Gawai Menurut Perspektif Alkitab

Oleh Ps. Saripah Belaja
 

Bulan Mei merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Dayak kerana keterujaan untuk menyambut Gawai Dayak. Hari Gawai sangat dinanti-nantikan kerana masa inilah keluarga akan berkumpul, dan yang merantau jauh turut balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut secara tahunan oleh seluruh kaum Dayak di Sarawak yang merangkumi orang Iban, Bidayuh dan orang Ulu. Perayaan ini yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai dirayakan secara rasminya pada 1hb Jun. Lazimnya, perayaan ini akan bermula pada malam 31hb Mei dan ahli keluarga serta penduduk kampung akan berkumpul.

 

Namun begitu, terdapat banyak persoalan dan kekeliruan di kalangan masyarakat Dayak tentang sambutan Gawai Dayak ini. Malahan, di kalangan orang-orang Kristian sendiri, ramai yang masih keliru dan tidak pasti cara untuk menyambut perayaan ini. Oleh sebab itu, melalui penulisan ini saya akan membawa pembaca melihat beberapa perkara terutama apa itu perspektif Alkitab tentang perayaan atau Hari Gawai. Namun begitu, kita perlu melihat terlebih dahulu kepentingan perayaan Gawai Dayak dalam masyarakat Dayak dan asal usulnya.

 

Kepentingan Hari Gawai Dalam Masyarakat Dayak

Hari Gawai memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Dayak, khususnya suku Iban yang asalnya memegang kepercayaan animisme (kepercayaan bahawa semua perkara yang hidup dan yang tidak hidup ada roh) atau pagan. Masyarakat Dayak merayakan Gawai sepanjang tahun untuk tujuan yang berbeza. Bagi masyarakat Iban, Gawai berkait rapat dengan lima elemen, iaitu pertanian (khususnya penanaman padi), peperangan, perkahwinan, kematian dan kesihatan. Setiap Gawai yang dirayakan mempunyai tiga ciri umum, iaitu “miring” (mempersembahkan makanan kepada dewa-dewa), bacaan mantera oleh “lemambang” dan menjamu para tetamu yang diundang.

 

Salah satu perayaan Gawai berkaitan dengan penanaman padi, iaitu Pesta Menuai. Ia dirayakan bagi memuja semangat padi. Dalam masyarakat Iban, Hari Gawai khas untuk menghormati “Sempulang Gana”, yang merupakan dewa tanah atau dewa semangat padi. Gawai ini diadakan bagi memohon dewa memberkati tanaman supaya membuahkan hasil yang banyak untuk tahun seterusnya. Secara tradisi, sambutan Hari Gawai ini tidak ada tarikh yang tetap tetapi akan dirayakan untuk menandakan berakhirnya kitaran penanaman padi dan bermulanya kitaran penanaman padi yang baru. Perayaan ini pun disambut di kalangan ahli keluarga atau penduduk kampung sahaja.

 

Asal Usul Sambutan Gawai Dayak

Idea tentang sambutan Gawai Dayak ini timbul daripada forum yang dikendalikan oleh dua orang penerbit radio, iaitu Tan Kingsley dan Owen Liang pada tahun 1957. Pada asalnya cadangan mereka adalah mewujudkan satu perayaan untuk kaum Dayak dan disebut sebagai “Dayak National Day” (Hari Kebangsaan Dayak). Idea ini timbul memandangkan kaum-kaum lain diberi cuti umum untuk menyambut perayaan mereka, seperti kaum Cina ada Perayaan Tahun Baru Cina dan kaum Melayu ada sambutan Hari Raya. Kerajaan British pada masa itu tidak mahu mengiktiraf “Dayak National Day” bagi mengelakkan kebangkitan semangat perkauman. Hanya pada tahun 1962, kerajaan memberi pengiktirafan tetapi perayaan tersebut dikenali sebagai “Sarawak Day” dan dirayakan oleh semua penduduk Sarawak tanpa mengira kaum.

