Sejauh mana kita patut pergi?

 

Pada bulan Mei yang lalu, saya telah mengembara selama 10 hari untuk mendaki laluan Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang terkenal di dunia. Inilah salah satu impian saya sejak 2017. Saya tidak begitu aktif dalam sukan; bahkan, saya seorang yang sering sakit dan lemah ketika membesar. Namun, apabila saya mencecah usia 30-an, saya mula mempelajari beberapa kemahiran hidup selepas terlibat dalam inisiatif bantuan bencana di China. Di zon pasca-bencana, saya belajar hidup dalam cuaca dan keadaan yang susah dengan keperluan asas, namun saya menemui sukacita dan kepuasan. Pada usia 30-40-an, saya membentuk satu kumpulan sukarelawan yang dipanggil “Barefoot” bersama pelajar-pelajar saya. Peranan kami adalah menyediakan sokongan psikologi sosial bagi kaum minoriti yang tinggal terpencil.

 

Selepas beberapa tahun mendaki di kawasan pergunungan yang sukar untuk pelbagai misi, saya fikir mungkin tiba masanya untuk merancang pendakian sebagai seorang “pelancong.” Saya melawat Nepal pertama kalinya selepas gempa bumi yang dahsyat melanda negara itu pada tahun 2015. Sebagai seorang ahli psikologi klinikal, saya bekerjasama dengan organisasi Kristian Nepal untuk memberikan sokongan kesihatan mental di kampung yang dilanda bencana. Masa itu orang tempatan secara nyata hidup dalam penderitaan dan kemiskinan.Tetapi apabila saya melawat kembali pada tahun ini (2024), saya sangat gembira dengan pemulihan dan pembinaan semula negara ini. 

 

Pendakian bermula…

 

Dengan perasaan ingin tahu, saya memulakan pendakian bersama seorang malim gunung dari Nepal dan seorang rakan yang 10 tahun lebih muda daripada saya dan bekas atlet. Semasa pendakian, saya ketinggalan di belakang dengan seorang porter mengikut saya di belakang (dengan sengaja). Pada mulanya, saya berasa tertekan untuk mengejar mereka, tetapi tidak lama kemudian saya menyedari bahawa stamina saya tidak dapat bertahan di jalan berbatu yang curam. Jika saya berlari mengejar, saya perlu berhenti dengan kerap dan ini melambatkan pasukan kami.

 

Saya berasa seperti seorang yang gagal dan mula meragui diri sendiri

Apabila kami sampai ke destinasi terakhir yang ditetapkan untuk hari pertama, pendakian yang dirancang selama 6 jam menjadi 8 jam, dan kesakitan otot mula dirasakan di seluruh kaki saya. Saya berasa seperti seorang yang gagal dan mula meragui diri sendiri—“adakah kami mampu sampai ke ABC dengan kelajuan ini? Jika kami sudah kepenatan pada hari pertama, bagaimana kami boleh bertahan selama 9 hari lagi dengan pendakian tanpa henti selama 6-7 jam setiap hari?” Rancangan asal tiba-tiba menjadi misi yang mustahil bagi saya.

 

Syukurlah pada keesokan paginya, malim gunung memberitahu saya untuk perlahan-lahan, mengambil selangkah demi selangkah. Dia berkata, “jika anda berjalan cepat, anda tidak akan sampai ke destinasi, tetapi jika anda berjalan perlahan-lahan, anda akan sampai ke destinasi.”

 

Menikmati proses…

Saya dapat menikmati setiap langkah dan melihat ciptaan Tuhan yang menakjubkan.

Kata-kata ini menyedarkan saya untuk mula “berserah” kepada proses pendakian. Saya mula mengatur langkah dan kelajuan saya sendiri sepanjang pendakian. Saya tidak lagi terlalu memikirkan tentang destinasi dan memeriksa jam dengan kerap, sebaliknya, saya belajar untuk menikmati sekeliling saya dengan mengambil gambar bunga-bunga dan tumbuhan liar. Walaupun saya masih tertinggal di belakang, saya tidak berasa penat dan gagal seperti sebelumnya. Saya dapat menikmati setiap langkah dan melihat ciptaan Tuhan yang menakjubkan. Setiap kali melihat gunung bersalji dari jauh, kami kembali dikuatkan dengan harapan bahawa kami semakin hampir ke destinasi kami. 

