Kesetiaan Tuhan Membentuk Gereja yang Hidup
Kerana TUHAN baik, kasih-Nya untuk selama-lamanya; dan kesetiaan-Nya kekal turun-temurun, zaman-berzaman. —Mazmur 100:5
Sejak tahun 2010, saya telah menjadi sebahagian daripada sebuah gereja lokal. Sepanjang lebih daripada 10 tahun bersama, saya melihat sendiri bagaimana doa bersama, pelayanan, dan sokongan sesama telah menolong saya bertumbuh dalam iman. Pengalaman itu menyedarkan saya bahawa kesetiaan Tuhan bukan hanya dapat dirasakan dalam ibadah di gereja, tetapi juga dalam setiap aspek kehidupan seharian.
Namun, pengalaman saya hanyalah satu contoh kecil. Hakikatnya, kesetiaan Tuhan boleh dialami oleh setiap orang percaya, di mana sahaja mereka berada. Tuhan hadir dalam perjalanan iman kita dan sering menggunakan komuniti, keluarga, pelayanan, dan orang di sekeliling untuk menguatkan serta membentuk kita. Dari situlah kita belajar bahawa kesetiaan Tuhan memimpin cara kita melayani, membina keluarga, dan melihat masa depan dengan penuh pengharapan.
Apa yang kita boleh pelajari tentang kesetiaan Tuhan?
- Kesetiaan Tuhan dalam Perkara Kecil
Siapakah yang memandang hina hari terjadinya hal-hal yang kecil? (Zakharia 4:10).
Banyak gereja di Malaysia, termasuk gereja yang saya hadiri, bermula daripada pertemuan kumpulan kecil seperti Kelompok Sel dari rumah ke rumah. Tuhan menghargai setiap langkah kecil yang diambil dengan setia, dan Dia sendiri sanggup mengembangkannya menjadi berkat yang besar.
Oleh itu, janganlah takut bermula dari kecil. Apabila kita setia, Tuhan sanggup melipatgandakan hasilnya bagi kemuliaan nama-Nya kerana Dia terlebih dahulu setia kepada kita. Kesetiaan Tuhan memberi keyakinan bahawa setiap langkah kecil kita tidak sia-sia di mata-Nya.
- Kesetiaan Tuhan melalui Komuniti
Marilah kita saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik. Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri, terutamanya setelah kamu sedar Hari Tuhan itu kian hampir (Ibrani 10:24-25).
Tuhan setia memelihara umat-Nya melalui doa, dorongan, dan kasih dalam persekutuan. Dia hadir melalui orang-orang di sekeliling yang mengingatkan kita bahawa kita tidak berjalan sendirian. Komuniti yang saling mengasihi akan bertahan dalam ujian dan memberi dampak besar. Ingatlah bahawa kesetiaan Tuhan nyata apabila kita dikuatkan melalui komuniti iman yang saling mengasihi.
- Kesetiaan Tuhan dalam Setiap Generasi
Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian (1 Timotius 4:12).
Tuhan setia memanggil dan memperlengkap generasi muda untuk menjadi saksi-Nya. Walaupun dunia sering meragukan mereka, Tuhan tetap setia memberi hikmat, keberanian, dan teladan untuk meneruskan iman. Oleh itu, gereja-gereja harus memberi generasi muda peluang untuk bertumbuh dan melayani. Gereja akan terus “hidup” apabila generasi muda dilibatkan, dipercayai, dan dibimbing dalam kasih Kristus.
- Kesetiaan Tuhan dalam Keluarga
Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya, maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu (Amsal 22:6).
Tuhan setia bekerja dalam keluarga yang berakar pada firman-Nya. Walaupun cabaran melanda, Dia tetap meneguhkan rumah tangga yang berharap kepada-Nya. Oleh itu, sangat penting bagi gereja-gereja untuk menekankan pentingnya bagi keluarga untuk berakar pada firman Tuhan. Keluarga yang dipimpin oleh iman dalam Kristus menjadi asas yang kukuh untuk melahirkan generasi yang teguh dalam Kristus.
- Kesetiaan Tuhan dalam Misi kepada Komuniti
Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga (Matius 5:16).
Iman tidak hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk menjadi berkat bagi orang lain. Tuhan setia menggunakan umat-Nya untuk menjadi terang dan garam di tengah masyarakat. Walaupun usaha kita kelihatan kecil, Dia setia mengubahnya menjadi kesaksian yang memberi pengharapan. Oleh itu, setiap gereja tidak hanya harus fokus ke dalam, tetapi juga ke luar, iaitu melayani dan menjangkau masyarakat sekeliling.
Tuhan memanggil kita untuk hadir memberi harapan, kasih, dan terang di tengah masyarakat.
- Kesetiaan Tuhan untuk Masa Depan
Aku tahu rancangan-rancangan yang Kubuat bagi kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘iaitu rancangan kesejahteraan, bukan malapetaka, untuk mengurniakan kepada kamu masa depan dan harapan (Yeremia 29:11).
Tuhan setia menuntun kita, bukan hanya hari ini, tetapi juga dalam masa depan. Walaupun kita tidak tahu apa yang menanti, kita boleh yakin bahawa janji-Nya tidak pernah gagal. Walaupun sudah 26 tahun melayani, saya rasakan seperti perjalanan ini baru bermula dan harus diteruskan. Masih banyak yang harus diselesaikan dibumi ini dan perjalanannya tidak akan mudah. Namun, kita boleh percaya terhadap kesetiaan Tuhan dan yakin bahawa masa depan di tangan-Nya—gereja dan kehidupan kita akan terus dipimpin-Nya.
Kesetiaan Tuhan nyata dalam kehidupan kita setiap hari, dalam komuniti yang hidup, keluarga yang kuat, belia yang dibimbing, dan misi yang membawa kasih Kristus kepada orang lain. Apa pun latar belakang atau gereja kita, kita boleh yakin bahawa hidup kita mendapat makna baru apabila dijalani bersama Tuhan Yesus dan berdasarkan firman-Nya.
Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita (Efesus 3:20).
Tentang Penulis
Joyveri Nyelang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Dia melayani di Grace Church Puchong dalam kepimpinan, pengajaran, dan pemuridan. Selain itu, Joyveri aktif dalam pelayanan misi komunikasi di sekitar Lembah Klang, dan pernah menulis untuk Christianity Malaysia. Joyveri rindu melihat hidup diubahkan oleh Firman Tuhan serta keluarga dan individu dikuatkan dalam perjalanan iman mereka.