Didin Taresoh, seorang atlet para yang pernah mengharumkan nama Malaysia di persada sukan para dunia, menceritakan serba sedikit perjalanannya sebagai atlet para dan bagaimana iman Kristiannya mempengaruhi perjalanan tersebut. Keadaan fizikalnya yang berbeza dengan kebanyakan orang tidak mematahkan semangatnya untuk mencapai minat, impian dan matlamat yang sudah disediakan oleh Tuhan. Bahkan dia ingin mendorong orang lain, terutamanya generasi muda di Malaysia untuk tidak berputus asa dalam mencapai impian dan matlamat mereka.
Berikut adalah temu ramah antara wakil Our Daily Bread Ministries (ODBM) dan cikgu Didin.
ODBM: Bagaimanakah anda menemui minat anda terhadap sukan?
Didin: “Saya dilahirkan dan membesar di sebuah kampung terpencil yang dikelilingi oleh rakan-rakan yang minat bersukan. Persekitaran ini menimbulkan minat saya terhadap sukan walaupun keadaan fizikal saya tidak sempurna. Saya aktif bersukan tetapi tidak pernah terfikir untuk pergi jauh kerana saya sendiri tidak tahu wujudnya sukan para ini. Saya boleh bermain banyak jenis sukan (bola sepak, sepak takraw, ping pong, bola tampar, hoki, renang) tetapi saya lebih menonjol dalam sukan badminton. Saya mengetahui tentang kewujudan sukan para daripada seseorang yang tidak pernah saya kenali bernama Shamli Waidi yang berasal dari kampung Sosondoton, Ranau, dan seorang atlet Paralimpik Malaysia dalam acara merejam lembing dan cakera.”
“Dia pernah melihat saya bermain dalam satu pertandingan badminton kategori orang normal yang mendorongnya berusaha mendapatkan nombor telefon saya dari Pejabat Pendidikan Daerah Ranau. Kemudian, dia menghubungi dan menyuruh saya mengikuti pertandingan kategori Para Badminton di Jabatan Belia dan Sukan Putatan semasa pencarian atlet Paralimpik Sabah yang dihadiri oleh tiga jurulatih Kebangsaan sebagai panel pemilih.”
“Rancangan Tuhan itu indah pada waktu-Nya—saya menjuarai kejohanan tersebut—bermulalah penglibatan saya sebagai atlet para. Penyertaan pertama saya dalam kejohanan Para Badminton ialah Kejohanan Dunia di London, England pada tahun 2015. Saya tidak pernah terfikir berpeluang melihat dunia luar apatah lagi menjadi juara dunia. Semua ini adalah rancangan Tuhan.
ODBM: Pernahkah anda menghadapi kegagalan atau kekecewaan sepanjang perjalanan anda sebagai seorang atlet paralimpik? Bagaimanakah anda mengatasinya?
Didin: “Kegagalan dan kekecewaan terbesar yang pernah saya alami adalah kegagalan membawa pingat untuk Malaysia semasa sukan Paralimpik Tokyo 2020, disebabkan kecederaan yang sangat serius sehingga saya terfikir supaya kapal yang membawa saya balik ke Malaysia akan tenggelam di laut China Selatan. Syukurlah, iman yang semakin “mengecut” itu terus berbisik, mendorong supaya terus berserah dan bergantung pada Yesus sehingga saya mengalami ketenangan dan kedamaian dalam jiwa saya.”
Kalah dan menang adalah adat pertandingan, tetapi ia bukanlah segalanya.
Saya tahu bahawa saya disokong oleh sesuatu yang lebih “besar”.
“Iman saya dalam Kristus banyak membantu saya menghadapi saat-saat kegagalan atau kekecewaan. Kalah dan menang adalah adat pertandingan, tetapi ia bukanlah segalanya. Saya sedar bahawa kekalahan adalah normal. Saya yakin bahawa Tuhan ada rancangan yang lebih besar atau tujuan yang lebih tinggi di sebalik setiap kejadian termasuk kegagalan. Saya tidak malu mengakui iman saya kerana inilah yang mendorong saya terus maju dalam apa jua aspek kehidupan dan mengalahkan kekecewaan. Saya tahu bahawa saya disokong oleh sesuatu yang lebih “besar” dan itulah yang telah meningkatkan ketahanan mental saya. Sepanjang perjalanan iman dan sukan ini, saya belajar melihat kegagalan sebagai suatu peluang untuk belajar, dibentuk dan berkembang, bukan sebagai pengakhiran bagi segala-galanya.”
ODBM: Apakah strategi yang anda gunakan untuk kekal bermotivasi dan terus berusaha setiap hari, walaupun pada hari-hari yang sukar?
