Nasihat untuk Ibu

Nasihat untuk Ibu

Orang Kristian sering diajar untuk mewariskan misi untuk berkongsi Berita Baik kepada generasi-generasi baru kita. Ini bukanlah idea baru tetapi ia ialah kehendak Tuhan sejak zaman Alkitab. Oleh itu, keluarga kita ialah keluarga penginjilan dan setiap kita ialah penginjil, serta ibu membawa peranan dan pengaruh yang penting dalam perkongsian Injil.

“Seterusnya nasihatilah perempuan yang lebih tua supaya berkelakuan santun: jangan menjadi pengumpat, pemabuk, sebaliknya ajarkanlah kebaikan. Dengan demikian dapatlah perempuan yang lebih tua membimbing perempuan muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, pandai mengawal diri, suci, menjadi suri rumah yang rajin, baik hati, dan taat kepada suami. Maka tidaklah dapat orang mencela perkhabaran Allah” (Titus 2:3-5).

Nasihat Paulus

memiliki kesaksian kehidupan yang baik walaupun tinggal di tempat yang penuh kejahatan

Titus yang muda ialah anak murid Paulus. Paulus dan Titus pernah melayani di Pulau Kreta, selepas itu Paulus pergi ke Efesus dan memesan Titus tinggal di situ untuk terus menggembala jemaah tempatan. Pulau Kreta terkenal dengan pembohongan seperti maksud asal nama tempat ini. Menurut sejarah, lanun-lanun berkeliaran di Pulau Kreta pada abad pertama. Maka kitab ini ditulis untuk mengajar orang percaya memiliki kesaksian kehidupan yang baik walaupun tinggal di tempat yang penuh kejahatan.

Apabila Paulus menyebut golongan wanita, dia mengingatkan perempuan yang lebih tua agar harus berkelakuan santun dan menjadi teladan bagi perempuan muda. Bagi perempuan muda, Paulus menasihati agar mereka tidak mengabaikan tanggungjawab rumah tangga supaya tidak dituduh oleh orang lain. Paulus menekankan betapa pentingnya berkongsi injil tanpa halangan (ayat 5). Ini adalah prinsip yang menjadi asas bagi kehidupan orang Kristian.

Ibu sebagai “pengurus rumah”

tugas utama wanita ialah menyampaikan Injil dan memuridkan

Biasanya frasa seperti “menguruskan rumah” kedengaran seperti melakukan kerja-kerja rumah. Tiada salahnya untuk penjelasan ini. Namun dalam Bahasa Inggeris, frasa ini boleh diterjemahkan sebagai homemaker (suri rumah tangga), busy at home (sibuk di rumah). Anda boleh sibuk menguruskan rumah, namun saya berpendapat, tugas utama wanita ialah menyampaikan Injil dan memuridkan.

Saya faham dalam kebanyakan keluarga tradisional, tugas utama lelaki ialah bekerja untuk menyara hidup keluarga, manakala isteri akan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Namun saudari-saudariku, anda boleh melakukan lebih banyak, lebih spesifik dan lebih mendalam untuk mewariskan misi penginjilan ini kepada generasi baru.

Berikut ialah beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh para ibu:

1. Menjadi Teladan
Bukan mudah untuk memimpin ahli keluarga untuk percaya kepada Yesus. Terutamanya bagi golongan remaja yang mempunyai idola masing-masing dan mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap orang lain. Jika mereka berasa tindakan kita tidak sepadan dengan kata-kata kita, ia akan menjadi sukar untuk meyakinkan mereka percaya kepada Tuhan.

maka kita sendiri harus bergantung pada Tuhan

Jika kita setuju bahawa penginjilan dan pemuridan harus menjadi misi utama dalam keluarga kita, maka kita sendiri harus bergantung pada Tuhan, memohon belas kasihan dan pimpinan-Nya untuk menjalani kehidupan iman ini. Apabila anda menasihati anak-anak untuk mentaati Tuhan, adakah anda sendiri mentaati Tuhan? Apabila anda menasihati anak-anak untuk memperhatikan orang, adakah anda juga memperhatikan orang?

saya juga selalu mendoakan keselamatan keluarga saya bersama dengan anak saya

Selepas saya percaya kepada Kristus, saya juga selalu mendoakan keselamatan keluarga saya bersama dengan anak saya. Abang ngah saya pernah menghadiri ibadah di gereja saya pada minggu penginjilan, kemudian Tuhan menyentuh hatinya untuk berhenti merokok dan kembali kepada-Nya. Berita ini sungguh menggembirakan seluruh keluarga saya. Sepanjang masa berdoa ini, anak-anak saya telah menyaksikan kepercayaan ibu mereka kepada Tuhan, dan bagaimana Tuhan menjawab doa kami yang penuh kasih.

