Malaysia Prihatin

 

Di ambang Tahun Baru 2020, hampir semua orang berdoa dan berharap agar tahun baru yang kian menjelang itu bakal membawa hal-hal yang baik, menguntung dan membahagiakan. Namun, setiap orang dikejutkan dengan virus COVID-19 dan kesannya yang begitu tragik sekali. Dunia menyaksikan ratusan ribu orang kehilangan nyawa dan angka itu semakin meningkat saban hari. Pada masa yang sama, ekonomi dunia mulai merudum dan menyebabkan ramai orang kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kemudian mengisytiharkan situasi ini sebagai pendemik. Negara Malaysia tidak terkecuali daripada berhadapan dengan penularan COVID-19.

 

Mereka telah mengorbankan masa dan tenaga, meletakkan diri mereka dalam risiko tinggi bagi memastikan rakyat Malaysia tidak dijangkiti dan keadaan negara kita tetap terkawal daripada situasi panik atau huru-hara.

Seterusnya kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, yang bertujuan untuk mengehadkan pergaulan dalam komuniti demi mengekang penularan COVID-19 di negara kita. Sejak itu, majoriti rakyat Malaysia diperintah untuk mengehadkan aktiviti-aktiviti luaran, selain para petugas barisan hadapan yang berjuang menangani dan membedung penularan virus itu. Pujian juga harus diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, para doktor, jururawat, kakitangan hospital dan sukarelawan-sukarelawan yang telah bertungkus-lumus di barisan hadapan. Mereka telah mengorbankan masa dan tenaga, meletakkan diri mereka dalam risiko tinggi bagi memastikan rakyat Malaysia tidak dijangkiti dan keadaan negara kita tetap terkawal daripada situasi panik atau huru-hara.

 

Akibat daripada sekatan ini, rakyat Malaysia banyak menghabiskan masa mereka di kediaman masing-masing, sambil menyesuaikan diri dengan ‘norma baharu’. Setelah beberapa waktu, rakyat Malaysia mulai berasa kesan dan tekanan akibat daripada sekatan ini, khususnya para peniaga, usahawan kecil-kecilan, ahli perniagaan yang mempunyai hanya satu bisnes dan individu yang bergaji hari. Selain kumpulan-kumpulan yang disebutkan tadi, golongan yang paling terkesan atau merasakan impak negatif ialah golongan ibu atau bapa tunggal, anak yatim piatu, orang gelandangan, pekerja asing, orang miskin dan yang sebatang kara. Apabila tempoh pendemik ini berlarutan, wang simpanan, bekalan makanan, minuman serta keperluan harian semakin berkurangan, rakyat Malaysia kembali panik dan berada di persimpangan dilema tentang apa yang harus dilakukan seterusnya. Kehidupan ramai orang terjejas teruk.

 

Syukurlah kerana kerajaan Malaysia telah mencari beberapa kaedah untuk meringankan beban rakyat, banyak pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta indvidu-individu juga turut tampil membantu melalui pelbagai cara. Sama ada bantuan dari segi kewangan atau kebajikan, kita boleh melihat langkah-langkah ini mula meringankan beban rakyat secara beransur-ansur.

 

Galatia 6:9-10 (AVB), “Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman”.

Walaupun kes pesakit COVID-19 dan penularannya menunjukkan penurunan, namun yang masih terasa dan dialami oleh sebahagian orang adalah krisis ekonomi akibat daripada pendemik ini. Inilah kesempatan untuk berbuat baik, apatah lagi kita sebagai orang Kristian. Inilah saatnya kita berkongsi kasih dan berkat Tuhan kepada orang di sekitar kita, terutamanya mereka yang seiman. Seperti dikatakan oleh Rasul Paulus dalam Galatia 6:9-10 (AVB), “Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman”.

 

Jelas sekali Rasul Paulus mendorong pembaca terdahulu dan kita pada hari ini untuk terus berbuat baik kerana ada upah yang menanti kita jika bukan di bumi ini, pasti di syurga nanti. Paulus juga tidak menginginkan kita berhenti daripada berbuat baik kerana kita akan terlepas menikmati buah daripada perbuatan baik kita itu. Bukan itu sahaja, Paulus mahu kita menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk berbuat baik dan dorongannya menjadi semakin spesifik dengan mengatakan bahawa perbuatan baik kita itu harus dilakukan kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman. Apabila perbuatan baik kita itu dilakukan kepada “semua orang” (jelas sekali juga merujuk kepada mereka yang bukan orang Kristian), kita berharap mereka dapat melihat perbezaan melalui keprihatian dan kemurahan yang ditunjukkan oleh orang Kristian. Apabila kebaikan dilakukan untuk sesama, ini akan meningatkan kita tentang kasih Bapa yang telah menjadikan kita bersaudara dalam Kristus.

 

Dalam Lukas 6:30-31 (AVB) pula, “Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu. Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka”. Kita dapat melihat bahawa Yesus ingin murid-murid-Nya mempunyai keprihatian dan belas kasihan kepada golongan yang kekurangan, lalu memberi dan berkongsi dengan mereka kerana Yesus tahu pasti murid-murid-Nya dan kita pada hari ini mahu diperlakukan dengan cara yang sama ketika kita dalam kekurangan, tekanan dan krisis. Tindakan yang saling memperhatikan dan membantu adalah perbuatan yang baik dan hal ini didasari oleh rasa kasih yang mendalam.

Lukas 6:30-31 (AVB) pula, “Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu. Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka”

 

Keprihatinan kita sebagai orang Kristian dan rakyat Malaysia yang baik juga meliputi ketaatan serta kepatuhan kita kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan . Seperti disebutkan dalam Roma 13:1-3 (AVB), “Setiap orang harus tunduk kepada pihak berkuasa, kerana tidak ada kekuasaan yang tidak datang daripada Allah dan pihak berkuasa yang ada telah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu, sesiapa yang menentang pihak berkuasa menentang peraturan Allah dan sesiapa yang menentang membawa hukuman ke atas dirinya. Pemerintah tidak menakutkan orang yang berbuat baik, hanya mereka yang berbuat jahat. Inginkah kamu bebas daripada rasa takut terhadap pemerintah? Lakukan kebajikan, pasti kamu akan dipujinya.”

 

Paulus menegaskan bahawa kita harus tunduk dan mematuhi perintah serta peraturan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa.

Paulus menegaskan bahawa kita harus tunduk dan mematuhi perintah serta peraturan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa. Di samping itu, dia juga menyeru kita melakukan kebajikan, nescaya kita akan mendapat pujian. Maka saudara-saudara yang dikasihi dalam Kristus, marilah kita sama-sama menunjukkan keprihatinan kita kepada negara ini dengan mematuhi perintah yang diberikan, begitu juga keprihatinan kita kepada sesama rakyat dengan melakukan kebaikan dan kebajikan. Mari kita mengambil bahagian bersama-sama dalam pemulihan negara kita dan semoga situasi kita beransur pulih pada suatu hari nanti. Selamat Hari Malaysia, Tuhan memberkati!

 


Tentang Penulis
Billy Quick adalah seorang pelajar Master of Divinity di sebuah sekolah teologi di Semenanjung Malaysia. Dia berbangsa Iban campuran Kelabit, berasal dari Miri, Sarawak. Dia akan tamat belajar hujung tahun ini dan akan masuk ke dalam pelayanan pada tahun 2021.
 

 

read_more