Mengapakah Tuhan peduli tentang kehidupan seks saya?
Berdasarkan anggaran statistik Kementerian Kesihatan (KKM), secara purata 4,000 remaja perempuan di bawah umur 18 tahun hamil setiap tahun di Malaysia disebabkan oleh aktiviti seks bebas. (Sumber: Berita Harian, 16 Ogos 2023)
Ramai orang yakin bahawa Alkitab bukan sahaja buku yang kuno dan sangat konservatif dalam hal seks, malah menetapkan sekatan ke atas tingkah laku seksual yang dianggap menindas oleh budaya moden kita, tetapi Alkitab juga menyokong pandangan yang memudaratkan orang yang mudah diserang, terutamanya menggalakkan kebencian terhadap golongan LGBTQ.
Persoalan seperti ini perlu ditangani dengan berhati-hati. Walaupun kata-kata Yesus mengandungi cabaran, Dia mengungkapkannya dengan tujuan yang penting dan cara yang lemah lembut. Ketika Yesus bercakap tentang seks dan seksualiti (Matius 5:27-32, 19:3-12; Yohanes 8:2-11), Dia bukan datang dengan menggunakan kekerasan yang memaksa kita tunduk kepada ajaran-Nya. Kata-kata-Nya bukan berunsurkan politik tetapi pastoral (bimbingan kerohanian).
Sejak permulaan dunia ini, seks merupakan idea Tuhan. Bahagian pertama dalam kisah Kristian menceritakan bahawa Tuhan menciptakan segalanya untuk tujuan yang baik: pelengkap seksual. Kita telah diberitahu bahawa ketika Adam dan Hawa dicipta, mereka dalam keadaan telanjang dan tidak malu kerana ini adalah sebahagian rancangan penciptaan Tuhan.
Jadi Tuhan tidak menciptakan manusia sebagai pasangan yang saling melengkapi secara seksual, siap dengan keinginan seksual yang ghairah, lalu terkejut terhadap perbuatan mereka selepas Tuhan meninggalkan mereka bersendirian untuk seketika. Tidak dapat diragui bahawa Alkitab bersetuju dengan seks. Malah, terdapat sebuah kitab dalam Alkitab, iaitu Kidung Agung yang mampu membuat anda berasa malu ketika membacanya. Kitab ini menggunakan bahasa yang menunjukkan keinginan yang erotik dan pertemuan pasangan muda melalui pelbagai peringkat hubungan mereka.
Oleh itu, Tuhan tidak konservatif dalam hal seks; Dia telah menciptanya sebagai hadiah.
Bagaimanapun, apa yang telah dikatakan dalam ajaran Kristian tentang keinginan seksual kita adalah agak mengejutkan dan mencabar, kerana budaya kita telah menanamkan pelbagai kepercayaan yang tidak sihat tentang seks dan seksualiti ke dalam jiwa kita.
● Keinginan seksual berupa selera, seperti rasa dahaga dan lapar yang harus dipuaskan.
● Seks bukanlah perkara besar, ia bersifat fizikal dan sementara, jadi tiada masalah dengan siapa yang anda melakukannya selagi ada persetujuan.
● Keinginan seksual merupakan kunci untuk memahami siapa diri anda yang sebenarnya. Ia harus dipenuhi agar anda akan menjadi bahagia.
Yesus mencabar semua kepercayaan budaya ini. Pertama, Dia bercakap secara terbuka bahawa seks ialah hadiah daripada Tuhan, yang harus dirayakan dalam batas perkahwinan (Matius 19:4-6).
Kemudian, Dia menggunakan istilah Yunani, porneia (Matius 15:19, 19:9), yang mengatakan bahawa segala aktiviti seksual di luar perkahwinan, seperti menonton filem lucah, berzina dengan kekasih atau yang sama jantina, perbuatan ini bertentangan dengan rancangan penciptaan Tuhan yang sempurna.
Buat setakat ini jika sesiapa beranggapan bahawa mereka masih ‘ok’ dalam hal ini, ingatlah bahawa Yesus telah berkata bahawa Tuhan tidak hanya peduli tentang perbuatan kita ke atas tubuh kita, Dia juga peduli tentang imaginasi dalam fikiran kita. Bahkan, hanya memandang seseorang dengan berahi sudah dianggap berzina (Matius 5:27-30).
Kita mungkin berfikir bahawa semua ini tidak masuk akal. “Bagaimanakah ajaran Kristian boleh menjadi Berita Baik sekiranya ia menyuruh saya mendisiplinkan keinginan saya?”
Menurut Yesus, ini kerana setiap kita sudah rosak secara seksual, maka tiada seorang pun yang terkecuali. Sama ada dalam fikiran atau perbuatan kita, setiap kita mempunyai sejarah seksual. Namun, Tuhan sangat mengasihi kita sehingga Dia bukan sahaja menerima kita seadanya, malah Dia juga tidak mahu kita tetap hidup dalam dosa. Apa yang ditawarkan Yesus kepada kita adalah sesuatu yang sangat unik: kasih kurnia, pengampunan dan penebusan. Kita mungkin tidak dapat mengawal keinginan seksual kita, tetapi Yesus menghendaki kita membuat pilihan yang benar perihal seksual kita dan kembali kepada rancangan penciptaan Tuhan yang sempurna, mengenai apa yang kita fikirkan dan lakukan ke atas tubuh kita.
Yesus membawa kita memahami kebenaran yang jauh lebih penting, iaitu seks mempunyai tujuan yang suci.
Dalam ajaran Kristian, seks bukan tentang diri kita. Kesatuan antara seorang suami dan isteri, kasih dan pelayanan antara sesama dalam semua aspek kehidupan, hanyalah gambaran awal tentang kesatuan Tuhan dan umat-Nya yang kekal apabila Yesus kembali.
Dalam ajaran Kristian, perkahwinan dan seks akan berada sebagai bayang-bayang bagi perkara yang lebih indah dalam ciptaan baru.
Ajaran Yesus untuk mendisiplinkan keinginan seksual kita dan mengejar kekudusan bukanlah bermaksud berpura-pura bahawa kita tidak mempunyai keinginan ini; sebaliknya, kita patut faham keinginan ini akan menjadi sebahagian tujuan yang penting, yang mengarah kepada keintiman, kegembiraan dan kepuasan yang paling mendalam, terutamanya apabila Yesus kembali untuk membawa keabadian.
Berwaspadalah ketika membaca ajaran-ajaran tentang seks dalam budaya kita. Bagaimanapun, saya tahu saya boleh percaya kepada Yesus. Berita baik tentang Dia cukup meyakinkan; Dia mengajar kita tentang tujuan seks yang suci; memberikan kemuliaan kepada peranan dan keinginan seksual kita tanpa mengidolakannya, dan menjemput kita mengawal keinginan kita demi melayani tujuan-Nya yang lebih besar.
Yesus datang bukan untuk mengancam seksualiti kita; Dia datang untuk memulihkan tujuan asal seks dalam rancangan penciptaan Tuhan yang sempurna.
Tentang Penulis: Dan Paterson, Australia
Dan Paterson ialah pengasas bagi Pertubuhan Questioning Christianity (Mempersoalkan Agama Kristian) dan tinggal di Brisbane, Australia. Sebagai seorang pastor, Dan sering berkhutbah bahawa bagaimana Injil banyak berkaitan dengan soalan-soalan besar dalam kehidupan kita, dan soalan-soalan penentangan yang popular tentang iman Kristian, terutamanya soalan tentang penderitaan. Isteri Dan ialah Eri, dan mereka mempunyai tiga orang anak lelaki, Josiah, Zachariah dan Seth.