Adakah anda bersedia untuk bercakap dengan anak anda tentang seks?
Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya, maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu (Amsal 22:6).
Ji-Woo berpindah ke sekolah baru. Suatu hari, ketika dia tidur di atas mejanya semasa rehat, seorang rakan sekelas lelaki mengambil gambar wajahnya, kemudian mengancam bahawa jika dia melawan, dia akan mengubahsuai tubuhnya dengan tubuh seorang model wanita dan muat naik di laman web lucah sehingga dia akan dicabul, diganggu dan diejek. Ji-Woo bukan mangsa yang pertama, seorang rakan sekelas perempuan juga pernah diancam, tetapi keadaannya lebih teruk, kerana dia terpaksa mengambil gambar bogel sebenar.
Inilah jalan cerita sebuah drama Korea “Family Plan” yang saya pernah tonton, tetapi saya tidak pernah membayangkan bahawa insiden serupa akan benar-benar berlaku di sebuah kampus Malaysia. Sekolah sepatutnya sebuah tempat untuk menimba pengetahuan, memupuk sifat, dan mengasah kemahiran, tetapi kini pelbagai cabaran yang membimbangkan terbentang di hadapan. Ini mengingatkan kita bahawa sebagai ibu bapa dan penjaga, kita harus mengambil inisiatif untuk mengajar anak-anak menurut kebenaran Tuhan dan menjadi penjaga untuk generasi akan datang.
Kenali remaja
Anak-anak yang beralih ke fasa remaja akan mula menunjukkan banyak perubahan fizikal, menjadi lebih sensitif dari segi emosi, mempunyai harga diri yang rendah, dan masih keliru. Mereka sangat mementingkan penampilan dan daya tarikan mereka, serta mengambil berat tentang pandangan rakan sebaya mereka. Layanan yang remeh atau perbuatan yang menyinggung tanpa disengajakan boleh memberi kesan yang mendalam kepada mereka. Ketika masih di sekolah menengah, saya pernah diejek oleh rakan sekelas lelaki kerana tubuh saya yang montok. Bagi mereka, itu hanyalah gurauan biasa yang lucu, tetapi itu membuat saya berasa sungguh malu, bahkan menyebabkan saya berasa jijik dengan tubuh saya untuk seketika.
Perkembangan sains dan teknologi semakin pesat, begitu juga dengan cara membuli di sekolah yang berubah setiap hari, malah sukar untuk dibendung sepenuhnya. Kanak-kanak hari ini semakin bijak dan celik teknologi, namun pada masa yang sama mereka masih memerlukan bimbingan untuk membezakan yang betul dan yang salah. Menurut kajian para saintis, otak manusia belum berkembang sepenuhnya sehingga sekitar umur 25 tahun. Ini bermaksud para remaja masih dalam proses pembentukan pemikiran dan sahsiah, menjadikan mereka lebih terdedah kepada tingkah laku yang tidak rasional, memberontak, atau tidak bertanggungjawab.
Jadilah penjaga untuk anak anda
Pada masa lalu, ramai ibu bapa bergelut untuk mengajar tentang pendidikan seks. Sekarang, kanak-kanak boleh mengakses semua jenis maklumat tentang seks dengan mudah dari Internet. Jika ibu bapa tidak mengambil inisiatif awal untuk mewujudkan pendidikan seks yang betul untuk anak-anak mereka sejak kecil, dan memimpin dengan teladan, dikhuatiri mereka perlu membayar harga yang tinggi disebabkan kecuaian ini pada masa hadapan.
Dalam Alkitab, Tuhan mengingatkan ibu bapa, “Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya, maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu” (Amsal 22:6). Ini termasuklah membimbing kanak-kanak tentang pemahaman dan penerokaan yang sihat tentang seksualiti, serta membantu mereka mengekalkan sempadan moral yang berlandaskan firman Tuhan. Mengajar anak-anak tentang seksualiti bukan sekadar memberi maklumat, tetapi menanamkan identiti mereka sebagai ciptaan Tuhan yang istimewa, yang dicipta menurut gambar Tuhan (Kejadian 1:27) dan memuliakan Kristus.
Walaupun Internet membawa pelbagai cabaran dalam membesarkan anak-anak, ia juga menyediakan banyak kemudahan. Hanya dengan beberapa klik, ibu bapa boleh mendapatkan panduan tentang pendidikan seks yang bersesuaian untuk anak mereka. Bergantung pada umur dan keperluan mereka, kita boleh mengajar anak-anak tentang keberanian untuk melindungi diri serta menghormati orang lain. Dalam proses itu, amat penting untuk kita harus mengekalkan komunikasi yang terbuka dan jujur, serta kesabaran untuk menjawab persoalan dan kekeliruan tentang isu-isu seksual.
Terdapat banyak peluang untuk mendidik anak-anak kita tentang seks, asalkan kita bersedia. Saya masih ingat tentang perbualan saya dengan anak lelaki saya yang berusia lima tahun—dia dan rakan sekelasnya pernah mengintai rakan sekelas perempuan mereka di bilik mandi. Saya memberitahunya, “Nampaknya kamu ingin tahu tentang badan seorang perempuan.” Dia mengangguk lalu kami bersama-sama membaca sebuah buku bergambar tentang anatomi lelaki dan perempuan, dan memberitahunya bahawa Tuhan menciptakan lelaki dan wanita dengan unik dan indah. Saya juga mengingatkan anak lelaki saya tentang kepentingan melindungi diri sendiri dan orang lain, dan menghormati sempadan tubuh orang lain. Pendidikan seks tidak pernah menjadi pelajaran yang memalukan, tetapi suatu peluang untuk belajar tentang kehormatan dan tanggungjawab.
Setiap ibu bapa dan penjaga dipanggil untuk menunjukkan jalan dalam pertumbuhan rohani dan emosi anak-anak mereka. Insiden-insiden seperti gangguan seksual yang berlaku di sekolah bukan sahaja menonjolkan kekurangan pendidikan seks yang menyeluruh, tetapi turut mendedahkan isu-isu yang lebih mendalam tentang nilai hidup, sifat manusia yang berdosa, dan ketaatan buta tanpa asas yang kukuh. Namun, dalam kegelapan, rahmat Tuhan tetap hadir—memanggil kita untuk bertaubat dan mengalami pembaharuan jiwa.
Sebagai komuniti Kristian, marilah kita bersama-sama membawa kebenaran Tuhan ke dalam dunia yang semakin keliru, dan melindungi setiap anak yang dikasihi oleh Tuhan. Kanak-kanak hari ini mudah terdedah kepada pengaruh media dan budaya pop, ramai ibu bapa berasa bimbang tetapi tidak tahu bagaimana dan di mana untuk bermula.
Tentang Penulis
Shuhuan ialah bekas kakitangan ODBM tetapi masih aktif menyumbang artikel kepada ODBM. Dia dan suaminya mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang suka bertanya pelbagai soalan.