Menjadi Warganegara Kristian yang Bertanggungjawab
Teks Alkitab: 1 Timotius 2:1-4 “Pertama-tama aku menasihatkan: Naikkanlah permohonan, doa syafaat dan ucapan syukur untuk semua orang, untuk raja-raja dan untuk semua pembesar, agar kita dapat hidup tenang dan tenteram dalam segala kesalehan dan kehormatan. Itulah yang baik dan yang berkenan kepada Allah, Juruselamat kita, yang menghendaki supaya semua orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan akan kebenaran” (Alkitab Terjemahan Baru).
Menjadi warganegara Kristian dan umat Tuhan yang berwibawa merangkumi suatu tanggungjawab holistik terhadap gereja, negara dan masyarakat. Ini melibatkan bidang misi, sosial, politik, ekologi dan sebagainya. Penglibatan ini juga boleh disifatkan sebagai semangat patriotik yang menyokong tanggungjawab awam. Dalam konteks peranan sivil gereja, keprihatinannya terhadap pelbagai bidang kehidupan dan kemasyarakatan diberi keutamaan kerana ini dianggap sebagai tanggungjawab rohani terhadap sesama atau jiran seperti yang tertulis dalam Markus 12:30-31,“Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu. Dan hukum yang kedua ialah: Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri. Tidak ada hukum lain yang lebih utama daripada kedua hukum ini.”
- Berdoa untuk Negara – Jemaah yang bertanggungjawab harus menunjukkan semangat patriotik dengan berdoa bagi negara dan komuniti mereka. Kita juga diingatkan akan tanggungjawab ini dalam Yeremia 29:7, ketika umat Israel dalam pembuangan diarahkan untuk berdoa demi kesejahteraan tempat tinggal mereka. “Usahakanlah kesejahteraan kota ke mana kamu Aku buang, dan berdoalah untuk kota itu kepada TUHAN, sebab kesejahteraannya adalah kesejahteraanmu.” Menjurus kepada tanggungjawab ini, kita harus berdoa untuk situasi pandemik dan kestabilan politik di negara kita.
- Bersuara untuk Keadilan – Bersuara untuk orang-orang yang tertindas dan dipinggirkan dalam masyarakat merupakan semangat patriotik yang menyeluruh dan mempromosikan kasih Kristus. Dalam Amsal 31:8-9 kita diseru, “Bukalah mulutmu untuk orang yang bisu, untuk hak semua orang yang merana. Bukalah mulutmu, ambillah keputusan secara adil dan berikanlah kepada yang tertindas dan yang miskin hak mereka.” Contohnya, tindakan sederhana yang kita boleh lakukan adalah tidak berasa malu untuk memberikan pertolongan secara fizikal atau mental kepada mereka yang tertindas, seperti menghulurkan makanan, perlindungan, pakaian dan memberikan kata-kata dorongan. Kita harus memberanikan diri untuk berpihak kepada golongan yang tertindas.
- Promosi Kedamaian antara Kaum dan Agama – Tuhan Yesus kita adalah Raja Damai seperti yang tertulis dalam Yesaya 9:5, “Sebab seorang anak telah lahir untuk kita, seorang putera telah diberikan untuk kita; lambang pemerintahan ada di atas bahunya, dan namanya disebutkan orang: Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, Raja Damai.” Hidup dalam konteks kepelbagaian agama, budaya dan kaum bukan sesuatu yang baharu bagi gereja. Itulah sebabnya Alkitab mendorong kita mempromosi kedamaian supaya program misi gereja dan kasih Tuhan dapat dinyatakan secara holistik kepada semua orang. Kita dapat mempromosikan kedamaian dengan saling menghormati jiran kita yang berlainan agama, budaya dan kaum. Kita tidak membanding-bandingkan orang berdasarkan latar belakang mereka.
- Tanggungjawab dalam Bidang Politik – Sebagai orang percaya dan gereja, penglibatan dalam bidang politik yang dimaksudkan di sini adalah untuk memperjuangkan sifat-sifat murni seperti keadilan, kebenaran dan damai sejahtera – bukan untuk menubuhkan parti politik. Sebagai gereja, tanggungjawab dalam bidang politik boleh terlaksana dengan; pertama, memastikan hanya ahli-ahli politik yang berwibawa dan baik dipilih, kedua, pastikan ahli-ahli politik yang telah dipilih melaksanakan tugas mereka dengan baik, ketiga, pantau dan menyuarakan isu-isu sosial atau hak asasi yang muncul dalam komuniti melalui wakil yang dipilih, supaya adanya penyelesaian dan negara dapat ditadbir dengan baik. Oleh itu, sangat penting bagi kita untuk memohon hikmat Tuhan untuk memilih orang-orang yang tepat dalam pentadbiran negara.
Doa: Bapa Syurgawi, kami berdoa untuk negara kami supaya adanya kebangkitan rohani, pertumbuhan gereja, keamanan politik, kesejahteraan dalam masyarakat dan perlindungan daripada bencana. Dalam nama Yesus Kristus Tuhan dan Penyelamat kami berdoa, amin.
Tentang Penulis
Dr. Wilfred J Samuel pernah menjadi pastor di Gereja Lutheran. Kini dia melayani sebagai pengarah Pusat Pengajian Lutheran dan pensyarah di Seminari Teologi Sabah. Dia mempunyai kepakaran mengajar tentang Doktrin Kristian, Teologi Sistematik, Etika Kristian, Teologi Asia, Kerja Sosial, Gereja dan Masyarakat, Sejarah Gereja, Pengurusan/Kepimpinan Pastoral dan Hubungan Ekumenikal.