Bolehkah Orang Kristian Merayakan Kaamatan?

 

KAAMATAN adalah perayaan yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia, terutama sekali bagi beberapa suku kaum di Sabah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perayaan ini telah diisytiharkan sebagai hari yang penting. Kerajaan telah menetapkan 30-31 Mei sebagai hari untuk merayakannya, khususnya di Sabah dan Labuan.

Dasar bagi orang Kristian untuk merayakan sesuatu bukanlah atas alasan kebudayaan

Orang Kristian juga tidak ketinggalan untuk turut merayakan Hari Kaamatan. Di beberapa tempat, kebaktian Hari Kaamatan diadakan di gereja sebagai hari pengucapan syukur atas berkat-berkat yang sudah diberikan Tuhan. Namun timbul persoalan di kalangan jemaah beberapa gereja, khususnya yang bersuku dusun mengenai boleh atau tidak orang Kristian merayakannya. Sebahagian berpendapat bahawa orang Kristian boleh merayakannya kerana itu adalah perayaan kebudayaan. Namun alasan ini belum cukup kuat untuk menyokong pendapat ini kerana dasar bagi orang Kristian untuk merayakan sesuatu bukanlah atas alasan kebudayaan, melainkan berdasarkan firman Tuhan. Sebahagian lagi berpendapat tidak boleh merayakannya kerana itu adalah perayaan kafir. Tambahan pula, setiap tahun beberapa pihak merayakannya dengan mengadakan ritual penyembahan kepada berhala. Dari satu segi, alasan yang kedua ini masuk akal kerana dengan merayakannya, ia seolah-olah turut terlibat dalam penyembahan berhala. Namun, dalam kekristianan ada kalanya perlu menganggap sesuatu bukan dengan akal melainkan dengan iman, yang didasari dengan firman Tuhan kerana firman Tuhanlah yang membersihkan pemahaman kita tentang segala sesuatu (Yohanes 15:3)
 

Apa itu sebenarnya Kaamatan, sehingga timbul pendapat yang berbeza tentangnya?

 

Apakah itu Kaamatan?

KAAMATAN adalah perayaan tradisi suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Perayaan ini adalah untuk menghormati atau memuja semangat padi. Ia dirayakan pada bulan Mei setiap tahun, setelah kerja-kerja menuai padi selesai. Walaupun zaman sekarang masa menuai padi tidak lagi bermusim kerana sawah padi diusahakan secara moden, Kaamatan masih tetap dirayakan setiap tahun.

 

Di beberapa tempat yang masih mengekalkan tradisi perayaan ini, Kaamatan disambut dengan mengadakan ritual pemujaan kepada semangat padi yang dikenali sebagai “Bambaraion”. Upacara pemujaan ini dikendalikan oleh seorang “bobolian” (dukun) dan beberapa pembantu. Ia bertujuan untuk memberi penghargaan kepada “Bambaraion” kerana telah memberi hasil padi yang baik, dan berharap agar penghasilan pada musim yang akan datang menjadi lebih banyak lagi. Perayaan ini diteruskan dengan pesta makan dan minum. Minuman utama yang wajib disediakan adalah “kinomol” (nasi yang dibubuh ragi dan dibiarkan beberapa hari sehingga menjadi minuman yang beralkohol). Tempoh perayaan ini diadakan bergantung kepada tempat masing-masing. Yang jelas, perayaan ini diadakan beberapa hari, dan sepanjang tempoh itu, mereka makan dan minum sampai mabuk.

 

Mungkin inilah yang menjadi alasan mengapa sebahagian orang Kristian berpendapat bahawa Kaamatan tidak sesuai dirayakan oleh orang Kristian, terutama sekali diadakan di gereja. Apakah respons kita yang lebih tepat terhadap perayaan ini? Adakah orang Kristian memang tidak boleh merayakannya? Apakah pandangan Alkitab mengenai perkara ini? Untuk mendapatkan jawapannya, kita haruslah merujuk buku pedoman bagi kehidupan kita, iaitu Alkitab.

