Ibu Saya Kata
“Saya teringat ketika saya masih kecil dan masih bersekolah, ibu saya selalu memberikan motivasi supaya saya sentiasa bersemangat dan rajin belajar. Ibu saya akan berkata, “belajar betul-betul Ondu (dia panggil saya Ondu), supaya kau boleh jadi macam si Din.” Ibu saya selalu menceritakan kepada saya tentang cita-cita yang ingin dicapai oleh si Din (anak buah ibu saya) apabila dia sudah dewasa. Saya benar-benar memegang nasihat ibu saya sehingga saya juga berjaya mencapai cita-cita saya seperti Din dan ingin terus berusaha.” – Cikgu Naasun-
“Mak saya selalu berkata, walaupun kita miskin duit tapi jangan miskin hati. Kehidupan kami dahulu memang miskin ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tetapi dalam kemiskinan, mak saya tetap buat baik, masih dapat memberi dan menolong orang. Miskin duit ni tak boleh dibawa mati sebab hati yang tiada nilai akan dikenang sampai bila-bila. Nasihat dan teladan yang diberikan emak saya, menjadikan saya seperti hari ini. Walaupun dalam kekurangan dari segi wang, saya juga masih mahu memberkati yang lain.” – Olivia –
“Jangan kasi main-main hati perempuan. Jaga makan, jaga Kesihatan.” – Barry
“Ibu kami seorang yang hebat dan bersemangat mendidik kami lapan beradik. Ibu tidak pernah berputus asa untuk memastikan kami dapat ke sekolah serta tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Sehingga kini, saya telah dewasa dan memiliki keluarga sendiri. Ibu sentiasa menjadi inspirasi saya dalam mengasuh dan membesarkan anak-anak. Ibu selalu mengingatkan kami untuk sentiasa berdoa dan mengasihi Tuhan, kerana Tuhan adalah sumber kekuatan dan kebenaran dalam mendidik anak-anak. Ibu adalah wanita yang hebat dalam hidup saya. Terima kasih ibu. Selamat hari ibu!” – Alsy
“Ibu saya selalu menasihati untuk memandu dengan berhati-hati dan tidak terburu-buru, melarang saya melalui lorong yang sunyi kerana bahaya, berhati-hati semasa berjalan agar tidak tersandung, tidak sembarangan mengikut orang yang tidak dikenali, mencari kawan yang seiman, berdoa dan membaca firman Tuhan walaupun sibuk, dan bergiatlah dalam pelayanan dan persekutuan dengan Tuhan.” – Ully
“Di mana pun kamu berada, jangan belakangkan Tuhan dan keluargamu, kerana kamu tidak akan merasa kebahagian jika kamu membelakangkan Tuhan dan keluargamu.” – Ading
Kata-kata dan nasihat ibu yang dikongsikan oleh beberapa sahabat kita di atas pasti tidak asing bagi kita. Ibu kita juga mungkin atau selalu memberikan nasihat yang sama. Mungkin sesetengah kata-kata ibu kita kedengaran bergurau, lucu, marah, garang dan sebagainya, tetapi ia berguna sebagai peringatan, dorongan yang membakar semangat dan menjadi panduan hidup agar kita menjadi anak yang mengasihi Tuhan dan mengasihi orang lain serta berhati-hati dalam setiap keadaan.
Tiada orang yang sempurna, begitu juga dengan ibu kita kerana hanya Yesus yang sempurna. Walaupun ibu kita ada banyak kelemahan, mereka tetap ibu kita yang telah membesarkan kita dengan kemampuan mereka dan menginginkan yang terbaik buat kita. Pengorbanan mereka sesungguhnya sangat besar dan harus dihargai. Mereka telah melahirkan kita, menyusui dan membelai kita dengan kasih sayang. Salah satu cara kita membalas kasih sayang mereka adalah mendengar dan menghargai nasihat mereka kerana itu yang dikehendaki oleh Tuhan, “hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu. Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu” (Amsal 1:8-9). Hargailah mereka sementara masih ada kesempatan.
Sempena hari ibu ini, ambillah kesempatan untuk datang atau menghubungi mereka dan berkata “terima kasih” untuk semua pengorbanan dan nasihat mereka—sertakan dengan pelukan erat atau pelukan maya. Tidak kira sama ada kita seorang bapa, ibu, suami, isteri dan anak, pastikan wanita yang bergelar ibu ini mengetahui bahawa mereka sangat disayangi.
Wanita yang bergelar ibu sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar (di samping bapa) untuk mendidik dan membesarkan anak-anak seperti yang dikehendaki oleh Tuhan, iaitu “ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian” (Amsal 22:6). Menjadi ibu sangat sukar, tetapi rahmat Tuhan cukup bagi kita. Seorang ibu yang mempunyai hati yang benar dengan Tuhan akan melihat hasil yang baik untuk doanya, untuk pengorbanannya, untuk air matanya, untuk usaha dan kerja kerasnya, dan pengabdiannya. Selamat Hari Ibu!
Kejelitaan menipu mata, kecantikan pun tidak kekal; tetapi seorang wanita yang menghormati TUHAN harus dipuji.
(Amsal 31:30)
Tentang Penulis
Clarensia Rongkos melayani sebagai kakitangan sepenuh masa di Our Daily Bread Ministries (ODBM) sejak tahun 2019. Dia berasal dari Kota Belud, Sabah dan kini membantu dalam pelayanan bahasa Malaysia di ODBM.