Meninggalkan Kristus Bukan Pilihan Neutral

Dalam dunia hari ini, tema tentang meninggalkan iman semakin kerap muncul dalam filem, seni, dan juga kisah kehidupan sebenar. Ada naratif yang menggambarkannya sebagai satu pilihan peribadi, satu pencarian identiti diri, atau satu keputusan yang perlu dihormati tanpa banyak persoalan. 

Sebagai umat Kristian, kita diajak untuk melihat isu ini dengan penuh kepekaan, kasih, dan pada masa yang sama, berpaut teguh pada kebenaran firman Tuhan. Dari perspektif iman Kristian, meninggalkan Kristus bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai pilihan rohani yang neutral atau tidak memberi kesan. Mengapakah demikian?

 

1. Kesetiaan kepada Kristus Membentuk Identiti Seorang Kristian 

Yesus sendiri berkata, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku” (Yohanes 14:6). 

Mengikut Kristus bukan sekadar warisan keluarga atau pengaruh budaya, tetapi satu hubungan peribadi yang melibatkan seluruh hidup. Iman Kristian berakar pada kesetiaan kepada Kristus sebagai sumber hidup, pengharapan, dan keselamatan. 

 

2. AlkitabMemberi Peringatan tentang Menjaga Iman 

Firman Tuhan dengan jujur mengingatkan umat-Nya tentang keseriusan menjauh daripada iman (lihat Ibrani 10:26–27). Peringatan ini bukan bertujuan menakutkan, tetapi mengajak kita merenung keadaan hati kita. 

Tuhan sentiasa bersedia mengampuni, namun apabila hati semakin menjauh dan enggan kembali kepada-Nya, kita sedang menjauh daripada kasih kurnia Tuhan. Oleh itu, Alkitab memanggil kita untuk sentiasa menjaga iman dengan rendah hati dan kesedaran rohani.

 

3. Kasih Kristian Bukan Membenarkan Segala-galanya

Gereja dipanggil untuk mengasihi seperti Kristus mengasihi, dengan belas kasihan, kesabaran, dan kebenaran. Kasih sejati bukanlah menutup mata terhadap sesuatu yang boleh menjauhkan seseorang daripada Tuhan, tetapi dengan lembut mengarahkan hati kembali kepada-Nya. 

Mengasihi tidak bermaksud mengesahkan setiap pilihan rohani termasuk pilihan untuk meninggalkan iman Kristian, tetapi berjalan bersama sambil tetap berpegang pada kebenaran firman Tuhan.

 

4. Budaya Berubah, Tetapi PanggilanKristusTetap Sama 

Kita hidup dalam dunia yang sentiasa berubah, dengan pelbagai tekanan sosial dan pandangan baharu tentang kebebasan dan kebenaran. Namun, panggilan Yesus tetap sama: “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan mengikut-Ku” (Lukas 9:23). 

Iman Kristian bukan tentang keselesaan, tetapi tentang ketaatan yang lahir daripada kasih kepada Kristus.

 

5. Jemputan untuk Kembali Sentiasa Terbuka

Bagi mereka yang sedang berjuang, ragu-ragu, atau terluka, gereja tidak dipanggil untuk menghakimi, tetapi untuk menjadi ruang yang selamat. Menjadi tempat bagi kasih Kristus dinyatakan dan harapan dipulihkan. Namun dalam kepekaan dan kasih, kita juga tidak boleh menganggap bahawa meninggalkan iman sebagai satu pilihan yang sama dengan mengikut Kristus. Firman Tuhan sentiasa mengundang kita untuk kembali kepada-Nya, kerana hanya di dalam Kristus terdapat kehidupan yang sejati. 

 

Oleh itu, dalam apa jua bentuk naratif, sama ada dari segi seni, budaya, atau pengalaman hidup, umat Kristian dipanggil untuk terus kembali kepada kebenaran ini: Kristus memanggil kita kepada kesetiaan. Keselamatan adalah anugerah yang sangat berharga. Hati Tuhan sentiasa rindu agar anak-anak-Nya kembali kepada-Nya, bukan menjauh. Kita boleh memahami kisah manusia dengan empati, sambil tetap berpegang teguh pada iman yang telah disampaikan kepada kita “sekali untuk selama-lamanya” (Yudas 1:3). 

 

Mari berdoa: 

Tuhan, tolong aku tetap setia kepada-Mu setiap hari. Jika hatiku mulai tergoda untuk menjauh, tariklah aku kembali dengan kasih-Mu. Ajarku berjalan dengan rendah hati, mengasihi sesama, dan berpegang teguh pada firman-Mu.  

 


Tentang Penulis
Rev. Parasin Oinung ialah pensyarah di Seminari Teologi Sabah dan EXCO Protestant Church of Sabah. Dia sudah berkahwin dengan Cheryn Balong dan dikurniakan seorang anak perempuan, Daester Ahgion dan seorang anak lelaki, Daezekiel Aedenn.

 

read_more