2. Mendidik anak sejak kecil
Tolonglah anak anda memerhatikan keperluan orang lain sejak kecil menurut keupayaan diri, dan memikirkan cara untuk menolong dan memberkati orang lain.

Sebuah berita menceritakan tentang pengaruh keluarga terhadap seorang pelakon kanak-kanak yang pernah terkenal melalui filem Home Alone. Disebabkan bapanya seorang pendera, kehidupan pelakon itu menjadi kucar-kacir, malah dia pernah ditangkap kerana menyalahgunakan dadah. Kini pelakon itu sudah menjalani hidup yang bahagia bersama isteri dan dua orang anak. Dia berkata bahawa isterinya telah memberikan dia makna hidup dan sebuah keluarga.

Saya percaya, dengan pimpinan ibu bapa yang bijak, anak-anak kita akan melihat kemahiran mereka sendiri bukan untuk kemuliaan diri, tetapi boleh digunakan untuk memberkati orang lain.

Kajian telah dibuat terhadap keturunan seorang ahli teologi, Jonathan Edwards, selepas dia meninggal dunia sejak 150 tahun yang lalu. Jonathan dan isterinya, Sarah mempunyai 11 orang anak.

Berikut ialah kajian ke atas 1400 orang keturunannya:
14 orang dekan universiti, 100 orang pekerja Kristian sepenuh masa (pastor, mubaligh, profesor di seminari Alkitab), 65 orang profesor universiti, 100 orang peguam, seorang dekan fakulti undang-undang, 30 orang ketua hakim, 60 orang doktor, seorang pengarah hospital, 80 orang kakitangan utama kerajaan, 3 orang senator, 3 orang datuk bandar, 3 orang Presiden Amerika Syarikat, seorang Menteri Kewangan, dan seorang Timbalan Presiden Amerika Syarikat.

Jonathan dan isterinya, Sarah menyahut panggilan Tuhan dan setia mendidik 11 orang anaknya berdasarkan ajaran Tuhan, sehingga keluarga ini menghasilkan beberapa tokoh yang penting dalam masyarakat Amerika Syarikat sehingga hari ini.

membangunkan generasi yang menggunakan  “kurnia tertentu untuk kebaikan semua”

Hasil perkongsian Injil dan pemuridan yang baik dari rumah bukan sahaja meninggalkan legasi yang takut akan Tuhan, tetapi juga membangunkan generasi yang menggunakan “kurnia tertentu untuk kebaikan semua” (1 Korintus 12:7). Hasilnya tidak akan sama dengan anak-anak yang lain, tetapi tujuan kita adalah sama, iaitu mendidik “seorang anak di jalan yang patut dilaluinya, maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu,” (Amsal 22:6). Akhir sekali, tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh ibu seorang tetapi tanggungjawab kedua-dua ibu bapa.

 

Apakah model keluarga yang anda ingini? Adakah anda sudi menerima cabaran ini, agar keluarga anda menjadi pengaruh yang baik bagi Kristus?

 


Tentang Penulis

Dr. Magdeline Voon Yee Bin berpengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang kaunseling, fokus membantu ibu dan wanita mengalami pertumbuhan dalam keperibadian untuk kebaikan keluarga mereka. Beliau memperoleh ijazah kedoktoran dari Universiti Faith Evangelical, Amerika Syarikat, dan merupakan pakar dalam kaunseling perkahwinan dan keluarga. Dia juga giat melatih kaunselor baru dan menulis kolum tentang keibubapaan bagi majalah Great Commission. Dia dan suaminya, Dr. Thomas Tan diberkati dengan tiga orang anak yang sudah dewasa.

read_more