Perkahwinan Tidak Retak dalam Sehari
Menghidupi Janji Perkahwinan Bersama Kristus
Paling utama amalkanlah kasih, ikatan dan penyatu yang sempurna. (Kolose 3:14)
“Aku menerima engkau menjadi suami/isteriku yang sah. Aku berjanji akan tetap mengasihi dan menghormatimu, dalam keadaan senang mahupun susah, dalam kelimpahan mahupun kekurangan, dalam sakit mahupun sihat, sehingga maut memisahkan kita.”
Hari perkahwinan ialah saat dua insan mengucapkan janji untuk saling mengasihi dan setia seumur hidup di hadapan Tuhan dan para saksi. Pada hari itu, mereka tidak sekadar mengikat hubungan sebagai suami dan isteri, tetapi memasuki satu perjanjian yang kudus di hadapan Tuhan, “apa yang telah dipersatukan Allah, tidak boleh diceraikan manusia” (Matius 19:6).
Namun, hari perkahwinan hanyalah permulaan. Selepas majlis berakhir, bermulalah perjalanan sebenar sebagai suami dan isteri. Ketika itulah setiap janji yang pernah diucapkan akan diuji oleh realiti kehidupan.
Tuhan tidak memanggil suami dan isteri sekadar tinggal bersama, tetapi mengasihi seperti Kristus mengasihi. Inilah ukuran kasih yang dikehendaki oleh Tuhan dalam setiap rumah tangga: sanggup berkorban, mengampuni dan tetap setia.
“Dulu Masa Bercinta Dia Tak Macam Ini”
Ramai pasangan berkata, “Dulu masa bercinta dia lain, sekarang lain.” Sebenarnya, pasangan kita mungkin tidak berubah. Hanya selepas tinggal serumah, barulah kita benar-benar mengenali pasangan kita walaupun mungkin sudah bercinta beberapa tahun. Kita mula melihat tabiat, kelemahan, cara dia menghadapi tekanan dan personalitinya yang sebenar.
Perkahwinan menyatukan dua insan daripada latar belakang, cara didikan dan pengalaman hidup yang berbeza namun, ‘Terimalah satu sama lain, sebagaimana Kristus telah menerima kita, demi kemuliaan Allah” (Roma 15:7). Tuhan menggunakan perbezaan itu untuk mengajar kita tentang kesabaran, kerendahan hati, pengorbanan dan kasih yang tidak mementingkan diri sendiri.
Namun, menerima pasangan bukan bererti kita menutup mata terhadap kelemahannya, tetapi menerima bahawa dia juga sedang dibentuk oleh Tuhan. Perkahwinan bukan tempat mencari pasangan yang sempurna, tetapi penyatuan dua insan yang tidak sempurna yang belajar mengasihi dengan kasih Kristus.
Perkahwinan Ibarat Sebuah Taman
Kasih tidak akan bertumbuh dengan sendirinya. Ia seperti sebuah taman. Pada hari perkahwinan kita menanam benih kasih, tetapi taman tidak akan terus berbunga jika tidak disiram, dibaja dan dijaga dengan penuh kesabaran. “Kasih itu penyabar dan penyayang” (1 Korintus 13:4). Bukan sekadar perasaan, tetapi keputusan yang dilakukan setiap hari.
Kasih dipelihara melalui perkara-perkara kecil yang dilakukan dengan setia seperti mengucapkan terima kasih, meluangkan masa bersama, memberikan pelukan, bertanya tentang keadaan pasangan, dan saling mendoakan.
Jangan hanya menegur apabila pasangan melakukan kesilapan. Belajarlah menghargai perkara-perkara kecil yang dilakukannya. Ucapan seperti, “Terima kasih kerana bekerja keras untuk keluarga kita,” atau “Saya bersyukur kerana Tuhan memberikan awak kepada saya,” mungkin kedengaran sederhana, tetapi mampu menguatkan hati pasangan.
Jagalah Kata-Kata, Jagalah Hati
Bayangkan seorang suami pulang ke rumah dalam keadaan letih, sementara isterinya juga keletihan mengurus rumah dan anak-anak. Kedua-duanya boleh memilih untuk mendiamkan diri, atau seorang mengambil langkah pertama dengan bertanya, “Hari ini okey?” Masalah mungkin belum selesai, tetapi kasih membuka ruang untuk komunikasi.
