Baca: Mazmur 17:15
Tetapi dalam perbenaran aku akan melihat wajah-Mu; aku akan bahagia sepenuhnya apabila terjaga di hadirat-Mu.

*Artikel ini mengandungi spoiler bagi pembaca yang belum menonton filem The Odyssey.

Sebagai seorang pereka grafik, saya suka kisah yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga membuat kita berfikir tentang kehidupan. Sebab itulah saya menggemari karya-karya Christopher Nolan. Filem terbaharunya, The Odyssey, menampilkan barisan pelakon terkenal Hollywood, visual yang mengagumkan, serta muzik latar yang menarik—semuanya berdasarkan mitologi yang sememangnya sudah popular.  

Filem ini membuatkan saya terfikir tentang perjalanan iman saya sendiri sebagai seorang Kristian. Saya juga sedang dalam perjalanan pulang kepada Bapa di syurga dalam “pengembaraan” hidup ini.  

Berikut ialah 4 pengajaran iman yang boleh kita renungkan bersama:  

 

1. Tuhan Menginginkan Kepercayaan Kita, Bukan Kesempurnaan Kita 

Pada awal filem, kita melihat Odysseus (dilakonkan oleh Matt Damon) bersama anak kapalnya yang keletihan dihumban oleh angin kencang. Sebagai pemimpin, dia tidak mempunyai rancangan atau strategi yang jelas. Para pelaut berpegang erat demi menyelamatkan nyawa sebelum mereka tiba di destinasi pengembaraan pertama mereka, bertemu dengan gergasi bermata satu yang bernama Cyclops.

Tuhan tidak menuntut kesempurnaan kita, dan Dia juga tidak semestinya menunjukkan kepada kita apa yang akan berlaku seterusnya.

Kehidupan orang Kristian juga sarat dengan pasang surut. Ada kalanya kita mungkin berasa seperti sedang melintasi “lembah bayangan maut” (Mazmur 23:4), seolah-olah tiada pertolongan daripada Tuhan. Semasa muda, saya sendiri menempuh pelbagai badai dan cabaran. Namun, apabila melihat kembali, saya dapat melihat kesetiaan Tuhan dan tangan-Nya yang sentiasa memimpin hidup saya.

Apa yang saya pelajari ialah, Tuhan tidak menuntut kesempurnaan kita, dan Dia juga tidak semestinya menunjukkan kepada kita apa yang akan berlaku seterusnya. Dia hanya meminta kita taat untuk mengambil langkah seterusnya yang menakutkan ke dalam gelombang yang tidak kita ketahui, sambil mempercayai-Nya untuk mengemudikan kapal kehidupan kita (Amsal 3:5-6).

  

2. Bahaya Terperangkap dalam Keselesaan  

Salah satu perangkap yang paling memperdayakan dalam The Odyssey bukanlah Cyclops atau Scylla. Sebaliknya, ia terletak di pulau Ogygia yang tenang, tempat tinggal nimfa (makhluk legenda Yunani) yang bernama Calypso. Di situ, Calypso menawarkan Odysseus keselesaan mutlak, keselamatan dan kehidupan tanpa kesakitan. Tempat itu kelihatan seperti syurga, tetapi secara perlahan-lahan membuatkan Odysseus melupakan rumah dan panggilan asalnya.

Kini, pada usia 56 tahun, kehidupan saya semakin stabil. Apabila mengenang kembali kehidupan saya, saya telah berusaha menjadi seorang bapa yang baik, suami yang penyayang dan rakan sekerja yang setia. Semua ini merupakan bahagian hidup saya yang nyata dan bermakna. Namun, saya juga mula menyedari bahaya yang tidak ketara juga boleh wujud di sebalik keselesaan hidup, sehingga seseorang boleh terlupa akan panggilan hidupnya yang lebih mendalam.

Sebagaimana keselesaan telah merampas tujuan hidup Odysseus secara halus, keselesaan dari segi fizikal dan rohani juga boleh memperdayakan. Kita mungkin berasa bahawa kita sudah memiliki segala-galanya sehingga tidak lagi perlu bergantung pada Tuhan. Oleh itu, marilah kita sentiasa memelihara hubungan yang rapat dengan Tuhan dan sentiasa bersedia untuk melangkah ke dalam pengembaraan baharu bersama-Nya.

