Amalan Kerohanian: Amalan 1
Amalan 1
Mengambil Masa untuk Berdoa
Apakah perkara yang sering kali menghalang orang Kristian mengalami perubahan ajaib yang dilakukan Tuhan dalam kehidupan mereka? Adakah itu disebabkan oleh sikap yang tidak menghiraukan? Kekurangan persekutuan yang baik dengan orang Kristian? Pencubaan?
Ataupun semua ini disebabkan oleh kekurangan berdoa?
Berapa kerap anda dan saya menerima jawapan melalui doa? Ramai orang Kristian tidak memahami maksud untuk menjadi anak Tuhan, yang dapat bercakap dengan Tuhan tentang keperluan yang sebenar, apatah lagi menerima jawapan yang spesifik, wajar dan dapat dikenal pasti bagi doa mereka.
Saya boleh memberitahu anda tentang janji Alkitab mengenai doa, tambahan lagi dengan pengalaman peribadi dan kawan-kawan saya, tetapi saya tidak dapat berdoa bagi pihak anda. Anda boleh membaca semua buku panduan tentang doa dan mendengar orang lain berdoa, namun selagi anda tidak berdoa untuk diri sendiri, maka anda tidak akan memahami hal berdoa. Ia seumpama menunggang basikal atau berenang: anda belajar dengan melakukannya.
Martin Luther berkata, “Seperti seorang penjahit, tugasnya adalah membuat pakaian, dan tukang kasut adalah membaiki kasut, demikian juga tugas seorang Kristian adalah berdoa.”
Rahsia kepada kehidupan revolusi Luther ialah komitmennya untuk meluangkan masa peribadi dengan Tuhan setiap hari.
Biskop dari Gereja Anglikan Evangelikal Inggeris, J. C. Ryle mencabar kita, “Lihatlah kehidupan hamba-hamba Tuhan yang paling mulia dan menakjubkan, baik mereka yang disebutkan dalam Alkitab mahupun tidak. Antara kesemua mereka ini, anda akan mendapati bahawa mereka merupakan orang yang berdoa. Bersandar kepada doa; doa itu berkuasa.”
Saya mendorong anda mengambil masa setiap hari untuk bercakap dengan Tuhan. Jangan hanya memberikan tiga puluh saat kepada Dia semasa anda sedang berada dalam keadaan kelam-kabut pada waktu pagi: “Ya Tuhan, berkatilah aku hari ini, terutama sekali kerana hari ini ialah hari Isnin … ” Apakah jenis doa itu?
Ketekadan anda untuk mengetepikan satu masa khusus pada setiap hari untuk berdoa adalah penting. Berusaha untuk mempraktikkan disiplin dan kesetiaan, tetapi menetapkan masa berdoa dengan realistik. Pada masa tertentu, anda mungkin perlu mencari masa yang berbeza pada hari tersebut untuk berdoa. Hal ini bukan satu masalah. Tetapi berusahalah untuk bersikap konsisten.
Saya mendapati bahawa jam-jam awal pada setiap hari merupakan masa yang paling sesuai untuk berdoa. Demikian juga hamba-hamba Tuhan seperti Martin Luther di Jerman, John Wesley di England, Hudson Taylor di China, dan ramai lagi. Penginjil terkenal D. L. Moody menyetujui pilihan mereka ketika dia berkata, “Kita harus melihat wajah Tuhan pada setiap pagi sebelum kita melihat wajah manusia. Jika anda mempunyai terlalu banyak urusan untuk ditangani sehingga tiada masa untuk berdoa, sudah pasti anda memiliki terlalu banyak urusan di tangan anda daripada apa yang dihendaki oleh Tuhan.” Tetapkan masa dalam jadual anda untuk memulakan setiap hari bersama Tuhan dalam doa secara peribadi.
Doa merupakan sesuatu yang harus diamalkan sepanjang hari. Alkitab berkata, “Berdoalah sentiasa” (1 Tesalonika 5:17). Pada setiap ketika, apa pun caranya, kita bebas untuk bercakap dengan Bapa kita. Penulis Albert J. Wollen berkata bahawa setiap orang Kristian dapat menikmati “persekutuan dengan Tuhan yang kekal dan peka terhadap pimpinan-Nya.” Melalui doa, kita akan bersukacita untuk bersekutu dengan Tuhan yang hidup, yang tinggal di dalam kita.
“Jika Yesus mempraktikkan doa, bagaimanakah dengan anda?” tanya seorang penulis lagu pujian. Sungguh menakjubkan apabila melihat Yesus meluangkan banyak masa dalam doa. Dia tidak pernah menganggap diri-Nya begitu sibuk sehingga tiada masa untuk berdoa. Apabila kerja pelayanan-Nya bertambah dan Dia berhadapan dengan keputusan yang besar, Dia pergi bersendirian untuk berdoa. Bagaimanakah dengan anda?
Renungan:
Bilakah anda berdoa kepada Bapa syurgawi? Bagaimanakah anda menghuraikan hal berdoa anda?
Tindakan:
Ambil masa selama satu minit pada saat ini untuk memberitahu Tuhan, “Saya ingin menikmati persekutuan yang bermakna bersama-Mu—masa yang begitu menyenangkan, sehingga saya akan mahu meluangkan lebih banyak masa pada setiap hari bersama-Mu dalam doa.”
Ketepikan lima belas minit pada hari esok supaya anda mempunyai masa yang secukupnya untuk berdoa kepada Tuhan. Kekalkan komitmen itu. Kemudian, pada hari-hari yang berikutnya, muncullah beberapa minit lebih awal untuk bercakap dengan Raja segala raja!
Anda mungkin akan membuat azam Tahun Baru untuk setiap permulaan tahun, kenapa tidak bermula dengan amalan yang sihat secara rohani? Cubalah setiap amalan seperti berikut selama seminggu, dan lihatlah perubahan yang anda akan alami sekiranya kita tetap berjalan bersama Tuhan. Semoga anda mengalami penerobosan dan pertumbuhan rohani pada tahun 2019. Tuhan memberkati anda.
-
Hari Pertama
-
Hari Kedua
-
Hari Ketiga
-
Hari Keempat