 

Pandangan Alkitab

 

Pandangan Alkitab tentang Perayaan

Perayaan adalah idea Tuhan.

Dalam Alkitab, khususnya Perjanjian Lama mencatatkan bahawa Tuhanlah yang memberitahu orang Israel tentang perayaan. Dia memberitahu jenis-jenis perayaan, bagaimana perayaan itu dilaksanakan, bila perayaan itu diadakan, untuk apa perayaan itu, dan kepada siapa perayaan itu ditujukan. Dalam Keluaran 5:1, Tuhan menyatakan firman-Nya kepada Firaun melalui Musa dan Harun agar membenarkan umat Israel pergi ke padang gurun untuk mengadakan perayaan bagi-Nya. Sementara Keluaran 12:14, 26-27 mengatakan bahawa tujuan mengadakan perayaan adalah untuk mengingati segala perbuatan Tuhan, supaya keturunan demi keturunan akan mengetahui bahawa Tuhan telah melakukan perbuatan yang luar biasa bagi mereka, dan mereka akan selalu ingat untuk tetap menyembah Tuhan sahaja.

Perayaan adalah untuk mengingati segala perbuatan Tuhan

 

Kita dapat melihat dengan jelas bahawa semua perkara tentang perayaan, pada mulanya adalah idea Tuhan. Ia adalah daripada Tuhan dan untuk Tuhan.

 

Pandangan Alkitab tentang Penyembahan

Penyembahan adalah milik Tuhan.

Tuhan memerintahkan manusia untuk hanya menyembah Dia (Keluaran 34:14). Menyembah sesuatu yang bukan Tuhan adalah pengkhianatan kepada Tuhan. Itu dianggap oleh Tuhan sebagai perzinaan (Imamat 20:4-5). Tuhan patut disembah kerana Dia adalah TUHAN. Dia pemilik tunggal semua kuasa tertinggi dan sempurna, baik di alam semesta ini mahupun di syurga (Matius 28:18). Dia tidak dapat menyembah kerana tiada lagi sesuatu atau seseorang yang lebih tinggi daripada-Nya. Itulah sebabnya semua penyembahan itu harus diberikan hanya kepada Tuhan.

 

Tuhan patut disembah kerana Dia adalah TUHAN

Iblis sangat haus akan penyembahan. Dia berusaha sekeras mungkin merampas penyembahan yang khas bagi Tuhan untuk dirinya. Kerana terlalu ingin dirinya disembah, dia juga menuntut penyembahan daripada Sang Pencipta, dengan menawarkan semua kekayaan dunia ini (Matius 4:8-9). Kalau daripada Yesus, yang adalah Tuhan, pun dia berani untuk menuntut penyembahan, apatah lagi daripada manusia. Manusia yang buta rohani telah memberikan penyembahan kepada Iblis dengan pelbagai cara. Salah satunya adalah Kaamatan.

 

KAAMATAN seharusnya dirayakan untuk Tuhan atas beberapa alasan.

  1. Segala bentuk penyembahan dan pemujaan, untuk apa pun alasan, sebab, dan tujuan, seharusnya hanya untuk Tuhan. Segala sesuatu yang wujud adalah ciptaan. Hanya Tuhan satu-satunya yang bukan ciptaan.
    Perayaan adalah untuk mengingati segala perbuatan Tuhan

    Dia adalah pencipta segala yang ada. Sebagai pencipta segala sesuatu, maka hanya Dialah yang layak menerima semua penyembahan dan pemujaan.

  2. Tuhanlah yang mencipta semua yang ada di alam semesta, dari yang tidak ada menjadi ada; termasuk segala jenis tumbuhan. Dia tidak perlu mengambil benih dari suatu tempat supaya Dia memiliki benih untuk ditanam. Dia juga tidak menjadikan benih daripada suatu benda, melainkan mewujudkannya dari yang tidak ada kepada yang ada (Kejadian 1:11-12). Dialah pemilik “hak cipta” untuk semua tumbuhan di bumi, dan Dia jugalah yang memberikannya kepada manusia (Kejadian 1:29). Tuhan jugalah yang memberkati sehingga semuanya bertumbuh dan mengeluarkan hasil. Jika manusia ingin memuja sesuatu kerana hasil tuaian yang baik, yang layak menerima pemujaan itu adalah Tuhan.