 

Jari-jari kaki saya yang melecet membuatkan saya bertanya pada diri sendiri, “mengapakah saya sanggup membayar semua ini hanya untuk menyeksa diri sendiri?” Pada masa lalu, saya selalu menahan sakit apabila mendaki ke zon bencana kerana saya berpegang pada tujuan yang lebih besar di sebaliknya. Tetapi sekarang, tiada lagi orang yang sedang menanti untuk diselamatkan. Kesakitan saya berpunca daripada diri sendiri.

 

Pelajaran…

 

Sebenarnya, ujian rohani adalah pelajaran yang paling berat sepanjang pengembaraan ini kerana saya tidak pernah berbual-bual dengan Tuhan secara sengaja dan terdesak selama 6 hingga 8 jam sehari! Keletihan fizikal mendorong saya mencari makna pendakian ini—“setinggi mana saya harus pergi?” Sejauh mana saya harus pergi?” Saya mempersoalkan hal ini setiap malam apabila saya tidak dapat tidur disebabkan oleh kesakitan badan dan kepala—“adakah saya melakukan ini demi obsesi dan kemuliaan untuk diri sendiri?” Bagaimanapun, Tuhan mengejutkan saya setiap hari dengan keajaiban belantara, air terjun yang gemuruh selepas hujan, rangkaian gunung yang berkabus dan bersalji, serta sinar matahari pada waktu pagi. 

 

saya menerima pengembaraan ini sebagai suatu ziarah rohani yang dirancang oleh Tuhan

Secara perlahan-lahan, saya menerima pengembaraan ini sebagai suatu ziarah rohani yang dirancang oleh Tuhan, kerana di manakah lagi saya boleh mendapat saat-saat sunyi seperti ini untuk berbual dengan Tuhan dalam kesibukan jadual harian dan kehidupan bandar saya?

 

Secara peribadi, saya banyak belajar tentang keterbatasan saya dalam pelbagai aspek, rahmat Tuhan dan kehadirannya yang tidak terbatas.

Akhirnya, kami berjaya mencapai ke puncak ABC seperti yang dirancang, tanpa kelewatan dan kecederaan serius. Kami kembali turun dari ketinggian 4200 meter dengan kulit yang terbakar dan kemenangan. Secara peribadi, saya banyak belajar tentang keterbatasan saya dalam pelbagai aspek, rahmat Tuhan dan kehadirannya yang tidak terbatas. Kita sering berbangga dengan kebolehan dan pencapaian kita ketika berada dalam zon selesa, tetapi kita sebenarnya hanya penziarah yang lemah di bumi. Kita mudah hancur apabila kita keluar dari zon selesa dan menghadapi cabaran terhadap kapasiti kita. Perjalanan kita tidak akan mudah.

 

Dia berjanji untuk menyertai, memimpin, dan memegang tangan kita

Kita tiada tempat untuk bersembunyi di belantara—luar zon selesa kita. Namun, Tuhan mendekati kita seperti Dia menunjukkan diri-Nya kepada Musa di padang pasir Midian—”Akulah AKU…TUHAN, Allah nenek moyangmu, Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub…Aku sungguh-sungguh mengendahkan umat-Ku dan memperhatikan apa yang dilakukan terhadapmu di Mesir…Aku akan membawa kamu keluar daripada kesusahan di Mesir…ke tanah yang berlimpah-limpah susu dan madu,’” (Keluaran 3:14-17). Dia berjanji untuk menyertai, memimpin, dan memegang tangan kita (Mazmur 139:7-10).

 

Akhirnya, saya sedar bahawa ziarah kita di dunia ini bukan soal “sejauh mana kita boleh pergi”, tetapi “sejauh mana kita patut pergi” untuk bertemu dengan Bapa kita, bersatu dengan-Nya dan berjalan bersama-Nya untuk mendapatkan rehat setiap hari dalam-Nya.

 


Tentang Penulis
Dr. Rachel Ting, pakar Psikologi Klinikal dari Malaysia.

read_more