 

3. Pertempuran Sebenar Berlaku di dalam Diri Kita  

Meskipun Odysseus harus berdepan dengan bencana alam dan pelbagai makhluk ganas, babak yang paling menyakitkan dalam filem ini ialah ketika dia bergelut dengan dirinya sendiri: kesombongan, baran, kebergantungan pada diri sendiri, dan rasa bersalah yang mendalam ketika dia mengingati jenayah perang yang dilakukannya di Troy serta bagaimana dia telah memimpin seluruh anak kapalnya menuju kematian!

Pertempuran rohani kita juga tidak jauh berbeza. Kita sering melakukan kesilapan dan bergelut untuk kembali ke jalan yang benar. Namun, syukurlah kerana kita mempunyai firman Tuhan sebagai panduan kita: “Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan” (1 Yohanes 1:9).

Kita mungkin cuba membaiki kehidupan kita secara luaran, sedangkan hati kita masih belum benar-benar tunduk kepada Tuhan. Namun, saya berdoa agar ketika kita menghadapi cabaran hidup, marilah kita belajar bergantung pada Roh Kudus untuk membentuk semula karakter kita dari dalam ke luar. Setiap hari semoga kita menanggalkan manusia lama kita dan diperbaharui di dalam Kristus (Efesus 4:22-24).

 

4. Terus Pandang kepada Rumah Kita yang Sebenar  

Selepas 20 tahun yang penuh penderitaan, Odysseus yang penuh parut kehidupan akhirnya berjaya kembali ke rumahnya di Ithaca. Namun, dia bukan lagi orang yang sama. Dia tidak lagi sombong, melainkan menjadi rendah hati disebabkan segala kesusahan, kesilapan dan kehilangan yang dialaminya. Ini tetap sebuah kisah kemenangan, bukan sekadar kerana dia berjaya pulang, tetapi kerana dia pulang sebagai seorang yang telah berubah menjadi lebih baik.

Sebagaimana Odysseus merindukan isteri, anak lelaki, anjing kesayangan serta bau aroma di rumahnya, kita juga merindukan “tempat yang lebih baik, iaitu di syurga” (Ibrani 11:16). Di situlah tempat yang “tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap” (Wahyu 21:4).

Dalam perjalanan yang penuh dengan penantian dan kelewatan, yakinlah bahawa Kapten kapal kita sedang mempersiapkan kita untuk kekekalan. Kemenangan mutlak kita bukan sekadar sampai ke penghujung jalan, tetapi pulang sebagai seseorang yang semakin menyerupai Kristus berbanding semasa kita memulakan perjalanan ini.  

 

Renungan  

Kini, saya masih dalam perjalanan pulang. Sama ada laluan di hadapan dipenuhi badai atau godaan untuk hidup dalam keselesaan, saya tahu Tuhan tidak akan pernah meninggalkan saya. Dia berjalan bersama saya dan memimpin setiap langkah saya. Saya boleh mempercayai-Nya kerana saya tahu setiap musim kehidupan adalah sebahagian daripada tujuan-Nya untuk mempersiapkan saya menuju ke rumah yang sebenar.

Oleh itu, matlamat saya bukan sekadar untuk sampai ke destinasi, tetapi agar sifat dan jiwa saya terus dibentuk sepanjang perjalanan ini—menjadi semakin serupa dengan Kristus—sehingga tiba harinya saya berdiri di hadapan-Nya dan berkata dengan penuh rasa syukur serta ketenangan: “Ya Tuhanku, aku sudah pulang.”  

 


Tentang Penulis
Samuel Goh ialah seorang pereka grafik yang berpengalaman dalam industri pengiklanan dan pemasaran, dan kini melayani di Our Daily Bread Ministries. Minatnya mencerminkan kedua-dua sisi dirinya— secara luaran, dia suka kekal aktif melalui larian dan angkat berat; secara dalaman pula, dia menemukan ketenangan dan inspirasi melalui pembacaan buku-buku. Dia juga sangat menghargai waktu-waktu yang diluangkan bersama isteri dan dua orang anaknya yang sudah dewasa.

 

read_more