Krismas adalah masa untuk menerima atau memberikan hadiah, masa untuk mendapat sesuatu yang cantik, atau sesuatu yang anda idamkan. Namun, hadiah seperti ini tidak dapat memberikan anda kepuasan yang sebenar atau kekal.

 

Bayangkan seseorang…
 

… yang mengetahui keperluan sebenar anda.
Tidak seperti Santa Klaus, orang ini akan memberikan hadiah yang membawa kepuasan sebenar, sesuatu yang dapat memenuhi apa yang anda benar-benar perlukan. Adakah anda berasa tertekan, kesepian, atau ketakutan? Adakah anda sedang mencari tujuan hidup? Orang ini dapat membantu anda dan menjawab soalan-soalan anda. Dia dapat melakukan kesemua ini kerana Dia mengenal anda secara peribadi dan memahami sepenuhnya perasaan anda.

… yang dapat memberikan sesuatu yang kekal
Kebanyakan hadiah Krismas tidak bertahan lama, dan anda mungkin memerlukan sesuatu baru pada tahun depan. Namun, orang ini dapat memberikan anda sesuatu yang bertahan selama-lamanya. Benda yang diberikan oleh orang ini tiada tarikh luput dan tidak akan rosak; ia sesuatu hadiah yang anda dapat nikmati sepanjang hayat anda—untuk selama-lamanya.
 

… yang dapat memberikan anda kegembiraan, kedamaian, dan harapan yang sebenar.
Krismas sering dikaitkan dengan kedamaian, kasih, dan kegembiraan. Bukankah semua itu yang kita inginkan dalam kehidupan? Pemilikan harta dan kekayaan adalah amat baik, namun perkara yang kita benar-benar cari ialah kepuasan kehidupan yang sebenar, perasaan selamat apabila diberi prihatin, jaminan kerana betul-betul dikasihi dan harapan tentang masa depan yang berkekalan. Sememangnya, inilah yang dapat diberikan oleh orang ini.
 

… yang dengan sabar sedang menunggu anda menerima hadiah ini.
Kebanyakan kita perlu menunggu ketibaan Hari Krismas atau sambutan perayaan istimewa yang lain untuk mendapat sesebuah hadiah. Namun, orang ini sedang menunggu anda dengan sabar untuk mendekatinya pada setiap waktu. Anda boleh menerima hadiah daripadanya pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat. Ini bukan isu yang penting lagi sama ada anda seorang yang baik atau jahat, malahan perkara yang telah anda lakukan pada masa lampau, kerana orang ini mengasihi anda seadanya. Satu-satunya perkara yang anda harus lakukan adalah menerima hadiahnya.

“Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.” (Yohanes 3:16)

 

Jadi, siapakah orang ini?
 

Tuhan, iaitu Pencipta bagi dunia ini dan setiap kita, merupakan pemberi hadiah ini yang membawa kepuasan, kegembiraan, kedamaian, dan harapan yang sebenar kepada kita. Hadiah ini ialah Anak-Nya sendiri, Yesus Kristus.
 

Lebih daripada 2,000 tahun yang lepas, Yesus lahir. Pada hakikatnya, Hari Krismas diraikan kerana kelahiran Yesus. Dia datang untuk menunjukkan jalan yang menuju kepada Tuhan, dan melalui Dia, kita dapat mengalami berkat-berkat indah diberikan Tuhan. Yesus akan memenuhi keperluan kita yang paling mendalam dan memberikan kita kepuasan, makna dan arah kehidupan yang sebenar. Dia ingin mengubah kehidupan kita dan memberi kita peluang baru untuk menjalani kehidupan yang benar. Apabila kita mengalami masa kesusahan, Dia berjanji untuk mengharungi kesusahan itu bersama kita, memberi kita harapan yang kekal serta kekuatan untuk mengatasinya. Dia menjanjikan kegembiraan dan kedamaian yang sejati, kasih-Nya yang mendalam dan tidak bersyarat—segala ini tidak dapat diberikan oleh Santa Klaus.
 

Berita baik ialah: Tuhan sedang menunggu anda untuk menerima hadiah ini, yakni Anak-Nya—pada setiap waktu. Anda boleh hanya memberitahu-Nya, “Ya, saya menerima hadiah ini. Saya ingin mengenal Yesus.”
 
Bacaan yang seterusnya!
 
Adakah anda ingin lebih mengenal Tuhan dan hadiah-Nya, Yesus dengan meneliti apa yang ingin diberikan-Nya? Beritahu kepada seorang kawan Kristian supaya anda lebih mengenal Yesus. Usahlah tunggu sehingga Hari Krismas.

Sekiranya anda ingin lebih mengenal Yesus dan iman Kristian, sila cuba membaca bahan-bahan rohani yang kami berikan tanpa pembayaran dikenakan. Sila hubungi OUR DAILY BREAD BERHAD dengan menelefon 088-212912/ 012-3751718, atau menghantar e-mel kepada kami: malaysia@odb.org