November dan Azam yang Tertunda
Adakah anda masih ingat tentang azam yang ada buat pada awal tahun 2025 ini? Apakah perkembangan anda?
Tinggal satu bulan lebih lagi, kita akan melangkah ke tahun 2026, namun, impian atau azam 2025 kita mungkin masih tertangguh sejak awal tahun. Jangan cepat mengganggapnya sebagai suatu kegagalan, tapi sebagai pelajaran bahawa perjalanan hidup tidak perlu terlalu laju. Dalam penantian dan penangguhan, Tuhan sedang bekerja untuk membentuk, memproses, dan memperdalam iman kita.
Terdapat 5 peringatan rohani bagi kita yang masih berusaha mencapai impian tersebut.
1. Janji Tuhan Tepat Pada Waktunya
Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang, tetapi amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat. (2 Petrus 3:9)
Penantian bukan tanda Tuhan melupakan kita, tetapi peluang untuk melihat kesetiaan-Nya terbukti dalam masa-Nya yang sempurna. Percayalah, Dia sedang menyusun segala sesuatu untuk kebaikan kita. Walaupun ada doa atau impian yang terasa tertunda, Tuhan tidak pernah gagal menepati janji-Nya. Waktu Tuhan sempurna, berbeza dengan waktu manusia. Apa yang dijanjikan oleh Tuhan, pasti dilaksanakan-Nya. Tetapi kita mesti berpegang pada firman Tuhan.
2. Penantian Membentuk Karakter
Bukan itu sahaja, tetapi kita juga bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan. Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan. (Roma 5:3-4)
Apabila sesuatu impian ditunda, Tuhan sedang membentuk hati kita untuk bersabar dan bertekun dalam iman. Masa kita dimiliki oleh Tuhan. Setiap penangguhan atau penantian memberi peluang untuk mendalamkan hubungan kita dengan Yesus. Ia juga mengajar kita tentang hidup yang tidak dapat diajar oleh kejayaan, dengan membentuk kesabaran dalam diri kita yang menantikan Tuhan serta lebih berdisiplin. Proses menunggu mengajar kita bergantung pada Tuhan, bukan hanya pada kekuatan diri. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya, tetapi Tuhan dengan belas kasihan-Nya mampu menggunakan apa jua keadaan demi kemuliaan-Nya dan kebaikan kita.
3. Setia dalam Perkara Kecil Dahulu
Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar. (Lukas 16:10)
Tuhan menghargai kesetiaan yang kecil sebelum mempercayakan perkara yang besar. Kadangkala impian besar belum tiba kerana Tuhan sedang melatih kita untuk setia dalam hal-hal kecil dahulu seperti tugas harian — dalam doa, pekerjaan, keluarga, atau pelayanan. Kesetiaan kecil hari ini membuka jalan bagi kepercayaan besar esok hari. Dalam diam, Dia sedang memperkukuh iman dan membina keteguhan yang akan mempersiapkan kita untuk tanggungjawab yang lebih besar.
4. Apakah yang Saya Kejar?
Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu. (Matius 6:33)
Yesus mengajar kita untuk mencari Kerajaan Allah terlebih dahulu. Adakalanya Tuhan menunda sesuatu agar kita menilai semula arah hidup kita. Apakah impian kita sejajar dengan kehendak-Nya, atau sekadar memenuhi keinginan duniawi? Keinginan kita sering dipengaruhi oleh keinginan yang mementingkan diri sendiri. Sifat manusia yang bercita-cita tinggi selalu menarik kita membuat pilihan salah. Firman Tuhan dalam Yesaya 55:8–9 mengingatkan bahawa jalan dan fikiran-Nya lebih tinggi daripada fikiran kita. Penundaan sering kali menjadi cara Tuhan menarik kita kembali kepada rancangan-Nya yang sempurna.
5. Masih Ada Harapan Baru
‘Aku tahu rancangan-rancangan yang Kubuat bagi kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘iaitu rancangan kesejahteraan, bukan malapetaka, untuk mengurniakan kepada kamu masa depan dan harapan.’ (Yeremia 29:11)
Yesus adalah sumber harapan kita yang sejati. Apa yang tertunda tidak bererti tertutup dan bukan tanda pengakhiran, tetapi mungkin permulaan baru. Tahun yang belum berakhir bererti peluang masih terbuka. Selagi Yesus belum kembali ke dunia, masih ada pengharapan untuk bulan dan tahun-tahun yang akan datang, kerana Tuhan sentiasa buka jalan baru. Jangan menyerah! Teruskan melangkah bersama Tuhan, kerana Dia tahu jalan yang terbaik.
Impian yang tertunda bukan kegagalan, tetapi ruang untuk bertumbuh. Dalam setiap musim penantian, Tuhan bekerja dengan sabar dan penuh kasih. Jangan berputus asa! Teruskan percaya, kerana janji Tuhan tidak pernah lewat, dan kasih-Nya tidak pernah berakhir.
>> Terus Berlari: Kehidupan rohani kita dikuatkan melalui disiplin rohani yang berterusan.
Renungkan:
- Bagaimanakah anda boleh belajar untuk tidak bergantung pada kekuatan sendiri, tetapi bersandar kepada Tuhan dalam setiap usaha dan keputusan anda?
- Apakah ayat Alkitab yang memberi anda harapan dan semangat apabila anda berasa ingin berputus asa terhadap azam atau impian hidup anda?
Berdoalah:
Tuhan, berikan aku hati yang tetap berharap dan percaya bahawa rancangan-Mu masih indah walaupun impianku belum tercapai. Aku serahkan segala impian dan rancanganku kepada-Mu.
Tentang Penulis
Clarensia Rongkos melayani sebagai kakitangan sepenuh masa di Our Daily Bread Ministries (ODBM) sejak tahun 2019. Dia berasal dari Kota Belud, Sabah dan kini membantu dalam pelayanan bahasa Malaysia di ODBM.





