Kuatkan Dan Teguhkan Hatimu

 

Baca: Ulangan 31:6 “Kuatkan dan teguhkanlah hatimu, janganlah takut dan jangan gemetar karena mereka, sebab TUHAN, Allahmu, Dialah yang berjalan menyertai engkau; Ia tidak akan membiarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau.”

Percaya kepada Yesus – Musim Krismas bermula dengan Adven, iaitu 4 minggu sebelum hari Krismas. Dalam kalendar gereja, keempat-empat minggu ini digunakan untuk persiapan rohani dan persediaan untuk menerima dan menyambut Yesus; kelahiran-Nya dan kedatangan-Nya kedua kali sebagai Raja segala raja dan Tuhan segala tuhan. Jadi hari Krismas merupakan hari kemuncak perayaan orang Kristian dan disambut dengan cukup meriah bersama-sama keluarga dan saudara saudari seiman. Akan tetapi dalam konteks pandemik Covid, pergerakan dihadkan, penjarakan sosial itu diwajibkan, ibadat fizikal tidak dibenarkan, tambahan pula adanya masalah ekonomi dan kehilangan anggota keluarga yang tersayang kerana jangkitan covid. Ramai yang hidup dalam situasi yang tidak stabil dan bergumul dengan isu kemurungan dan ketakutan untuk menghadapi masa depan. Hari Krismas mengingatkan kita bahawa Yesus adalah Imanuel – Tuhan menyertai kita. Percaya kepada Yesus.

 

Hari Krismas mengingatkan kita bahawa Yesus adalah Imanuel

Jangan Takut atau Gementar – Sebab itu dalam Ulangan 31:6, Tuhan memberi janji supaya kita tidak takut atau gementar apabila kita mengalami keadaan yang genting atau situasi-situasi yang mencabar. Ini adalah pengalaman Musa ketika dia berusaha untuk membawa umat Tuhan keluar dari Mesir dan melalui padang gurun selama 40 hari. Banyak cabaran dihadapinya, tetapi Tuhan telah menyertainya dan umat Tuhan dalam kesemua situasi negatif itu serta telah menyediakan kesemua keperluan asas kehidupan mereka; akhirnya mereka menikmati kemenangan. Kita juga harus taat dan berpegang pada janji-janji Tuhan. Berulang kali kita dingatkan dalam Alkitab bahawa kita tidak bersendirian dan Tuhan dekat dengan kita setiap masa – walaupun kita harus merayakan Krismas kali ini secara bersendirian, bersandarlah pada Yesus, dan kamu akan mengalami “Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Kristus Yesus (Filipi 4:7, TB).

 

Kita juga harus taat dan berpegang pada janji-janji Tuhan

Pastikan Kamu Sentiasa Berjalan Bersama dengan Yesus – Dalam Yohanes 16:33 kita mendengar kata-kata Yesus, “semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia.” Kehidupan ibarat suatu perjalanan dan setiap kita harus melalui perjalanan itu dengan penuh keyakinan dan tekad. Alkitab mengingatkan kita bahawa dalam perjalanan ini, kita harus memastikan Yesus menyertai kita, supaya ketika kita menghadapi kesukaran dan cabaran yang amat besar dan rumit; adanya pertolongan di jarak yang sangat dekat. Berdoa dan serahkan kesemua beban kamu kepada Yesus. Dalam 1 Petrus 5:7 kita membaca, “Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”

 

Berdoa dan serahkan kesemua beban kamu kepada Yesus

Semasa saya melayani di Kuala Lumpur, setiap hari apabila saya pergi dari rumah saya ke gereja, saya harus melintasi tempat pelupusan sampah yang jelas dilihat dari jalan raya. Apabila saya menghampiri kawasan itu, saya boleh nampak lori-lori pengangkut sampah sedang melupuskan sampah di sana; bau busuk daripada sampah itu juga amat kuat di kawasan itu. Ini mengingatkan saya bahawa masalah-masalah, perasaan emosi yang negatif dan pengalaman-pengalaman yang pahit dalam kehidupan adalah seperti sampah dan harus dilupuskan dengan cepat. Kalau tidak, hidup kita akan kekal berbau busuk itu. Biarlah Krismas ini membawa suatu keyakinan yang luar biasa bahawa Tuhan akan menguatkan dan meneguhkan hati kita. Kita berusaha untuk melupuskan yang negatif dan mengekalkan yang positif.

 

Doa: Bapa Syurgawi, terima kasih atas janji-Mu dan penyertaan-Mu dalam kehidupan kami melalui Yesus Kristus Tuhan dan Juruselamat kami. Kuatkanlah dan teguhkanlah hati kami, supaya kami tidak takut dan gementar. Dalam nama Yesus, kami berdoa. Amin.

 


Tentang Penulis
Dr. Wilfred J Samuel pernah menjadi pastor di Gereja Lutheran. Kini dia melayani sebagai pengarah Pusat Pengajian Lutheran dan pensyarah di Seminari Teologi Sabah. Dia mempunyai kepakaran mengajar tentang Doktrin Kristian, Teologi Sistematik, Etika Kristian, Teologi Asia, Kerja Sosial, Gereja dan Masyarakat, Sejarah Gereja, Pengurusan/Kepimpinan Pastoral dan Hubungan Ekumenikal.

 

 

read_more