 

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat Dayak pada masa itu yang terdiri daripada pegawai kerajaan tidak berputus asa dan terus memperjuangkan apa yang disebut sebagai “A Day We Can Call Our Own”[1]. Cadangan mereka adalah Hari Gawai ini merupakan gabungan Gawai yang akan dirayakan oleh seluruh penduduk Dayak di Sarawak. Datuk Sri Tra Zehnder yang merupakan penggubal undang-undang pada masa itu (1960-1963) telah membawa usul ini ke Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun begitu, ia hanya diluluskan pada tahun 1963 apabila Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan menjadi ketua menteri Sarawak. Keputusannya ialah “Gawai Dayak” akan dirayakan pada 1 Jun setiap tahun dan akan dikenali sebagai “Pesta Menuai” dan bukan “Dayak Day” [2]. Adalah penting untuk ditegaskan bahawa ia bukan perayaan keagamaan. Perayaan Gawai yang pertama telah diadakan di rumah Michael Buma di Siol Kandis pada 1hb Jun 1963. Cuti umum bagi meraikan Hari Gawai Dayak diwartakan pada 25 September 1964. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama telah diadakan pada 1 Jun 1965. Semenjak itu Gawai Dayak telah disambut dengan meriah tahun demi tahun. Sambutan Gawai Dayak telah menjadi simbol perpaduan bagi mengeratkan perhubungan antara komuniti Dayak di Sarawak. Pihak kerajaan juga mula melihatnya sebagai satu platform untuk mempromosikan budaya pelbagai etnik Dayak di Sarawak. Sehingga sekarang sambutan Gawai Dayak telah melalui pelbagai proses evolusi.

 

Semestinya masyarakat Dayak pada masa itu menyambut baik perkara ini. Maka ia mula dirayakan di kampung-kampung hinggalah ke peringkat negeri. Walaupun objektif asal untuk mengadakan “Gawai Dayak” bukan perayaan keagamaan, namun sambutannya tetap melibatkan unsur-unsur keagamaan. Pada masa itu juga, masyarakat Dayak kebanyakannya masih berpegang pada kepercayaan animisme, semestinya ia tidak dapat mengelak daripada unsur-unsur “miring atau betara”. Ini adalah bagi menjamu para dewa yang dipercayai turut bertandang ke perayaan tersebut. “Tuak” semestinya dihidangkan lebih-lebih lagi apabila ia telah dirayakan sebagai Pesta Menuai. Bagi masyarakat Iban, satu daripada ritual pada sambutan Gawai ialah minum “ai pengayu”, iaitu tuak yang diperbuat daripada beras dan ragi. “Ai pengayu” diminum untuk memohon umur panjang dan kesihatan daripada petara (tuhan dalam kepercayaan pagan) “Salampandai” yang dipercayai memberi kehidupan kepada manusia.

 

Namun begitu, jika kita melihat konsep asal dan objektif sambutan Gawai Dayak yang tersebut di atas, maka tidak seharusnya timbul persoalan jika kita patut merayakannya sebagai seorang Kristian. Ini kerana perayaan ini adalah sambutan untuk semua suku kaum Dayak tanpa mengira pegangan agama. Maka masyarakat Dayak yang telah menganut kepercayaan Kristian perlu ada satu panduan bagaimana Gawai Dayak ini perlu disambut. Tanggungjawab ini kita perlu menyerahkan kepada gereja, yang perlu mengajar dan memberikan bimbingan kerohanian kepada jemaatnya.

 

Perayaan dalam Alkitab

Idea tentang perayaan atau pesta bukanlah sesuatu yang asing dalam Alkitab. Umat Israel menyambut pelbagai jenis perayaan dan mereka menyambutnya sama ada sebagai aktiviti keagamaan, tanda peringatan atau kesyukuran. Tuhan mengarahkan umat Israel menyambut Perayaan Paska bagi mengingati Tuhan yang telah membawa mereka keluar daripada perhambaan di Mesir (Keluaran 12:14). Begitu juga Tuhan mengarahkan mereka menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi untuk mengingati hari mereka keluar dari Mesir (Keluaran 12:17). Perayaan ini perlu dirayakan secara turun-temurun dan selama-lamanya. Dalam kitab Ester, kita melihat kemunculan Hari Raya Purim yang dirayakan kerana Tuhan telah menyelamatkan mereka daripada musuh dan menggantikan dukacita dengan sukacita (Ester 9:20-23). Jadi adalah tidak salah bagi kita menyambut perayaan sebagai tanda peringatan dan kesyukuran kepada Tuhan yang kita sembah. Kita boleh menyambut Hari Gawai Dayak sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan kerana penyertaan-Nya. Kita boleh menggunakan sambutan tersebut untuk mengingati segala kebaikan dan kemurahan Tuhan bagi kita.

 

Jika kita merayakan Gawai Dayak sebagai Pesta Menuai juga tidak salah, kerana dalam Alkitab sendiri memang tercatat tentang Pesta Menuai walaupun yang tuaian adalah berbeza tetapi konsepnya tetap sama (Keluaran 23:16, Imamat 23:15-21, Ulangan 16:10-12). Apakah yang dilakukan mereka semasa perayaan ini? Mereka mempersembahkan korban kepada Tuhan, mereka berkumpul dan bersuka ria di hadapan Tuhan.

