Kuasa Salib
Tetapi aku sekali-kali tidak mau bermegah selain dalam salib Tuhan kita Yesus Kristus, sebab olehnya dunia telah disalibkan bagiku dan aku bagi dunia – Galatia 6:14 (TB)
Rasul Paulus adalah salah seorang pemimpin gereja Kristian awal yang paling berpengaruh. Dia memainkan peranan penting dalam menyebarkan Injil kepada orang bukan Yahudi pada abad pertama dan pelayanan penginjilannya telah membawa dia hampir ke semua tempat di bawah pemerintahan kerajaan Roma pada waktu itu. Paulus dipercayai telah menubuhkan serta membimbing 13 buah gereja dan dia juga ‘mengasuh’ mereka melalui surat-surat penulisannya. Namun untuk memahami petikan di atas, kita perlu tahu siapa rasul Paulus sebelum dia bertaubat dan berubah.
Paulus atau dikenali juga sebagai Saulus (nama Ibraninya) pada suatu waktu dahulu, merupakan seorang penganiaya pengikut Kristus yang terawal. Dia sendiri merupakan seorang pegawai kerajaan Roma, daripada keturunan Benyamin. Kemudian dalam perjalanan ke Damsyik dari Yerusalem, Paulus mengalami pertemuan peribadi dengan Yesus Kristus dan dari saat itu, fokus, hala tuju serta tujuan hidupnya berubah. Paulus mengalami kuasa salib yang telah mengampuni, memulihkan dan memerdekakannya. Oleh sebab telah merasai dan menikmati kuasa salib itu, Paulus teruja dan bersungguh-sungguh mengkhabarkan Injil serta kesaksiannya kepada ramai orang. Selain itu, Paulus turut menjadikan dirinya sendiri sebagai bukti akan kebenaran serta membawa impak dengan kuasa salib. Paulus dalam surat kepada jemaah di Galatia (petikan yang kita baca tadi) menegaskan bahawa karya kasih Yesus Kristus di atas kayu salib itulah penyebab kepada transformasi kepada dirinya itu. Malah, Paulus berkata bahawa dirinya tidak boleh bermegah kerana semuanya adalah usaha Penyelamat semata-mata. Penyaliban Yesus Kristus memisahkan kita daripada dunia dan pengertian ‘dunia’ itu yang membuatkan kita leka, tergoda dan terpisah daripada-Nya (1 Yohanes 2:15-17).
Apakah itu Kuasa Salib?
Kuasa salib bermaksud implikasi atau kesan daripada pengorbanan Yesus Kristus di atas kayu salib. Di kayu salib, Yesus Kristus telah mati, menebus dan membayar lunas dosa-dosa orang yang percaya kepada-Nya. Dalam agama Kristian, salib memberikan gambaran akan dua perkara, iaitu penebusan dan keadilan-Nya. Yesus Kristus adalah Anak Domba Allah yang diutus untuk menjadi korban bagi menghapus dosa dunia (Yohanes 1:29). Untuk memahami mengapa Yesus Kristus disebut sebagai Anak Domba Allah, kita harus merujuk kembali kepada perayaan Paska dalam Keluaran 12. Orang Israel diperintah untuk mengorbankan seekor domba yang tidak bercacat cela dan mencalit darah domba itu di tiang pintu rumah mereka. Darah itu akan menjadi tanda bagi Malaikat Maut yang melalui rumah itu, membiarkan mereka yang ada di dalamnya kekal selamat dan hidup. Setiap tahun pada perayaan Paska, mereka akan mengorbankan anak domba bagi memperingati pembebasan mereka daripada kematian.
Disebabkan oleh pengorbanan Yesus Kristus di atas kayu salib, mereka yang percaya kepada-Nya dijamin hidup yang kekal (Yohanes 3:16). Maka, kuasa salib Kristus adalah penyelesaian terhebat kepada pelanggaran dan dosa manusia. Kuasa salib Kristus mengubah seorang menjadi ciptaan yang baru (Roma 6:6). Kuasa salib Kristus telah mendamaikan kita dengan Allah setelah kita menjadi seteru-Nya selepas kejatuhan manusia ke dalam dosa (Kolose 1:20). Kuasa salib Kristus juga telah melepaskan dan memerdekakan kita daripada ikatan dosa dan hukuman kekal yang menanti (Roma 3:21-31). Kuasa salib Kristus yang telah melayakkan kita dan menjadikan kita benar di hadapan Allah (Roma 3:25). Ini tidak bermaksud bahawa kita tidak lagi bergelut dengan masalah dosa sebagai orang percaya. Banyak cubaan yang kita akan alami mungkin dapat menjatuhkan kita. Namun, kita dapat melawannya dengan hidup dekat dengan Yesus selalu dan bergantung penuh pada Injil Yesus bahawa Dia sudah mati bagi kita, hidup kembali serta mengalahkan dosa dan maut.
Kuasa salib Kristus ini memberi kita kekuatan untuk melawan kedagingan, tipu helah iblis dan pujuk rayunya. Salib Kristus menjadi peringatan kepada keburukan kita, keagungan kasih Allah dan pengadilan-Nya. Dengan salib yang dipikul Kristus itu, kamu dan saya temukan jalan selamat, kebenaran sejati dan juga kehidupan yang baru (Yohanes 14:6). Sesungguhnya, ada kuasa di salib Kristus!
Apabila kita telah merasakan kuasa salib Kristus yang menyelamatkan dan mengubah kehidupan kita, teruslah pikul salib Kristus itu dalam kehidupan kita. Maksudnya? Jauhilah hal-hal yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada diri kita, yang tidak berkenan di hadapan Allah dan yang membuatkan kesaksian kita tidak baik di hadapan orang yang belum percaya. Kita tidak akan mampu melawan dosa atau godaan dunia. Namun jika kita bersandar kepada kuasa salib Kristus, kita pasti dapat menolaknya. Akhir kata, kuasa salib Kristus yang telah menggenapi maksud Allah kepada orang pilihan-Nya agar mereka selamat dan kembali bersama dengan-Nya di syurga pada suatu hari nanti. Kuasa salib Kristus yang menjauhkan kita daripada api neraka dan kuasa salib Kristus yang membuatkan seorang pembunuh seperti Paulus atau seorang pelacur yang hampir direjam dengan batu mendapatkan kehidupan baru. Hanya kuasa salib Kristus mampu melakukannya!
Tentang penulis
Billy Quick merupakan Pastor Sidang di sebuah gereja di Nilai, Negeri Sembilan. Pada masa yang sama, dia turut mengajar di Sekolah Alkitab secara sambilan. Pastor Billy berasal dari Miri, Sarawak.