Saya Pernah Takut Menyambut Hari Bapa

“Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku, TUHAN akan memeliharaku.” (Mazmur 27:10)

Di sebalik setiap keluarga yang kuat, sering kali ada seorang ayah yang berjuang dalam diam. Walaupun jarang meluahkan perasaan, kasih seorang ayah jelas terlihat melalui kerja keras, pengorbanan, dan kesetiaannya menjaga keluarga.

Dalam kehidupan ini, ada yang bertumbuh dengan kasih seorang ayah, dan ada juga yang pernah merasakan kehilangan atau kekosongan kasih tersebut. Namun, di sebalik semua pengalaman itu, saya belajar bahawa ada kasih Bapa di syurga yang tidak pernah meninggalkan dan sentiasa memulihkan.

 

Kehilangan yang Menyakitkan

Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga sederhana di kampung dan merupakan anak bongsu daripada enam orang adik-beradik. Kami dilahirkan daripada ibu yang sama tetapi mempunyai ayah yang berbeza. Walaupun begitu, kami saling mengasihi antara satu sama lain, dan ayah kami juga mengasihi kami tanpa berbelah bahagi.

Walaupun tahap kesihatannya tidak begitu baik, ayah saya tetap berusaha menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelindung keluarga, mengasihi isteri, dan menyediakan keperluan anak-anak.

Namun ketika saya berusia 14 tahun dan masih belajar di Tingkatan 2 pada tahun 1998, kami dikejutkan dengan berita pemergian ayah. Kehilangan itu menjadi satu pukulan yang sangat berat buat kami adik-beradik. Tahun itu menjadi tahun yang gelap dalam kehidupan kami kerana kami kehilangan tulang belakang keluarga.

Ibu terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga demi meneruskan kehidupan kami sekeluarga. Bagi menampung kos persekolahan, kami adik-beradik melakukan pelbagai pekerjaan sampingan supaya dapat meneruskan pelajaran sekurang-kurangnya sehingga tamat SPM.

Secara peribadi, kehilangan itu memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidup saya. Saya melalui pelbagai pengalaman pahit seperti rasa dipinggirkan, direndahkan, dan kecewa sehingga kehilangan keyakinan diri.

 

Permulaan Baru di Kuching

Pada tahun 2001, buat pertama kalinya saya melangkahkan kaki ke bandar Kuching. Itu juga kali pertama saya berjauhan daripada ibu dan adik-beradik. Bandar Kuching banyak mengajar saya tentang kehidupan, dan di sanalah saya mula mengenal Kasih Bapa.

Sejak kehilangan ayah, saya berasa seolah-olah kehilangan tempat bergantung dan tidak lagi dapat merasakan kasih seorang ayah. Malah, setiap kali tibanya Hari Bapa, saya takut untuk meraikannya. Namun saya bersyukur kerana Tuhan mempertemukan saya dengan seorang hamba Tuhan yang memperkenalkan kepada saya kasih seorang Bapa yang tidak pernah meninggalkan anak-anak-Nya.

Firman Tuhan dalam Mazmur 27:10 berkata “Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku, TUHAN akan memeliharaku.”

Ayat ini mengingatkan saya bahawa kasih Tuhan jauh lebih tinggi daripada kasih manusia. Walaupun manusia boleh mengecewakan atau meninggalkan kita, Tuhan tetap setia menerima dan memelihara kita.

 

Kasih Tuhan yang Memulihkan

Sejak saya mengenal dan menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamat, hidup saya berubah. Kehidupan lama telah berlalu dan kehidupan baru di dalam Kristus telah datang. Kasih Bapa bukan sahaja menghiburkan hati saya, tetapi juga memulihkan identiti saya.

Saya belajar bahawa identiti kita bukan lagi ditentukan oleh masa lalu, kegagalan, dosa, atau pandangan manusia, tetapi oleh siapa kita di dalam Kristus. Firman Tuhan dalam Yohanes 1:12 berkata, “Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya.” Di dalam Kristus, kita bukan lagi orang asing atau terbuang, tetapi diterima sebagai anak-anak Allah yang dikasihi.

 

Jawapan Doa dalam Keluarga Kami

Semakin saya berjalan bersama Tuhan, saya melihat kasih-Nya nyata bukan sahaja dalam hidup saya, tetapi juga dalam keluarga kecil yang percayakan Tuhan kepada saya. Selama 13 tahun, kami menantikan kehadiran seorang anak. Di saat keadaan kelihatan tiada harapan, Tuhan membuka jalan dan menjawab doa kami.

Pada 23 Januari 2023, Tuhan mengurniakan seorang puteri dalam keluarga kami. Sebagai tanda syukur kepada Tuhan, kami menamakannya “Grace Oliana Sayau” yang melambangkan anugerah Tuhan, bukti bahawa tanpa Tuhan, semuanya mustahil.

Ketika masa muda, saya kehilangan kasih seorang ayah, tetapi Tuhan memberikan peluang kepada saya untuk memahami makna menjadi seorang ayah. Dia memberi saya kesempatan untuk menggendong seorang anak sebagai seorang ayah.

Sudah tentu saya mempunyai banyak kekhuatiran dan keterbatasan sebagai ayah duniawi, tetapi saya percaya kasih Bapa di syurga jauh melampaui segala kelemahan manusia.

 

Kasih Bapa yang Kekal Selamanya

Sebaik mana pun kasih seorang bapa di dunia ini, kita tetap mempunyai keterbatasan. Namun kasih Bapa syurgawi tidak pernah gagal dan kasih-Nya kekal selama-lamanya.

Firman Tuhan dalam Yeremia 31:3 berkata, “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal, sebab itu Aku menuntun engkau dengan kasih abadi.” Kasih Tuhan menerima kita apa adanya, memulihkan hati yang terluka, mengangkat mereka yang jatuh, dan memberikan identiti baru di dalam Kristus.

Sebagai seorang ayah, marilah kita mencontohi kasih Bapa syurgawi dengan mengasihi keluarga dengan tulus, memimpin dengan hikmat, dan menjadi teladan iman kepada anak-anak. Sebagai anak-anak pula, janganlah kita lupa menghargai setiap pengorbanan seorang ayah selagi masih ada kesempatan.

Saya percaya, dalam setiap musim kehidupan, sama ada saat kehilangan, kelemahan, ataupun pengharapan, Tuhan tetap setia menyertai dan memimpin hidup kita. Kasih-Nya tidak pernah berubah, dan Dialah sumber kekuatan serta pengharapan yang sejati.

Mari menjadikan kasih Yesus sebagai teladan dalam hidup kita sebagai bapa dan anak. Baca >> Kasih Bapa | Pedomanharian.org


Soalan untuk direnungkan:

  1. Sebagai seorang ayah atau anak, sudahkah saya menghargai dan menunjukkan kasih kepada keluarga saya dengan tulus?
  2. Dalam bahagian hidup yang masih terluka atau kosong, adakah saya bersedia membiarkan Tuhan memulihkan hati dan identiti saya?  


Mari Berdoa

Bapa di syurga, terima kasih kerana sentiasa memimpin dan menguatkan saya. Ajarlah saya menjadi seorang ayah yang mengasihi keluarga dengan tulus dan menjadi teladan yang baik kepada anak-anak saya. Pimpinlah keluarga kami untuk sentiasa hidup dalam kasih dan penyertaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, amin.

 


Tentang Penulis
Pastor Andy Igoh melayani sepenuh masa di Christ Baptist Church. Beliau berbangsa Iban dan menamatkan pengajian dalam bidang BTHCTE di Malaysia Baptist Theological Seminary pada tahun 2019.

 

read_more