Kasih Sejati
Sementara ini ada tiga perkara yang harus tetap dilakukan: percaya, berharap, dan mengasihi orang lain. Tetapi yang paling penting daripada ketiga-tiganya adalah mengasihi orang lain. (1 Korintus 13:13)
Semua orang sedang mencari kasih. Apakah rupa kasih sejati? Bagaimanakah kita akan tahu bahawa kita sudah menemukan kasih ini? Ada yang berfikir bahawa memiliki kasih adalah suatu perasaan yang tidak dapat dihuraikan dan boleh “keluar-masuk” dengan sesuka hati. Tetapi Alkitab, dengan hikmatnya yang melampaui masa, memberikan pendekatan yang lebih bererti dan kekal kepada kita.
Apakah itu kasih?
Kasih itu sering kali mempunyai maksud yang berbeza bagi individu yang berbeza. Bagaimanapun, hikmat daripada Alkitab adalah sangat jelas untuk menghuraikan kasih. Paulus telah mengajar kita tentang kasih sejati yang berasal daripada Tuhan (1 Korintus 13).
Bahasa Yunani dapat membantu kita menjelaskan jenis “kasih” yang kita sedang cari. Perkataan Yunani eros ialah istilah yang digunakan untuk menghuraikan kasih yang romantik. Storge ialah perkataan yang menghuraikan kasih yang kuat, melindungi dan membawa kesejahteraan. Phileo menggambarkan kasih persaudaraan dalam keluarga atau persahabatan. Kemudian istilah agape (sering kali digunakan untuk merujuk kepada kasih Tuhan) menghuraikan kasih dalam rupa yang paling mendalam dan sempurna.
Oleh sebab Paulus memilih perkataan agape untuk menghuraikan kasih dalam 1 Korintus 13, nampaknya dia mahu kita melihat bahawa inilah kasih Ilahi yang agung dan memberikan maksud yang berkekalan kepada semua penyataan kasih yang lain. Untuk menghuraikan kasih ini dari sudut pandangan Sang Pencipta, rasul menulis dengan menggunakan agape (1 Korintus 13:4-7):
Kasih sejati “bersabar.”
Kasih sejati adalah “baik hati.”
Kasih sejati “tidak bercakap besar.”
Kasih sejati “tidak sombong.”
Kasih sejati “tidak berkasar.”
Kasih sejati “tidak mementingkan diri sendiri.”
Kasih sejati “tidak cepat tersinggung.”
Kasih sejati “tidak mendendam.”
Kasih sejati “tidak gembira dengan kejahatan.”
Kasih sejati “gembira dengan kebaikan/kebenaran.”
Kasih sejati “tahan menghadapi segala sesuatu.”
Kasih sejati “mempercayai orang lain.”
Kasih sejati “tidak hilang harapan.”
Kasih sejati “sentiasa bersabar.”
Kasih Yang Tidak Berkesudahan
Kasih sejati dapat bertahan dalam apa jua keadaan, kerana ia mendapat sumber dan kehidupannya dalam Tuhan. Paulus dengan jelas mengatakan bahawa segala sesuatu adalah sementara, tidak lengkap dan tidak boleh dipercayai. Tetapi ini bukan halnya dengan kasih. Kerana kekuatan dan kasih kurnia Tuhan, ia dapat menghadapi apa pun. Kasih sejati dapat menghadapi pengkhianatan dan ketidakpercayaan orang lain. Kasih sejati dapat mengatasi kehampaan dan kegagalan moral. Ia dapat bangkit mengatasi penghinaan dan iri hati orang lain yang menganggap kita sebagai musuh mereka. Ia dapat mengatasi tuduhan jenayah dan pemenjaraan.
Walaupun keadaan perhubungan kita berubah kerana pilihan manusia yang tidak bijak, kasih Tuhan dapat membuat kita berdoa dan juga berdoa untuk orang lain. Ini merupakan kasih yang mencerminkan hati Kristus dan menyatakan perubahan luar biasa yang hanya boleh dilakukan oleh Tuhan dalam kehidupan seseorang kasih sejati.
Di Manakah Saya Boleh Menemukan Kasih?
Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal (Yohanes 3:16).
Kita menemukan kasih Tuhan hanya di dalam Kristus, dan kita melihat maksud hidup di dalam kasih yang dihuraikan oleh Paulus ketika kita tinggal di dalam Tuhan. Dia yang memanggil kita bukan sahaja meminta kita mencapai standard yang lebih tinggi, tetapi mengizinkan Dia menampakkan hidup-Nya melalui kita.
Hanya apabila kita percaya bahawa kita dikasihi Yesus Kristus yang sanggup mati pada kayu salib untuk kita, barulah kita ada rasa aman yang kita perlukan untuk mengambil risiko ketika mengasihi orang lain.
Renungan:
Apakah yang menghalang anda untuk mengasihi orang lain? Bagaimanakah anda dapat menunjukkan kasih anda kepada pasangan, keluarga, kawan-kawan dan orang lain pada hari ini?
Doa:
Tuhan, ajarlah kami untuk mengasihi pasangan dan orang lain seperti Kau mengasihi kami. Semoga kami dapat menunjukkan kasih-Mu yang sejati kepada orang lain dan memuliakan nama-Mu dalam perhubungan kami.
Dipetik daripada buku kecil Siri Bimbingan: Apa Itu Kasih Sejati?