Mengapa Tuhan Mengasihi Saya?
Mengapa Tuhan begitu mengasihi manusia sedangkan manusia telah melanggar perintah Tuhan? Bukankah Tuhan itu adalah Pencipta, sehingga Dia dapat menciptakan manusia baru menggantikan Adam dan Hawa? Tuhan dapat menganggap Adam dan Hawa sebagai ciptaan yang gagal, kemudian melupuskan mereka dan menciptakan Adam dan Hawa yang baru, yang lebih sempurna. Tetapi Tuhan tidak berbuat demikian. Dia memilih untuk meneruskan rancangan-Nya dengan Adam dan Hawa, suatu ciptaan yang “gagal”. Kita adalah keturunan kepada “ciptaan yang gagal” itu, namun tetap dikasihi Tuhan. Maka kita harus memahami sebabnya “ciptaan yang gagal” ini masih tetap dikasihi Tuhan, agar kita tahu bagaimana hidup di hadapan Tuhan dengan benar.
Mungkin ramai antara kita masih bertanyakan soalan yang sama, “Mengapakah Tuhan mengasihi saya?” atau “Saya sering melakukan dosa, adakah Tuhan masih mahu saya?” Tuhan mengasihi manusia dengan kasih yang besar dan tanpa syarat. Dibuktikan-Nya dengan meninggalkan segala-galanya di syurga, turun ke dunia dan menjadi manusia, seperti ciptaan-Nya (Filipi 2:7), kemudian mengalami sengsara dan mati untuk ciptaan-Nya (Yohanes 3:16). Semua itu dilakukan-Nya kerana satu alasan, iaitu “KASIH”. Kasih pengampunan-Nya sentiasa ada untuk kita.
Dalam Kejadian 2:7, kita dapat menemukan dua alasan Tuhan sangat mengasihi kita.
- Kita adalah ciptaan Tuhan yang dibentuk oleh tangan-Nya sendiri.
- Dalam diri kita ada bahagian diri Tuhan, kerana ketika Dia memberi kehidupan kepada manusia, Dia memberikan nafas-Nya sendiri. Dia memberi daripada hidup-Nya sehingga nafas Tuhan itu ada dalam diri manusia.
Tuhan kita adalah Tuhan yang memberi. Seluruh Alkitab mencatatkan tindakan-tindakan Tuhan yang memberi, sehingga nyawa-Nya sendiri diberikan-Nya agar kita memiliki hidup. Jika ada tindakan-Nya yang mengambil, itu bererti Dia mengambil kembali apa yang memang milik-Nya.
Kita semua harus mengakui bahawa yang paling penting bagi kita adalah kehidupan. Sedar atau tidak, manusia berjuang bermati-matian hanya untuk memastikan agar kehidupan berlangsung. Berjuang untuk hidup itu baik, bahkan sangat perlu. Tetapi lebih perlu untuk sentiasa menyedari bahawa kehidupan yang ada dalam diri kita adalah milik Tuhan, agar kita tidak akan lupa untuk sentiasa hidup dalam ketundukan kepada-Nya, mengucap syukur untuk segala yang ada dan menjelajahi hidup ini dengan cara yang tepat.
Tentang Penulis
Pastor Johes Ikal melayani sebagai pastor gereja selama 23 tahun (2022) dan kini dia sedang melayani di Sidang Injil Borneo Gaur, Kota Belud. Dia sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak.