PERANAN DAN HAK SEJATI WANITA

Kejadian 1:27

Maka Allah menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Menurut gambaran Allah, Dia mencipta mereka, lelaki dan perempuan.

Tahukah anda bahawa Allah telah mencipta wanita seperti lelaki—diciptakan menurut rupa dan gambaran Tuhan? Ini bermaksud bahawa lelaki dan wanita adalah sama di mata Tuhan. Semuanya adalah pewaris janji Tuhan. Wanita bukan sahaja diberi hak untuk menjadi anak Tuhan, tetapi juga hak untuk berdoa serta diampuni, disembuhkan, dibebaskan, dikasihi dan dipimpin oleh Roh Kudus.

Dapatkah anda bayangkan jika Allah tidak pernah menciptakan wanita? Bagaimanakah keadaan dunia tanpa kehadiran wanita? Jawapannya mudah, tanpa wanita, tidak akan ada tamadun. Maka TUHAN Allah pun berfirman: “Tidak baik manusia itu bersendirian. Aku akan menjadikan seorang penolong yang sepadan baginya” (Kejadian 2:18).

Sebelum ini Tuhan telah berfirman,“Maka Allah menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Menurut gambaran Allah, Dia mencipta mereka, lelaki dan perempuan. Allah memberkati mereka, lalu Allah berfirman kepada mereka, ‘Beranakcuculah dan bertambah banyak serta penuhilah dan takluki bumi’ ” (Kejadian 1:27-28a). Kedua-dua manusia ciptaan Allah—lelaki dan wanita telah diberikan mandat untuk menakluki dan memerintah bumi dengan teratur.

lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus

Oleh itu, lelaki dan wanita sepatutnya saling melengkapi dan bekerjasama dalam apa jua tanggungjawab. Lelaki tidak harus memandang rendah kepada kebolehan wanita. Begitu juga wanita harus menghormati lelaki dan tidak perlu saling bersaing kerana pada pandangan Allah, “lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus” (Galatia 3:28).

Wanita boleh memimpin, melayani dan mengajar.

Pada zaman ini, kita dapat melihat ramai wanita mengisi pelbagai peranan di seluruh dunia. Wanita adalah ibu, anak perempuan, isteri, hakim, guru, penginjil, peguam, pemimpin korporat, doktor, mentor, menteri, pemimpin politik, wartawan, ahli perniagaan yang berjaya dan banyak lagi. Wanita boleh memimpin, melayani dan mengajar. Dalam Alkitab, kita juga mendapati bahawa wanita memegang dan melakukan pelbagai peranan.

Alkitab mencatatkan wanita seperti Deborah dengan karisma tersendiri, yang memegang jawatan hakim yang dihormati di Israel. Kebijaksanaannya dalam membuat keputusan menyebabkan bangsa Israel menikmati hidup yang makmur dan aman damai selama empat puluh tahun. Alkitab juga mencatatkan wanita yang berani seperti Rahab yang telah menyembunyikan para pengintip Israel. Walaupun masa lalunya gelap, dia tetap dicatatkan dalam garis keturunan Yesus dan menjadi saksi iman (Ibrani 11:31).

Hana seorang nabiah, salah seorang wanita yang pertama melihat Mesias. Maria ialah ibu muda yang membawa harapan dalam rahimnya dan Febe seorang hamba yang setia dalam pelayanan di gereja. Semua wanita ini memegang peranan yang berbeza namun penting dalam sesebuah keluarga, masyarakat, negara dan dunia ini. Peranan dalam membangun sebuah keluarga, komuniti, negara dan bangsa tidak dapat dipikul sendirian oleh pihak lelaki sahaja. Tugas ini akan menjadi lebih mudah, membawa perkembangan dan impak positif yang lebih besar seandainya lelaki dan wanita bekerjasama.

Allah telah menciptakan wanita dengan tujuan yang baik dan jelas

Sejak permulaan, Allah telah menciptakan wanita dengan tujuan yang baik dan jelas. Allah mengangkat wanita dengan cara yang cantik dan menawarkan satu set “hak” yang sejati dan kukuh.

Wanita diberikan kepada lelaki untuk melengkapinya.

Wanita diberikan kepada lelaki untuk melengkapinya. Kedudukan wanita tidak lebih rendah atau lebih lemah, tetapi wanita mempunyai peranan khusus untuk diisi sesuai dengan  bakat dan kemampuannya. Kuat, bijak, tabah, dan penyayang merupakan sebahagian perkataan untuk menggambarkan wanita, yang diciptakan Tuhan untuk menjadi pasangan kepada lelaki. Potensi rohaninya adalah sama dengan seorang lelaki, iaitu untuk menjadi anak Tuhan dalam kerajaan-Nya dari sekarang sampai selama-lamanya.

Allah Bapa, jadikanlah kami wanita yang tabah, berani berjuang dan memimpin bersama lelaki di dunia yang Engkau ciptakan ini. Peringatkan kami agar sentiasa bergantung pada pertolongan-Mu dalam membangun kerajaan-Mu di bumi ini. Kami mohon agar Engkau memberi kami kekuatan untuk tetap bertahan demi kemuliaan bagi nama-Mu selama-lamanya. Amin!


Tentang Penulis

Martha Elizabeth Jublee berasal dari kampung Iran Beluran dan berbangsa Kadazan Dusun. Dia sudah berkahwin dengan Penatua Michael Sulukan selama 31 tahun (2024) dan dikurniakan 4 orang anak (3 lelaki dan 1 perempuan), seorang menantu perempuan dan 4 orang anak angkat. Dia mempunyai pendidikan Sarjana Muda Psikologi & Kaunseling, UMS (2012) dan Sarjana Keilahian (Master of Divinity), STS (2019). Dia suka melancong, menulis, mendengar muzik, membaca dan memasak.

read_more