Melawan Buli Tanpa Kehilangan Hati Kristus

Setiap kali kes buli menjadi tajuk berita, kita semua mempunyai reaksi yang hampir sama—marah, kecewa dan mahu keadilan ditegakkan.

Drama Korea Teach You a Lesson mengangkat realiti yang tidak asing lagi, iaitu kes buli di sekolah dan kesan mendalam yang ditinggalkannya terhadap mangsa.

Hakikatnya, isu ini bukan sekadar berlaku dalam drama. Seorang rakan saya yang pernah melayani di sebuah perkampungan kecil berkongsi bahawa beberapa remaja lelaki berhenti sekolah kerana tidak lagi sanggup berdepan dengan buli yang berterusan.

Di sebalik semua berita itu, mungkin ada satu soalan yang mendalam untuk kita renungkan: Apakah sebenarnya yang sedang didedahkan oleh isu buli tentang hati manusia?

 

Apabila Kita Berhenti Melihat Nilai Seseorang

Buli bukan sekadar tindakan fizikal atau kata-kata yang menyakitkan. Ia bermula apabila seseorang tidak lagi melihat orang lain sebagai manusia yang mempunyai nilai dan maruah.

Alkitab mengajar bahawa setiap manusia dicipta “Menurut gambaran Allah, Dia mencipta mereka, lelaki dan perempuan” (Kejadian 1:27). Ini bermakna setiap orang, tidak kira rupa paras, latar belakang, pencapaian atau kelemahan mereka, mempunyai nilai yang diberikan oleh Tuhan sendiri.

Apabila kita menghina, memalukan atau merendahkan orang lain, kita bukan sekadar menyakiti mereka. Kita sedang gagal menghormati gambaran Tuhan yang ada pada diri mereka.

 

Mereka yang Memilih untuk Berdiam Diri

Drama ini turut mengingatkan bahawa dalam setiap kes buli, selalunya ada orang yang menyaksikan segala yang berlaku tetapi tidak berbuat apa-apa. Mungkin mereka takut, tidak mahu terlibat atau berfikir, “Itu bukan urusan aku.” Jika kita jujur, mungkin kita juga pernah berada dalam situasi seperti itu.

Kasih yang diajarkan oleh Kristus bukan sekadar mengelakkan diri daripada melakukan kejahatan, tetapi berani melakukan apa yang benar. Yakobus 4:17 mengingatkan kita, “Apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang baik dan sepatutnya dilakukan, maka orang itu berdosa.”

Seorang rakan saya pernah membela rakan sekelasnya yang sering dibuli ketika sekolah rendah. Hampir 30 tahun kemudian, rakannya itu masih mengingati peristiwa tersebut. Kadang-kadang satu tindakan kecil sudah cukup untuk membuat seseorang berasa bahawa dia tidak bersendirian.

 

Tetapi Ada Satu Lagi Golongan…

Drama ini juga mengingatkan kita tentang satu lagi golongan, iaitu mereka yang menonton dari jauh. Hari ini, kita sering menjadi golongan itu melalui media sosial.

Ramai yang menuntut keadilan, dan itu memang wajar. Mangsa perlu dibela, dan pembuli perlu dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka. Namun, ada juga yang terlalu marah sehingga mula menghina, menyumpah dan mendoakan keburukan kepada pembuli.

Ironinya, ketika mengecam orang yang menyakiti orang lain, kita sendiri mula menyakiti orang lain melalui kata-kata kita.

Sebagai pengikut Kristus, kita perlu bertanya: Adakah cara saya memperjuangkan keadilan masih mencerminkan hati Kristus?

 

Keadilan Tanpa Kehilangan Kasih

Firman Tuhan berkata, “Jangan ditewaskan oleh kejahatan, tetapi tewaskanlah kejahatan dengan kebaikan” (Roma 12:21).

Ayat ini tidak bermaksud kita menutup mata terhadap kejahatan. Keadilan tetap perlu ditegakkan. Namun, pada masa yang sama, firman Tuhan mengingatkan supaya kita tidak membiarkan kejahatan membentuk hati kita. Ini memang sukar dilakukan, kita boleh menjadi begitu marah terhadap dosa sehingga tanpa sedar kita mula berdosa dalam cara kita bertindak balas.

Yesus sendiri menunjukkan keseimbangan ini ketika berhadapan dengan wanita yang ditangkap berzina (Yohanes 8:1–11). Dia tidak menafikan dosanya, tetapi juga tidak membiarkan orang ramai menghukumnya dengan hati yang penuh kebencian. Sebaliknya, Dia berkata, “Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.”

Biarpun menghadapi kejahatan, berusahalah menjaga hati kita dengan tetap tinggal di dalam Kristus. Maka ketika kita melawan kejahatan, kita tidak kehilangan hati Kristus.

Bukankah Injil sendiri adalah kisah tentang orang-orang berdosa yang diberi peluang untuk berubah?

 

Kita Semua Memerlukan Kristus

Ramai yang berpendapat bahawa penyelesaian kepada isu buli ialah sistem disiplin yang lebih tegas atau mendirikan sebuah badan khas seperti Biro Perlindungan Hak Pendidikan (Educational Rights Protection Bureau) dalam drama ini. Langkah-langkah seperti ini sememangnya penting.

Namun, masalah buli bukan sekadar tentang sistem sekolah atau disiplin. Ia mendedahkan sesuatu yang lebih mendalam, iaitu hati manusia yang telah dicemari dosa. Jika akar masalahnya ialah hati manusia, maka penyelesaian yang paling utama juga mestilah pembaharuan hati oleh Kristus.

Mudah bagi kita untuk melihat masalah ini sebagai kesalahan “orang lain”. Namun firman Tuhan mengajak kita memeriksa hati sendiri. Pernahkah kata-kata atau gurauan kita melukakan orang lain? Pernahkah kita memulaukan seseorang, berdiam diri ketika melihat ketidakadilan, atau membalas kebencian dengan kebencian?

Itulah sebabnya kita semua memerlukan Kristus. Berita baiknya ialah Yesus bukan sahaja mengampuni dosa kita, tetapi juga mengubah hati kita supaya kita mampu melihat orang lain dengan kasih, belas kasihan dan maruah.

Apabila hati kita diubah oleh Kristus, kita bukan sahaja berhenti menyakiti orang lain, tetapi juga menjadi orang yang melindungi, menghiburkan dan membawa harapan kepada mereka yang terluka.

Mungkin itulah renungan yang boleh kita bawa selepas menonton drama ini. Di tengah-tengah dunia yang penuh dengan luka dan kebencian, Kristus memanggil kita menjadi pembawa kasih, kebenaran dan harapan.


Renungkan

  1. Pernahkah saya menjadi mangsa buli, dan adakah saya membawa luka itu kepada Tuhan?
  2. Pernahkah saya, secara sedar atau tidak, menyakiti orang lain melalui kata-kata atau tindakan saya?
  3. Adakah cara saya mengejar keadilan masih mencerminkan hati Kristus?

Baca: Panggilan untuk Orang Kristian di Tengah-Tengah Budaya Buli


Tentang Penulis
Clarensia Rongkos melayani sepenuh masa di Our Daily Bread Ministries (ODBM) sejak tahun 2019. Dia berasal dari Kota Belud, Sabah dan kini membantu dalam pelayanan bahasa Malaysia di ODBM.

 

read_more