 

Sambutan Gawai Dayak

Jadi, bagaimana seharusnya Gawai Dayak disambut oleh orang Kristian? Orang Kristian seharusnya menyambut perayaan ini dengan bersyukur kepada Tuhan. Jika nenek moyang kita memuja semangat padi untuk mendapat keberkatan daripada dewa padi, orang Kristian yang tahu dengan jelas bahawa Tuhan ialah Pencipta alam semesta juga perlu dengan hanya memuliakan dan mengagungkan Tuhan. Alkitab memberitahu kita, Tuhan yang mencipta dunia dan segala isinya (Kejadian 1:1, Mazmur 124:8). Alam semesta, binatang, dan tumbuh-tumbuhan adalah ciptaan Tuhan. Tuhan mencipta musim, hujan dan panas; yang membolehkan manusia bercucuk tanam (Ulangan 11:14, Matius 5:45). Itulah sebabnya Dia layak disembah dan menerima penghormatan dan kemuliaan daripada umat-Nya.

 

Orang Kristian juga seharusnya berkumpul atau datang di hadirat Tuhan semasa Hari Gawai. Ini boleh dilakukan di bangunan gereja, di Chapel, di ruai (ruangan terbuka di rumah panjang) atau di rumah masing-masing. Kita membawa persembahan kita di hadapan Tuhan. Apakah bentuk persembahan yang kita bawa di hadapan Tuhan? Selain daripada persembahan biasa yang kita berikan (Roma 12:1 dan Ibrani 13:15), kita juga boleh membawa hasil “tuaian” kita di hadapan Tuhan. Hasil “tuaian” ialah ganjaran dan upah yang kita dapat daripada pekerjaan kita. Jadi wajarlah kita mengembalikan sebahagian daripadanya kepada Tuhan sebagai persembahan pada Hari Gawai.

 

Pada Hari Gawai juga kita bersukacita dan berkongsi segala berkat yang diterima dengan orang lain. Gunakan kesempatan ini untuk bersaksi dan menyatakan kebaikan Tuhan dalam hidup kita kepada orang yang belum mengenal Tuhan. Matius 5:16 mengatakan, “Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga” (AVB). Biarlah juga orang melihat pekerjaan Tuhan dalam hidup anda lalu memuliakan Tuhan.

 

Gawai Dayak ialah masa untuk kita berkumpul di hadapan Tuhan sebagai tanda kesyukuran dan penghormatan kepada Tuhan. Gawai Dayak ialah masa untuk kita membawa persembahan kepada Tuhan. Gawai Dayak ialah masa untuk kita berkumpul dan bersuka ria bersama-sama ahli keluarga. Maka tidak salah untuk kita “ngabang” (saling mengunjungi) sambil menikmati juadah yang dihidangkan.

 

Rujukan

  1. Metro News (2018). Tracing the roots of harvest festival. Diakses pada 30 April 2020, daripada https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2018/06/01/tracing-the-roots-of-harvest-festival-gawai-dayak-a-symbol-of-unity-aspiration-and-hope
  2. Mohd Zahir Hakim (2016). Makna dan Sambutan Gawai bagi Masyarakat Dayak. Diakses pada 28 April 2020, daripada https://sarawakvoice.com/2016/05/31/makna-dan-sambutan-gawai-bagi-masyarakat-dayak/
  3. Philip Kiew (2015). Gawai Dayak: A time for family reunion. Diakses pada 27 April 2020, daripada
    https://www.theborneopost.com/2015/06/24/gawai-dayak-a-time-for-family-reunion/
  4. Sidi Munan (2018). Why a new festival was created? Diakses pada 30 April 2020, daripada https://www.theborneopost.com/2018/06/03/why-a-new-festival-was-created/
  5. Sidi Munan. (2012). When will the Gawai end? Diakses pada 27 April 2020, daripada
    https://www.theborneopost.com/2012/07/01/when-will-the-gawai-end/

[1]Sidi Munan. (2012). When will the Gawai end? Diakses pada 27 April 2020, daripada
https://www.theborneopost.com/2012/07/01/when-will-the-gawai-end/

[2]Sidi Munan (2018). Why a new festival was created? Diakses pada 30 April 2020, daripada https://www.theborneopost.com/2018/06/03/why-a-new-festival-was-created/


Tentang Penulis

Pastor Saripah anak Belaja berasal dari Keranggas Pantu, Sri Aman, Sarawak. Beliau melayani di Gereja Shalom Fellowship Kuala Lumpur selama 17 tahun dan masih melayani di gereja tersebut sehingga sekarang (2020).

 

Kembali ke laman “Tuhan Itu Baik”