Didin: “Tidak dinafikan kadang-kadang ada sesuatu yang membuatkan saya tertekan dan terganggu kerana cabaran dari segi mental, terutamanya keadaan fizikal saya, tetapi saya belajar mengawal emosi dengan sokongan iman Kristian saya. Sebenarnya tiada strategi khusus, namun senjata dan kekuatan terbesar saya untuk terus maju ialah Kristus—saya meletakkan iman saya dalam-Nya.”
ODBM: Pernahkah anda meragui sama ada usaha dan komitmen anda berbaloi? Bagaimanakah anda mengatasi pemikiran tersebut? Apakah nasihat anda untuk mereka yang bergelut dengan perkara yang sama?
Didin: “Ketika saya bersama dengan pasukan kebangsaan selama 7 tahun, saya pernah meragui tentang usaha dan komitmen saya sama ada berbaloi atau tidak. Saya tertekan kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga. Kadang-kadang saya terfikir bahawa saya telah membebankan rakan sekerja untuk mengambil tanggungjawab saya di tempat kerja (sekolah) ketika saya sibuk dengan latihan dan bertanding di luar negara. Apatah lagi kalau saya tewas dalam pertandingan peringkat antarabangsa, timbul keraguan sama ada mahu meneruskan perjuangan dalam sukan ataupun tidak. Namun, keraguan yang selalu mengganggu fikiran saya dapat diatasi dengan keyakinan bahawa itu adalah satu proses.”
“Kepada yang bergelut dengan keraguan diri dan mempersoalkan usaha mereka, berusahalah untuk mengubah cara berfikir dari negatif kepada positif. Contohnya ubah “saya tak mampu,” kepada “saya sedang belajar dan akan menjadi lebih baik.” Luangkan masa untuk mengenali kekuatan diri dan mengimbas kembali kejayaan yang telah dicapai. Kekalahan boleh menyebabkan kita meragui keupayaan kita, maka belajarlah untuk menerima kegagalan sebagai sebahagian proses. Mengatasi keraguan memerlukan masa dan usaha, namun kita masih akan mengalami kegagalan jika hanya bergantung pada kekuatan diri sendiri dan strategi yang kita anggap betul tanpa iman yang kuat dalam Kristus.”
ODBM: Bagi seseorang yang sedang mencari minat atau sedang berusaha mencapai impian mereka, apakah nasihat anda untuk mereka?
Didin: “Sama ada sukan atau bidang lain, saya rasa prinsipnya tetap sama.”
- Serahkan impian anda kepada Tuhan melalui doa sebelum mengambil langkah seterusnya.
- Berani mencuba. Misalnya dalam aspek sukan, anda boleh mencuba pelbagai jenis sukan untuk melihat dan menilai kemahiran anda. Ini mungkin melibatkan penyertaan dalam acara sukan atau menonton pertandingan.
- Mulakan dengan menetapkan matlamat kecil dan realistik. Selangkah demi selangkah.
- Bergaul dengan rakan-rakan atau kumpulan yang mempunyai minat yang sama untuk meningkatkan motivasi dan komitmen. Ada masanya kita boleh “meniru” atau belajar daripada orang lain dan menjadikan seseorang itu sebagai teladan yang baik.
- Terus meneroka dan mempercayai Tuhan dalam proses. Kadangkala minat anda mungkin terletak di tempat yang tidak dijangka. [Setinggi langit di atas bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku daripada jalanmu dan rancangan-Ku daripada rancanganmu (Yesaya 55:9).]
ODBM: Apakah satu ayat Alkitab yang mendorong anda dalam perjalanan atlet anda?
Didin: “Saya memegang firman Tuhan iaitu, “aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan,” (Filipi 4:13). Saya juga ada slogan yang memberikan motivasi kepada diri saya iaitu, “From Zero to Hero.””
Semoga kesaksian Didin ini memberikan kita inspirasi dalam perjuangan kita masing-masing. Seperti Paulus yang dapat melakukan segalanya—baik dalam kemiskinan atau kekayaan—melalui Kristus yang memberikan dia kekuatan, semoga kita tidak berbangga dengan kemampuan kita sendiri tetapi berbangga dengan kekuatan yang disediakan oleh Tuhan.
Akhir sekali dan yang paling penting, marilah, “berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita,” (Ibrani 12:1)—perlumbaan iman untuk mendapatkan kemenangan yang kekal.
Tentang Penulis
Didin Taresoh, berasal dari Kampung Tegudon, Kota Belud ialah seorang guru. Dia sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak perempuan. Aktif dalam Sukan Para sejak tahun 2013 sehingga 2020, kini menjadi jurulatih. Selain pencapaian cemerlang dalam sukan para badminton, dia juga pernah mendapat beberapa pingat dalam sukan para merejam lembing, lempar cekera dan lontar peluru.