Panggilan untuk Orang Kristian di Tengah-Tengah Budaya Buli
Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah. (Matius 5:9)
Saya teringat seorang rakan pernah berkongsi pengalamannya dibuli ketika di sekolah. Setiap kali masuk ke tandas, pintu akan ditendang dan lampu dipadamkan menyebabkan dia sangat terganggu secara emosi. Seorang lagi rakan bercerita bahawa di tempat kerjanya, dia pernah ditengking dan ditolak hanya kerana dia pekerja baru dan masih muda.
Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan konflik—di sekolah, di tempat kerja, bahkan di media sosial. Setiap hari, kita mendengar kisah-kisah pertengkaran, kekerasan, dan buli yang cepat tersebar disebabkan kemajuan dunia digital. Inilah realiti dunia kita, manusia semakin mementingkan diri, tamak, dan sanggup menyakiti sesama. Semua ini akibat kejatuhan manusia ke dalam dosa.
Hari ini, isu buli kerap menjadi topik bualan. Bagi si pelaku, ia mungkin kelihatan seperti hiburan atau kebiasaan, tetapi bagi si mangsa, ia adalah penderitaan yang mendalam.
Sebagai pengikut Kristus, kita dipanggil bukan sekadar mengelakkan pertengkaran atau “tidak membuli,” tetapi secara aktif membina suasana damai di mana pun Tuhan menempatkan kita. Yesus berkata “Diberkatilah mereka yang membawa damai, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah” (Matius 5:9).
Panggilan untuk Menjadi Pembawa Damai
Konflik bukanlah perkara baru. Dalam Kisah Para Rasul 21:27–36, kita membaca bagaimana Paulus difitnah oleh orang yang menentang ajarannya. Mereka menyebarkan dusta sehingga tercetus huru-hara, dan Paulus diseret keluar serta dipukul.
Ada orang yang memang memilih kekerasan demi kepentingan diri. Tetapi seperti Paulus, kita tidak perlu membalas dengan kebencian. Tuhan mencari anak-anak-Nya yang berani membawa damai di tengah-tengah dunia yang memilih kekerasan. Buli, sama ada secara fizikal atau verbal, adalah dosa kerana ia bertentangan dengan hukum kasih:
“Kasih itu penyabar dan penyayang…tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri…tidak gembira dengan kejahatan” (1 Korintus 13).
“Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri”(Matius 22:39).
Menjadi Pembawa Damai di Dunia Nyata
Yesus sudah mengingatkan kita bahawa kekacauan tidak dapat dielakkan: “Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan. Tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia” (Yohanes 16:33). Di tengah-tengah dunia yang kacau-bilau ini, tanggungjawab kita adalah menjadi pembawa damai Kristus. Cara kita melayan sesama manusia mencerminkan sama ada kita melihat mereka sebagai pembawa imej Tuhan atau tidak.
Dalam bukunya The Weight of Glory (Kepentingan Kemuliaan), C. S. Lewis menulis: “Di dunia ini tiada manusia yang biasa-biasa. Orang yang kamu temui bukanlah sekadar manusia fana.” Lewis mengingatkan bahawa setiap orang yang kita jumpa memiliki roh yang kekal, sama ada menuju kepada sinar kemuliaan yang abadi atau kegelapan yang tiada harapan. Ini termasuk golongan yang sering menjadi mangsa buli.
Bagaimanakah kita boleh menjadi pembawa damai di dunia nyata?
a) Menegakkan keadilan—membela yang lemah, tidak menyembunyikan kejahatan.
b) Mengawal kata-kata—latih diri untuk bercakap dengan nada tenang walaupun dalam ketegangan.
c) Memilih untuk memaafkan—bukan membiarkan kejahatan berterusan, tetapi memilih untuk tidak berdendam.
d) Hentikan budaya “membawang”— jika tidak membina, lebih baik diam.
Menjadi Pembawa Damai di Dunia Maya
Buli kini semakin berleluasa di media sosial seperti Facebook, TikTok, dan Instagram. Ramai menggunakan “kebebasan bersuara” untuk menghina, menjatuhkan maruah orang lain atau demi keuntungan diri sendiri. Kata-kata di skrin boleh menyakitkan dan kesannya boleh bertahan lama kerana ia mudah diviralkan.
Firman Tuhan mengajar kita untuk membawa damai walaupun dalam suasana dunia maya yang penuh dengan “toksik”. Rasul Paulus menulis kepada Titus: “Larang mereka mengumpat atau bertengkar, dan mendorong mereka bersikap ramah-tamah serta lemah lembut kepada semua orang” (Titus 3:2). Terjemahan lain menyebut: “Hiduplah damai dengan semua orang” (Terjemahan Sederhana Indonesia) atau “menunjukkan penghargaan, rasa hormat, dan perhatian yang sepenuhnya” (NASB).
Bagaimanakah kita boleh menjadi pembawa damai di media sosial?
a) Menapis sebelum kongsi—tanya diri, adakah ini membina atau merosakkan?
b) Elak sebar berita palsu atau gosip—pastikan sumber sahih sebelum berkongsi.
c) Memberi komen yang membina—tidak setuju boleh, tapi jangan hina.
d) Memilih kata-kata yang membina— lebih baik diam daripada menyakiti.
Firman Tuhan berkata: Janganlah biarkan kata-kata yang kesat keluar dari mulutmu, tetapi lafazkanlah teguran baik yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar (Efesus 4:29).
Jadikan media sosial sebagai saluran untuk menyebarkan kasih, bukan kebencian; pengharapan, bukan keputusasaan; pengampunan, bukan permusuhan.
Tindakan Kecil, Kesan Besar
Damai tidak tercipta dengan sendirinya, ia memerlukan keberanian untuk mengampuni, menghormati, dan mengasihi walaupun orang lain tidak melakukannya kepada kita. Yesus sudah memberi teladan—mendamaikan kita dengan Tuhan melalui kayu salib.
Mungkin kita tidak dapat mengubah seluruh dunia, tetapi kita boleh mengubah nada perbualan di rumah, di sekolah, di tempat kerja atau di media sosial. Tindakan kecil kita hari ini boleh menjadi benih damai yang memberi kesan besar untuk kemuliaan Tuhan.
Renungkan:
Adakah kata-kata atau tindakan saya hari ini membawa damai atau luka kepada orang lain?
Adakah imej Kristus terlihat melalui cara saya berinteraksi di media sosial?
Tentang Penulis
Clarensia Rongkos melayani sepenuh masa di Our Daily Bread Ministries (ODBM) sejak tahun 2019. Dia berasal dari Kota Belud, Sabah dan kini membantu dalam pelayanan bahasa Malaysia di ODBM.