Krismas yang berbeza?

 

Baris pertama sebuah lagu Krismas berbunyi sebegini: “Waktu kecil kita merindukan natal, dan semua hadiah yang menawan”. Lagu ini mengungkapkan sebahagian besar keadaan hati kita. Kita sangat bersukacita saat merayakannya. Kegembiraan itu masih kita rasakan walaupun sudah beberapa minggu telah berlalu. Sehinggalah pada suatu masa, kita mulai merindukannya kembali. Kita merindukan saat-saat berkumpul, berkunjung ke rumah-rumah, pujian penyembahan, khutbah, acara-acara kreatif dan banyak lagi. Sebahagian orang melakar saat-saat yang membahagiakan pada masa itu.

 

Kemunculan Covid-19 mengubah gaya hidup penduduk dunia secara dramatik. Kini, muncul norma baru dalam kalangan masyarakat yang membuat orang terpaksa mengamalkan cara hidup yang sangat berbeza daripada sebelumnya. Cara bekerja sebahagian orang berubah. Cara bergaul, beribadah, pelaksanaan perayaan-perayaan juga berubah, termasuk perayaan Krismas.

 

Pengalaman-pengalaman yang indah sewaktu merayakan Krismas membuatkan kita menanti-nantikan hari itu. Namun Krismas pada tahun ini (2020) tidak sama lagi. Suasananya akan sangat berbeza daripada sebelum ini. Kemeriahannya mungkin tidak akan seperti dulu lagi. Benarkah Krismas tahun ini berbeza?

 

Dari segi perlaksanaannya, pasti ada yang berbeza. Namun sementara keadaan yang lain berbeza, ada satu perkara yang tidak pernah dan tidak akan berubah, iaitu kasih Kristus, yang menjadi inti perayaan Krismas itu sendiri. Apa pun keadaan di dunia kita sekarang, kasih-Nya kepada kita sama sekali tidak berubah (Roma 8:38-39). Kasih-Nyalah yang memacu Dia memperkenalkan diri-Nya kepada kita, dan menyatakan isi hati-Nya kepada kita dengan cara yang dapat kita mengerti. Kalau bukan Tuhan sendiri yang memilih untuk memperkenalkan diri-Nya, tidak mungkin kita dapat mengenal-Nya, kerana Dia adalah peribadi yang tidak terjangkau oleh kemampuan manusia.

 

Kerana menyedari keterbatasan manusia, maka Tuhan dengan rela mengosongkan diri-Nya, lalu menjadi seperti seorang hamba dengan harapan agar manusia dapat mengenal-Nya, ‘Sebenarnya Dia ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia (Filipi 2:6-7). Malangnya, ramai orang menanggapi Yesus dengan pemikiran logik dan bukan dengan iman. Itulah sebabnya ramai yang tidak percaya bahawa Yesus adalah Tuhan, lalu menolak Dia. Kerinduan hati Yesus yang terbesar adalah agar kita tinggal bersama-Nya di kediaman-Nya di syurga. Seperti dikatakan Yesus, “Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal” (Yohanes 14:3).

 

Ini adalah ungkapan yang lahir dari hati Yesus yang sangat mengasihi kita. Dalam ungkapan-Nya ini, Yesus tidak menyebutkan suatu tempoh tertentu. Ini bermakna Dia ingin kita tinggal bersama-sama-Nya selamanya. Bukankah itu sesuatu yang luar biasa?

 

Apakah sebenarnya yang kita ingin temukan dalam Krismas? Keseronokan semata-mata atau kasih Yesus yang memberi harapan? Harapan kita mempengaruhi cara kerja kita, dan menentukan hasil pencarian kita. Kerana itu, carilah inti sebenar Krismas, Yesus Kristus yang lahir dan memberikan hidup-Nya kepada kita, maka hasil pencarian mutlak kita akan memberi keuntungan besar kepada kita secara rohani, yang juga pasti memberi kesan kepada kehidupan kita secara jasmani. Perayaan Krismas pada tahun ini mungkin berbeza, tetapi kasih Yesus tidak pernah berubah dan kekal selamanya. Mengapa tidak menjadikan Krismas tahun ini berbeza dengan mengenali Yesus dan karya kasih-Nya dengan lebih mendalam?

 


Tentang Penulis
Pastor Johes Ikal melayani sebagai pastor gereja selama 21 tahun (2020) dan kini dia sedang melayani di SIB Gaur, Kota Belud. Dia sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak.

 

 

read_more