Keluarga—Anugerah Tuhan
“Hai isteri-isteri, tunduklah kepada suamimu, sebagaimana seharusnya di dalam Tuhan. Hai suami-suami, kasihilah isterimu dan janganlah berlaku kasar terhadap dia. Hai anak-anak, taatilah orang tuamu dalam segala hal, karena itulah yang indah di dalam Tuhan. Hai bapa-bapa, janganlah sakiti hati anakmu, supaya jangan tawar hatinya.” (Kolose 3:18-21, TB)
Keluarga adalah sistem sokongan yang diciptakan Tuhan untuk kita. Sistem ini membawa manfaat bagi setiap anggota keluarga secara khusus, dan gereja serta komuniti secara umum. Adanya tiga dasar penting dalam perbincangan mengenai keluarga—perkahwinan, keibubapaan dan persaudaraan.
Tujuan perkahwinan adalah supaya suami dan isteri dapat mengasihi dan membantu sesama serta memulakan sebuah keluarga dengan melahirkan anak-anak. Ajaran Paulus dalam Kolose 3:18-21 mendorong kita memikir tentang kasih kurnia Tuhan yang telah diberikan kepada kita secara peribadi dan telah menyatukan kita dengan-Nya. Justeru dalam konteks Kristian, keluarga harus menjadi satu pasukan yang hidup, mengasihi sesama dan bekerjasama untuk kebaikan setiap anggota keluarga itu, serta menjadi berkat bagi gereja dan masyarakat.
Dari sudut pandangan teologi, keluarga juga dianggap sebagai satu unit gereja yang kecil, bahawa iman dibentuk antara anggota keluarga. Oleh itu, tanggungjawab keibubapaan dan persaudaraan antara adik-beradik itu harus dilaksanakan dengan penuh kasih dan fahaman bahawa kita adalah keluarga Tuhan dan Tuhan sentiasa memperhatikan kita. Dalam Yeremia 1:4-5, Tuhan mengingatkan nabi bahawa Tuhan yang telah membentuknya. Juga dalam Mazmur 127:3 kita diingatkan bahawa “Anak-anak adalah anugerah TUHAN; mereka adalah berkat-Nya” (TMV).
Keluarga–Tanggungjawab Suami Isteri: Perkahwinan Kristian dianggap suci kerana dilaksanakan di hadapan Tuhan. Oleh itu, dalam Markus 10:9 Yesus berkata, “Karena itu, apa yang telah dipersatukan Allah, tidak boleh diceraikan manusia”. Suami isteri harus saling memaafi dan menyokong dari segi emosi, intelek, rohani dan fizikal. Perceraian itu bukan suatu pilihan bagi orang Kristian.
kerana dilaksanakan di hadapan Tuhan.
Keluarga–Tanggungjawab Ibu Bapa: Tuhan menyerahkan tugas penjagaan anak-anak kepada ibu bapa. Semua tugas dan tanggungjawab itu bukan mudah untuk dilaksanakan, tetapi harus dilaksanakan demi kebaikan anak-anak dan
membolehkan mereka menjadi orang dewasa yang berguna dan pengikut Kristus yang setia. Tugas-tugas ini termasuk menyediakan peluang pendidikan, mendirikan teladan yang baik, menyediakan semua keperluan asas mereka, pastikan suasana yang sihat dan selamat, berdoa bagi mereka, memberi ajaran moral dan pendidikan Kristian. “Didiklah orang muda menurut jalan yang patut baginya, maka pada masa tuanya pun ia tidak akan menyimpang dari pada jalan itu (Amsal 22:6).
Ramai kanak-kanak dalam komuniti juga menghadapi tekanan dan cabaran kerana ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Ada anak-anak dihantar ke rumah-rumah amal, menjadi pengemis jalanan atau mengalami penderaan fizikal dan emosi secara senyap. Bagus kalau kita sebagai ibu bapa Kristian boleh membantu kanak-kanak dalam situasi-situasi begini dengan apa sahaja cara yang kita mampu. Ini juga merupakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Keluarga–Tanggungjawab Anak-anak: Anak-Anak juga diberi tanggungjawab demi kebaikan mereka sendiri dan keluarga mereka. “Hormatilah ayahmu dan ibumu, supaya lanjut umurmu di tanah yang diberikan TUHAN, Allahmu, kepadamu” (Keluaran 20:12). Istilah “hormatilah” dalam ayat ini merangkumi semua sikap dan tindakan yang baik; termasuk mengasihi, ketaatan, pertuturan yang lemah-lembut dan memberi sokongan material apabila ibu bapa mereka menjadi warga emas. Semua sikap ini juga dianggap sebagai tanggungjawab rohani.
Keluarga–Tanggungjawab Terhadap Gereja: Gereja dianggap sebagai tubuh Kristus dan setiap orang percaya adalah anggota tubuh ini. Sebagai suatu keluarga, kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kedamaian dan menjamin kesejahteraan gereja. Ini dilaksanakan melalui beribadah sebagai suatu keluarga dan memberi sokongan terhadap pelayanan misi dan keperluan kewangan. Dalam suratnya ke gereja di Kolose, Paulus menulis; “Hendaklah damai sejahtera Kristus memerintah dalam hatimu, karena untuk itulah kamu telah dipanggil menjadi satu tubuh. Dan bersyukurlah” (Kolose 3:15). Dengan memiliki persekutuan yang intim dengan Kristus, kita dapat hidup dengan damai dalam gereja dan sebagai suatu keluarga besar.
Tentang Penulis
Dr. Wilfred J Samuel pernah menjadi pastor di Gereja Lutheran. Kini dia melayani sebagai pengarah Pusat Pengajian Lutheran dan pensyarah di Seminari Teologi Sabah. Dia mempunyai kepakaran mengajar tentang Doktrin Kristian, Teologi Sistematik, Etika Kristian, Teologi Asia, Kerja Sosial, Gereja dan Masyarakat, Sejarah Gereja, Pengurusan/Kepimpinan Pastoral dan Hubungan Ekumenikal.