Kristian dan Planet vs Plastik

“Bumi ini milik TUHAN dengan segala yang di dalamnya, dunia dan semua penghuninya; kerana Dia telah mengasaskannya di atas lautan dan menegakkannya di atas perairan” (Mazmur 24:1).

 

Tuhan merupakan Pemilik agung bagi segala sesuatu di bumi ini kerana semua ialah kepunyaan-Nya, dan Tuhan menciptakan manusia sebagai pengurus di bumi (Kejadian 1:26-28; 2:15). Banyak usaha yang dianjurkan di seluruh dunia bahkan di Malaysia untuk menjaga bumi kita, antaranya adalah Hari Bumi yang dirayakan pada 22 April setiap tahun. Jadi tidak salahnya orang Kristian melibatkan diri dalam Hari Bumi ini. Hari Bumi ini membangkitkan kesedaran kita sebagai anggota masyarakat, kerana jika suasana dirosakkan, kesihatan dan kehidupan manusia juga terjejas. Namun kita harus berwaspada agar tidak diperalatkan oleh orang atau memaksa orang lain melibatkan diri dalam program pemuliharaan alam sekitar yang mungkin mempunyai agenda politik untuk mengumpulkan kekayaan bagi diri sendiri.

 

Tema Hari bumi pada tahun ini ialah “Planet vs Plastik” yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan plastik. Pelbagai cara dan kempen disuarakan seperti kempen Reduce (Kurangkan) , Reuse (Guna Semula) & Recycle (Kitar Semula) untuk membangkitkan kesedaran kita. Jika kita menyertai kempen ini, mungkin sampah dan plastik di tepi pantai dan di tempat-tempat melepak boleh berkurangan. Tidak dapat dinafikan bahawa barangan dan beg plastik pakai buang mudah digunakan dan selesa berbanding beg, bekas makanan dan botol air dari rumah. Penggunaan plastik mungkin boleh menjimatkan masa dan tenaga kita.

 

Ini mengingatkan kita tentang Kristian “plastik” yang menggantikan iman dengan perkara yang selesa, mudah, tidak membebankan kita dan tidak Alkitabiah. Kita tidak sanggup berkorban dan mengasihi kerana itu sukar bagi kita. Kepentingan kita sendiri mendahului kepentingan orang lain, “yang penting saya selesa dan bahagia.” Kita mengeksploitasi sumber untuk mendatangkan manfaat kepada diri sendiri berbanding memelihara ciptaan Tuhan termasuk manusia yang telah dipercayakan Tuhan kepada kita demi kemuliaan-Nya.

 

Masalah utama manusia bukanlah kerosakan dunia ini, tetapi keruntuhan jiwa manusia dan kerosakan iman.

Masalah utama manusia bukanlah kerosakan dunia ini, tetapi keruntuhan jiwa manusia dan kerosakan iman. Sebagai Kristian, kita perlu menjadi Kristian yang sejati dan menunjukkan iman sebenar kita agar kita bukan sahaja menjadi pengurus yang baik di bumi tetapi pembawa damai dan harapan. Inilah misi sebenar kita iaitu menyebarkan berita keselamatan agar semua orang percaya kepada Kristus dan kembali ke tempat yang disediakan-Nya (Yohanes 14:2). Di sana tiada lagi pencemaran, bencana alam, kesedihan dan air mata.

 

dunia ini memang tidak akan kekal selamanya

Marilah kita bersama-sama berusaha memelihara alam sekitar kita walaupun kita tahu bahawa dunia ini memang tidak akan kekal selamanya. Tuhan juga memberitahu kita bahawa dunia ini akan lenyap, tetapi Dia berjanji akan langit dan bumi yang baru (Roma 8:20–222 Petrus 3:13Wahyu 21:1Ibrani 1:10-12). Maka kita tahu memang tiada cara yang sempurna untuk “menyelamatkan” dunia daripada pengakhiran yang pasti datang, yang akan berlaku menurut masa dan cara Tuhan.

 

Kita tidak meninggikan ciptaan dunia ini, tetapi meninggikan Pencipta dunia ini.

Apakah cara anda untuk menjadi pengurus yang baik di bumi ini? Bagaimanakah anda boleh menjadi seorang Kristian yang sejati dan bukan sekadar palsu atau ‘plastik’?”

Bacaan Lanjutan:

Rasa Syukur pada Hari Bumi

Tuhan itu Baik (Edisi Kaamatan dan Gawai)


Tentang Penulis
Gabungan karya 3 wanita hebat ODB: Clarensia, Lydia dan Wendy. Clarensia ialah berbangsa Dusun, Wendy ialah Sino-Kadazan, manakala Lydia ialah berbangsa Cina. Ketiga-tiganya mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai hati yang sama untuk melayani pembaca yang berbahasa Malaysia.