Mengapakah Kristus Harus Mati?
Kematian Yesus pada kayu salib bukan satu kesilapan. Tetapi itulah contoh terbaik kasih Tuhan dan teladan bagi cara hidup kita di dunia.
Kematian Kristus Menyatakan Kasih Tuhan
Kayu salib merupakan bukti bagi kasih Tuhan: “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.” (Yohanes 3:16).
Ada orang cuba mencari dan merasakan kasih Tuhan melalui mesej yang dibawa oleh alam semula jadi—kehangatan sinaran matahari, angin sepoi-sepoi, bunga-bunga mekar di taman, dan penjagaan lembu atau ayam terhadap anaknya. Namun hakikatnya, di sebalik semua yang kita rasa dan lihat ini ada mesej bertentangan—matahari dan kemarau menjadikan tanah kering dan tidak berhasil, angin kuat yang boleh menghancurkan, ayam dibunuh dan dimakan biawak atau ular sawa waktu malam, dan gunung berapi yang tiba-tiba meletus. Maka kita akan mengalami kekecewaan kerana kasih Tuhan tidak selalunya boleh dilihat melalui alam semula jadi.
Oleh itu, sekiranya kita mencari bukti kasih Tuhan, carilah di dalam Alkitab kerana ia sudah memberi kita melalui kayu salib. Oleh sebab Yesus ialah Anak Tuhan, kematian-Nya adalah pengisytiharan yang sangat mendalam akan kasih Tuhan.
Yesus telah menjalani hidup-Nya tanpa berbuat dosa. Meskipun Dia sendiri tidak bersalah, Dia mati dengan dengan amat kejam untuk memberikan keselamatan bagi kita. Fikirkan sejenak tentang penderitaan yang dialami oleh Kristus dan ingatlah bahawa semua itu adalah disebabkan kita.
Mari mengagumi pengorbanan-Nya—Dia menderita di hadapan Bapa semasa di Getsemani sehingga peluh-Nya menitis bagaikan darah.
Ikut dan pikullah salibmu—Dia ditangkap seperti penjenayah, dicambuk oleh tentera Roma, dianiaya dan diejek dengan mahkota duri.
Dengarlah Dia—Dia tergantung di kayu salib, mendoakan musuh-musuh-Nya, bercakap dengan kasih kepada ibu-Nya dan menjanjikan keselamatan kepada penjenayah yang bertaubat.
Ingatlah—Yesus menanggung penyeksaan yang amat berat kerana anda dan saya.
Inilah yang dilakukan oleh Tuhan untuk kita, “Allah menjadikan Dia yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah” (2 Korintus 5:21). Melalui kasih Tuhan yang sangat besar ini, kita telah mengalami 4P ini:
Perdamaian—kita berdamai dengan Tuhan. Yesus telah membuka jalan bagi kita untuk didamaikan dengan Tuhan, dan hubungan kita dengan Dia dipulihkan melalui iman kita kepada Kristus.
Pembenaran—kita diisytiharkan benar di sisi Tuhan. Apabila kita percaya dengan iman kepada-Nya, hukuman dosa tidak lagi kita tanggung.
Penebusan—Kita ditebus daripada dosa dan hukuman. Kita telah dibebaskan daripada belenggu dosa dan Iblis. Harga tebusan sudah dibayar dengan lunas melalui kematian Yesus.
Pembebasan—kita dibebaskan daripada kemurkaan Tuhan. Korban yang layak telah dipersembahkan bagi pihak kita. “Oleh sebab sekarang kita telah diperbenar dengan darah-Nya, lebih-lebih lagilah kita akan diselamatkan daripada kemurkaan Allah melalui-Nya” (Roma 5:9).
Kematian Kristus Menunjukkan Cara Kita Hidup
Kematian Yesus memberi kita prinsip rohani tentang kehidupan. Kasih yang membawa Yesus kepada pengorbanan yang tiada tandingannya menjadi contoh bagi kita. Prinsipnya adalah kita harus mengasihi sebagaimana Dia mengasihi; hidup sebagaimana Dia hidup, seperti dalam firman Tuhan, “kerana Kristus juga menderita untuk kita, memberi kita teladan, supaya kita menurut jejak langkah-Nya” (1 Petrus 2:21).
Dengan mengikut teladan-Nya, mula-mula kita mesti mati terhadap kepentingan diri sendiri. Kita mesti mengambil jalan salib, jalan yang mewajibkan kita mati terhadap keinginan diri sendiri. Kita telah disalibkan bersama Kristus, oleh itu, bukanlah kita lagi yang hidup tetapi Kristus yang hidup di dalam kita (Galatia 2:20). Jadi, segala tindakan kita harus menunjukkan cara Kristus.
Pada malam sebelum Yesus disalibkan, Dia memberitahu para pengikut-Nya, “Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri” (Yohanes 13:34). Kasih Yesus harus menjadi ukuran kasih kita kepada sesama. Yesus mengasihi para pengkhianat dan musuh-Nya sehingga akhir nafas-Nya. Dia membasuh kaki dan memanggil Yudas sebagai sahabat walaupun Dia tahu pengkhianatannya, menyembuhkan telinga hamba imam besar yang dipotong semasa penangkapan-Nya, malah Dia berdoa dan mengampuni para musuh-Nya semasa penyaliban-Nya.
Secara praktikal
Bagaimana kita boleh mengasihi sesama seperti Yesus mengasihi kita? Kita harus mengetepikan perasaan marah, benci dan dendam kita terhadap orang lain. Yesus memberikan banyak teladan tentang kasih dan cara melayan orang yang dipinggirkan oleh masyarakat, balu, kanak-kanak, pencuri, pelacur, hamba atau sekiranya kita dikhianati. Dia juga memberi kita teladan dalam menghadapi penderitaan dan cabaran hidup. Seberat mana pun cabaran hidup kita, kita harus tetap memandang Yesus dan berharap kepada-Nya, seperti Dia tetap memandang Bapa sehingga kematian-Nya. Sekiranya kita menghadapi godaan dan tawaran dunia, lawanlah seperti Yesus telah melawan Iblis semasa berpuasa di padang gurun selama 40 hari. Mari pikul salib kita masing-masing sehingga kedatangan Yesus yang kedua kali.
Apabila Kutuk menjadi Berkat
Kita beruntung kerana kita dapat melihat kematian Yesus dari sudut pandangan yang betul. Tidak seperti para pengikut Yesus yang mula-mula dan orang-orang yang tidak percaya kepada-Nya. Bagi mereka, penyaliban adalah satu malapetaka yang ngeri, menghancurkan hati dan tanda kekalahan. Tetapi ini sebenarnya sebahagian rancangan Tuhan untuk menyelamatkan manusia. Mari merenung “kayu salib” dan semoga hati anda dipenuhi oleh kesyukuran atas perbuatan Yesus di sana. Kemudian bertekadlah untuk hidup dalam ketaatan kepada Tuhan.
Adakah anda pernah cuba mencari kasih selain kasih Yesus? Bagaimanakah anda sedar bahawa sumber kasih sejati hanya terdapat dalam Yesus?
Bagaimanakah anda mengasihi orang lain seperti Yesus mengasihi anda?
Diadaptasi daripada Siri Bimbingan Mengapakah Kristus Harus Mati?