 

Perayaan Kaamatan dalam Alkitab

 

Memang tidak ada perkataan Kaamatan dalam Alkitab, tetapi ada perayaan dalam Alkitab yang mempunyai konsep yang sama, iaitu “hari raya Tujuh Minggu” (Ulangan 16:10, TB), kerana ia dirayakan pada minggu yang ketujuh selepas Paska. Perayaan ini adalah perayaan pengucapan syukur atas hasil tuaian gandum. Ia juga dikenali sebagai “Perayaan Menuai” (Keluaran 23:16). Perayaan ini sangat mirip dengan Kaamatan. Atau lebih tepat jika dikatakan bahawa Kaamatan sangat mirip dengan perayaan ini. Pertanyaan sekarang adalah “Tidakkah ada kemungkinan bahawa Iblis telah mencuri konsep perayaan ini agar dirayakan untuk dirinya?” Pasti ada kemungkinan kerana:

Perayaan dalam Alkitab yang mempunyai konsep yang sama, iaitu “hari raya Tujuh Minggu

 

  1. Iblis sangat haus akan penyembahan (Matius 4:8-9)
  2. Dia adalah pencuri (Yohanes 10:10)

 

Bagaimana Orang Kristian harus Menanggapi Perayaan ini?

 

Jika melihat latar belakang perayaan ini, kita mempunyai alasan yang kuat untuk tidak merayakannya kerana sangat jelas ia adalah penyembahan kepada berhala. Tetapi jika melihat aspek intinya, maka kita perlu menilai kembali pendapat kita dan berusaha untuk memahaminya dengan terang firman Tuhan.

 

Alkitab mengatakan dengan sangat jelas bahawa “pesta menuai” haruslah dirayakan untuk Tuhan (Ulangan 16:10; Keluaran 23:16). Maka orang Kristian boleh; bahkan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan “patut” merayakan Kaamatan, tetapi bukan lagi dengan cara yang lama, iaitu dengan memuja Bambaraion, melainkan dengan cara memuja Tuhan, Yesus Kristus, Tuhan di atas segala Tuhan.

 

Peranan gereja

 

Mungkin akan timbul anggapan bahawa gereja juga melaksanakan ritual penyembahan kepada Bambaraion semasa merayakan Kaamatan. Di sinilah gereja berperanan untuk menjelaskan, baik secara langsung, mahupun tidak langsung apa yang sebenarnya berlaku, dan apa yang sepatutnya berlaku. Gereja berperanan untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa Kaamatan seharusnya dirayakan untuk Tuhan dan bukan untuk Bambaraion, kerana yang menciptakan, yang menumbuhkan dan yang memberkati semua benih sehingga bertumbuh dan berbuah dengan baik adalah Tuhan. Jika gereja tidak merayakannya, dengan alasan bahawa itu dirayakan untuk Bambaraion, seolah-olah gereja bersetuju, atau setidak-tidaknya masyarakat sekeliling menganggap gereja bersetuju bahawa memang Bambaraionlah yang memberkati ladang padi sehingga mengeluarkan hasil yang baik. Maka dengan itu, amatlah perlu untuk mengembalikan pemahaman manusia kepada kebenaran bahawa perayaan untuk hasil tuaian, tidak kiralah ia dipanggil dengan istilah apa pun, haruslah dirayakan untuk Tuhan.

 


Tentang Penulis

Pastor Johes Ikal melayani sebagai pastor gereja selama 22 tahun (2021) dan kini dia sedang melayani di SIB Gaur, Kota Belud. Dia sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak.

 

Kembali ke laman “Hoooha! Aramai”