Memilih Sukacita Walaupun Kanser Tahap 4

 

Baca: ‘Tubuh dan hatiku layu, tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya. (Mazmur 73:26) 

Saya telah didiagnosis dengan Kanser Prostat Tahap 4 dan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi. Ada kalanya sistem imun saya menjadi lemah, memberi kesan kepada tenaga dan emosi saya. Tidak dinafikan, ada saat-saatnya saya berasa sangat sedih, lemah dan tertekan. 

Apabila kita jatuh sakit, ramai orang yang berniat baik akan memberi pelbagai nasihat—buat itu, cuba ini. Namun, saya sedang belajar untuk tetap memandang kepada Yesus, merenungkan firman-Nya dalam Mazmur 61:3: “Kerana Engkaulah tempat aku bernaung, menara perkasa yang melindungiku daripada musuh.” Dengan kasih kurnia-Nya, Tuhan memberi saya kekuatan untuk bertahan dan menghadapi rawatan ini dengan ketabahan. 

Bukan Lagi ‘Saya yang Lemah dan Menderita’ 

Tuhan juga telah memberkati saya melalui orang-orang di sekeliling saya. Saya sangat bersyukur kepada isteri saya yang penyayang dan sentiasa menyokong, keluarga saya serta ahli gereja yang menjaga saya, menyediakan makanan dan menghantar saya ke tempat-tempat yang perlu saya pergi. 

Saya juga sangat berterima kasih kepada kakak saya, seorang bekas pesakit kanser yang kini menghadapi penyakit Parkinson. Walaupun berada jauh di Australia, dia tetap menghubungi saya melalui panggilan video, membaca firman Tuhan, dan meluangkan masa bersama saya. Firman Tuhan begitu berkuasa dan memberi saya ketenangan setiap kali saya mendengarnya. 

Kakak saya pernah berkata, “tiada seorang pun dapat mengelak daripada penderitaan kerana kita hidup dalam dunia yang telah rosak. Tapi kita boleh memilih untuk bersukacita atau terus hidup dalam kesedihan.” Saya mula berfikir, adakah dengan berasa sedih akan membantu saya sembuh? Tidak! Maka saya memilih untuk bersukacita kerana Mazmur 73:26 berkata, “Tubuh dan hatiku layu, tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya.” 

“Kamu betul-betul sakit atau tidak?” 

Bagi saya, tidak perlu melihat diri sendiri dan berkata, “Kasihannya saya.” Jika saya mempunyai pemikiran sebegitu, saya tidak akan mampu menjalani hari-hari saya. Ini bukan bermakna saya menafikan kesakitan yang saya alami, tetapi apabila saya memilih untuk bersukacita, memberi perhatian kepada orang lain dan berusaha membantu mereka, saya mendapati bahawa masalah saya sendiri menjadi kurang membebankan. 

Walaupun menghidap kanser, saya tetap bersukacita dan keluar bertemu orang ramai. Sebelum rawatan kemoterapi bermula, saya masih aktif melayani di gereja serta menghadiri pelbagai perjumpaan Kristian. Saya sedar bahawa saya seorang yang suka bersosial—saya mendapat kekuatan apabila dikelilingi oleh orang lain. Kadangkala, orang yang melihat saya bertanya dengan penuh kehairanan, “Kamu betul-betul sakit atau tidak?”  

Kuncinya di sini adalah untuk tidak hanya melihat keadaan diri sendiri, tetapi untuk mengarahkan pandangan kepada Tuhan dan orang lain. Banyak perkara yang boleh merisaukan saya sekarang, bukan hanya penyakit saya. Saya risau tentang persaraan saya kerana saya tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Namun, saya memilih untuk fokus kepada Tuhan, kerana Dia tahu keperluan saya dan menyediakan “makanan harian” saya. 

Menggalakkan Orang Lain Daripada Terus Fokus kepada Kesakitan Sendiri 

Saya juga memilih untuk menggalakkan mereka yang sakit dan memerlukan penghiburan. Sekarang, apabila keluar masuk hospital, saya mempunyai peluang baru untuk mendekati pesakit lain, ahli keluarga mereka, jururawat dan doktor dengan risalah penginjilan. Tuhan kita ialah Tuhan yang menghubungkan manusia, jadi kita harus terus menjangkau orang lain. 

Pernah suatu ketika, sebelum sesi kemoterapi, saya berkhutbah di sebuah gereja dan diberitahu bahawa ada beberapa jemaah yang menghidap kanser Tahap 1 dan hampir berputus asa. Namun, mereka mendapat dorongan untuk terus berjuang dan tidak menyerah. Saat itulah saya tahu bahawa walaupun saya sakit, Tuhan masih boleh menggunakan saya untuk membantu orang lain.  

Jadi, adakah terdapat seseorang yang anda kasihi dan ingin anda dekati? Saya menggalakkan anda untuk mengambil langkah pertama dan bukan hanya melakukannya sekali-sekala. Seperti kakak saya, anda juga boleh meluangkan masa secara berkala untuk membaca firman Tuhan bersama seseorang. Anda boleh menjadi pendengar yang baik dan sumber semangat bagi mereka sambil terus mengikut pimpinan Tuhan. 


Tentang Penulis

Rev. David Boey ialah bekas Pengarah Pelayanan Gereja di Our Daily Bread Ministries, yang berpusat di Subang Jaya, Selangor. Kini, beliau beribadah di Gereja Methodist Subang Jaya dan mempunyai kasih yang istimewa terhadap orang ramai, makanan, dan Garfield.

 

 

read_more