Banyak konflik berlaku bukan kerana masalah yang besar, tetapi kerana pasangan berhenti mendengar antara satu sama lain. Firman Tuhan mengingatkan supaya kita “cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah” (Yakobus 1:19).
Satu ayat yang lembut lebih berkuasa daripada seratus ayat yang diucapkan dengan kemarahan (Amsal 15:1). Paulus juga menasihati, “Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa” (Efesus 4:26). Jangan biasakan tidur dengan hati yang masih dipenuhi kemarahan. Mungkin masalah itu belum selesai, tetapi jangan biarkan hati terus tertutup. Belajarlah berkata, “Mari kita berdoa dahulu, dan kita sambung berbincang dengan tenang.” Kebanyakan perkahwinan tidak retak kerana satu peristiwa besar, tetapi kerana kasih dan komunikasi semakin berkurang.
Belajar Mengampuni
“Bersabarlah terhadap satu sama lain, maaf-memaafi, jika seseorang ada sesuatu aduan terhadap yang lain. Sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu…” (Kolose 3:13).
Mengampuni bukan bermaksud melupakan segala yang berlaku. Pengampunan ialah keputusan untuk tidak membiarkan luka menguasai masa depan perkahwinan.
Jika hati masih terluka, berbincanglah. Mohon maaf dengan tulus dan belajarlah memberi pengampunan. Jika masalah menjadi terlalu berat untuk dipikul berdua, jangan malu mendapatkan bimbingan daripada pastor atau kaunselor Kristian. Meminta pertolongan bukan tanda kegagalan, tetapi tanda bahawa kita menghargai perkahwinan yang sudah dipercayakan Tuhan kepada kita.
Bertumbuh Bersama Dalam Kristus
Perkahwinan bukan sekadar perjalanan dua insan, tetapi perjalanan bersama Kristus.
Alkitab berkata, “Berdua lebih baik daripada bersendiri… Tiga utas tali yang dipintal memang tidak mudah diputuskan” (Pengkhutbah 4:9-12). Apabila Kristus menjadi pusat hubungan, perkahwinan mempunyai asas yang tidak mudah digoncangkan oleh badai kehidupan.
Ramai pasangan meluangkan masa berbincang tentang pekerjaan, kewangan dan anak-anak, tetapi berapa kerapkah suami dan isteri berdoa bersama? Doa ialah saat suami dan isteri merendahkan hati di hadapan Tuhan dan menyerahkan setiap pergelutan kepada-Nya. Rumah tangga yang berdoa bersama akan belajar melihat setiap cabaran melalui mata iman, bukan semata-mata melalui emosi. Sebelum kita melayani di gereja, keluarga kita terlebih dahulu harus merasakan kasih Kristus melalui hidup kita.
Menghidupi Janji Perkahwinan
Wedding vow diucapkan hanya sekali, tetapi dihidupi setiap hari. Perkahwinan bukan tentang dua insan yang sempurna, tetapi dua orang yang terus memilih untuk mengasihi seperti Kristus yang telah lebih dahulu mengasihi mereka. Walaupun melalui luka, salah faham atau musim yang sukar, Tuhan tetap mampu memulihkan apabila kedua-duanya menyerahkan hubungan itu kepada-Nya. Biarlah rumah tangga kita menjadi kesaksian tentang kasih Kristus.
Renungkan
- Apakah satu perkara kecil yang boleh anda lakukan hari ini untuk menunjukkan kasih kepada pasangan?
- Bilakah kali terakhir anda dan pasangan berdoa bersama sebagai suami dan isteri? Apakah yang menghalang anda untuk memulakannya semula?
- Apakah satu perubahan yang Tuhan mahu saya lakukan untuk menghidupi janji perkahwinan saya dengan lebih setia?
Artikel ini merupakan adaptasi daripada buku kompilasi perkahwinan Dasar Perkahwinan yang Kukuh, terbitan Our Daily Bread Ministries Malaysia (ODBM).
