Mazmur 86

 

Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan aku akan menurutnya dengan setia; ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh (Mazmur 86:11)

 

Pernahkah anda mendengar pernyataan seperti ini: “Tuhan itu hanya sejauh doa?” Bagi orang yang sungguh-sungguh percaya kepada Yesus, perkara yang menjadi kebanggaan kita semua adalah kebenaran bahawa kita mempunyai Tuhan yang sangat mengasihi dan mempedulikan kita. Ya benar, Tuhan itu hanya sejauh doa. Kita boleh datang kepada-Nya pada bila-bila masa sahaja melalui doa, bukan sahaja pada masa sukar.

 

Tidak dinafikan bahawa kita mengalami pelbagai masalah sejak pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara kita. Anda mungkin sedang bergelut dengan masalah kewangan, kehilangan pekerjaan, kesihatan, ketidakcukupan makanan dan pelbagai masalah yang lain. Mazmur 86 merupakan doa yang dapat menjadi model kita dalam situasi yang sukar. Daud menghadapi masalah besar namun tidak berputus asa atau tenggelam dalam ketakutan dan kekecewaan, malahan dia melakukan hal-hal yang luar biasa melalui doa meminta pertolongan kepada Tuhan. Dalam doanya terdapat lima perkara yang dilakukannya.

 

Datanglah kepada Tuhan dengan luahan yang jujur dan rendah hati

1. Mengakui Keadaan Diri

Daud mengakui keadaan dirinya yang begitu malang apabila dia berkata “aku lemah dan tidak berdaya” (ayat 1). Kata-kata Daud ini bukan untuk mengasihani dirinya tetapi merupakan pengakuan yang jujur di hadapan Tuhan bahawa dia lemah dan memerlukan pertolongan Tuhan. Ketika kita berdoa meminta pertolongan Tuhan, akuilah keadaan diri kita yang begitu lemah dan tidak berdaya di hadapan Tuhan. Ini merupakan pengakuan kita bahawa kita sangat memerlukan Tuhan dalam pergelutan kita. Kita mungkin sangat tertekan dengan masalah kewangan, memikirkan bagaimana untuk menampung keperluan keluarga, membayar sewa rumah dan lain-lain. Datanglah kepada Tuhan dengan luahan yang jujur dan rendah hati ini:, “Dengarlah seruanku, ya TUHAN, dan kabulkanlah doaku, kerana aku lemah dan tidak berdaya.”

 

2. Percaya kepada Kasih dan Kebaikan Tuhan

Dalam doa Daud, dia sungguh-sungguh percaya bahawa Tuhan dapat menolong dia, malah kasih dan kesetiaan-Nya tidak pernah berakhir. Daud percaya bahawa Tuhan maha pengasih dan pengampun, Tuhan itu sabar, baik dan setia. Bahkan Daud percaya bahawa Tuhanlah yang menyelamatkan dia daripada kematian. Permohonan doa tanpa percaya kepada kasih dan kesetiaan Tuhan adalah sia-sia. Jadi percayalah dengan sungguh-sungguh akan kasih dan kebaikan Tuhan, maka kita akan benar-benar mengalaminya walaupun di tengah-tengah masalah. Walaupun doa kita tidak dijawab menurut kehendak kita, tetaplah percaya bahawa kasih, kebaikan dan kesetiaan Tuhan tidak pernah berubah. Kasih Yesus dapat memenuhi keperluan terdalam kita, iaitu penghiburan dan kedamaian yang tidak dapat diberikan oleh dunia ini.

 

Permohonan doa tanpa percaya kepada kasih dan kesetiaan Tuhan adalah sia-sia

 

3. Mengakui Kekuasaan Tuhan

Daud mengakui bahawa Tuhan berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib (ayat 10). Daud mengakui bahawa tiada Tuhan seperti Dia dan tiada yang dapat melakukan apa yang dilakukan Tuhan. Dalam keadaan yang sukar, kadang-kadang doa kita hanya berfokus kepada permohonan kita. Apabila kita mengakui dalam doa bahawa Tuhan yang kita sembah sangat berkuasa, ini bermakna kita yakin dan percaya bahawa Dia dapat menyelamatkan kita daripada masalah kita. Tiada yang mustahil bagi Tuhan. Yesus berkuasa atas segala masalah yang kita alami, Yesus berkuasa atas penyakit dan ketakutan kita.

 

Meminta Tuhan mengajar kita tentang kehendak-Nya dalam hidup kita

4. Memohon Tuhan Mengubah dan Mengajar Kita

Kita melihat bahawa Daud tidak sekadar berdoa supaya masalahnya selesai. Dia berdoa lebih daripada itu—meminta Tuhan mengubah hatinya untuk semakin mengasihi Dia. Dia berdoa agar Tuhan mengajarnya tentang kehendak-Nya dan menurutinya dengan setia dan menghormati Tuhan dengan sungguh-sungguh (ayat 11). Dalam doa meminta pertolongan kepada Tuhan, kita bukan hanya memohon Tuhan untuk mengabulkan doa kita tetapi meminta Tuhan mengajar kita tentang kehendak-Nya dalam hidup kita. Percayalah bahawa dalam semua kekacauan yang kita alami sekarang, Tuhan ada kehendak-Nya sendiri dan semua jawapan doa yang kita terima adalah berdasarkan kehendak-Nya. Seperti Yesus berserah kepada kehendak Bapa dalam doa-Nya di Taman Getsemani, kita juga harus berserah kepada kehendak-Nya dalam kehidupan kita.

 

Kita ada banyak alasan untuk memuji dan bersyukur kepada Tuhan

5. Memuji Tuhan

Daud memberikan pujian kepada Tuhan dengan berkata, “Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Tuhan, Allahku; aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya” (ayat 12). Bilakah kali terakhir anda memuji Tuhan ketika dalam pergelutan? Ini mungkin bukan perkara yang mudah dilakukan ketika kita kehilangan pekerjaan, kehilangan orang tersayang, menghadapi penyakit kronik dan tertekan oleh pelbagai masalah. Kita ada banyak alasan untuk memuji dan bersyukur kepada Tuhan. Yesus sudah menderita dan mati bagi kita agar kita mempunyai masa depan yang indah—kehidupan bersama Dia kelak di syurga. Tuhan akan mengangkat beban kita, menggantikan hati yang suram kepada sukacita dan memperbaharui kekuatan kita ketika kita memuji Dia dalam pergelutan kita.

 

Renungkan: Kadangkala kita berasa tenggelam dalam masalah kita sehingga kita mengabaikan Tuhan yang berkuasa dan berbelas kasihan. Teguhkan hati anda hari ini untuk sentiasa berdoa dan mencari wajah Tuhan serta mengingatkan kasih dan kesetiaan-Nya. Kita dapat berdoa seperti Daud agar Tuhan meneguhkan hati kita untuk sentiasa takut akan Dia dalam segala keadaan hidup kita.

 


Tentang penulis
Artikel ini telah diubahsuai daripada artikel asal oleh Pastor Juakim Digi. Pastor Juakim Digi pernah melayani sebagai penginjil pada tahun 1986-1987 dan melayani sebagai pastor sidang (SIB) sejak tahun 1989 sehingga kini. Dia sudah berkahwin dengan pastor Domoi@Helda Giot dan dikurniakan 3 orang anak.
 

 

read_more