nyata melalui kesembuhan yang diberikan-Nya  kepada suami saya. 

Tubuh dan hatiku layu, tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya. (Mazmur 73:26)
Hadirat Tuhan yang Nyata

Pengalaman ini mengajarkan saya bahawa kehadiran Tuhan begitu nyata, terutama dalam kesakitan dan ketakutan. Dia memberi saya kekuatan untuk bertahan, tersenyum, dan melangkah dengan penuh keyakinan. Terpujilah Tuhan yang hebat dan luar biasa!

Saya berterima kasih kepada semua pihak terutamanya saudara dan saudari seiman yang menyokong dan mendoakan saya sepanjang perjalanan ini.


Tentang Penulis
Rosnie Bagu berasal daripada Menggatal, Sabah dan dia pernah melanjutkan pengajian di Seminari Teologi Sabah (STS) pada tahun 1990-1991. Antara pelayanannya ialah Koordinator Pelayanan Keluarga di STS pada tahun 2014-2022. Isteri kepada Pendeta Francis Danil dan dikurniakan empat orang anak.

read_more