Norma Baru: Belajar daripada kehidupan Daniel dan tiga kawannya

 

Perdana Menteri Malaysia pernah berkata bahawa keadaan yang kita lalui sekarang mungkin akan berterusan agak lama, mungkin setahun atau lebih. WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) pula berkata bahawa pandemik ini kemungkinan tidak akan hilang dan akan terus berada di tengah-tengah masyarakat. Kehidupan manusia berubah dengan kemunculan virus COVID-19. Kehidupan masyarakat yang tenang kini dalam ketakutan, kebiasaan untuk berkumpul dalam komuniti yang selama ini sudah mendarah daging, mahupun diwarisi daripada nenek moyang, namun sekarang semuanya berubah sehingga kita harus “stay at home”. Kebebasan diragut daripada kita dan kita harus belajar dengan cara hidup baru atau norma baru.

 

Norma baru yang dimaksudkan dalam konteks ini adalah kita perlu menyesuaikan diri dengan sekatan-sekatan baru ekoran penularan pandemik COVID-19 seperti gereja kekal ditutup kepada orang ramai orang. Norma baru ini juga termasuklah dunia digital akan menjadi alat utama untuk berhubungan dengan anggota gereja, keluarga, dan rakan-rakan. Kebiasaan seperti berjumpa untuk “kupi-kupi” tidak lagi bebas seperti sebelum penularan virus ini. Ada rakan-rakan dan anggota gereja kita yang telah kehilangan pekerjaan dan mengalami kerugian dalam perniagaan.

 

Norma baru ini adalah seperti keadaan 4 pemuda Israel di Parsi. Beribu-ribu tahun yang lalu, beberapa pemuda Israel mengalami perkara yang sama. Kebebasan hidup mereka diragut kerana penawanan kerajaan Yahuda oleh kerajaan Babilonia.

 

Mereka terdiri daripada sekumpulan orang yang dibawa ke negara Babilonia sebagai orang tawanan. Antara mereka, 4 orang pemuda iaitu Daniel, Hananya, Misael dan Azarya, pemuda yang terpilih untuk dijadikan pekerja di negara yang menawan mereka. Untuk layak menjadi pekerja bagi kerajaan Babilonia, mereka harus mengikuti dan menerima penyucian otak;

 

  1. Budaya Babilonia

    Mereka harus belajar tulisan & bahasa Babilonia selama 3 tahun.

  2.  

  3. Identiti baru

    Mereka harus menerima nama baru, iaitu Beltsazar, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego.

  4.  

  5. Makanan yang baru

    Mereka diberi makanan yang disantap oleh Raja Nebukadnezar sendiri, yakni makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala.

 

Dalam perkara 1& 2, Daniel dan teman-temannya menerima perubahan ini kerana mereka menyedari bahawa mereka ialah orang tawanan dan hidup di negara asing. Tetapi dalam perkara 3, Daniel dan teman-temannya berpendirian tegas untuk tidak menajiskan diri.

 

Mereka perlu menyesuaikan diri dengan makanan, budaya dan kepercayaan agama yang baru.

Norma baru yang mereka terpaksa hadapi tidak menjejaskan iman dan pendirian mereka.

Namun, mereka tetap berpegang teguh kepada Tuhan Israel. Norma baru yang mereka terpaksa hadapi tidak menjejaskan iman dan pendirian mereka. Cara mereka menjalani norma baru di Babilonia tiada perbezaan dengan cara mereka menjalani hidup lama mereka di Israel: mereka tetap taat dan setia kepada Tuhan. Akibatnya, mereka menerima hukuman, Daniel dimasukkan ke dalam gua singa dan 3 rakannya dimasukkan ke dalam relau api (Daniel 3:16-23; 6:17).

 

Namun, Tuhan telah mengirimkan malaikat-Nya untuk melindungi mereka sehingga mereka sedikit pun tidak tercedera.

Peribadi yang akan menyelamatkan manusia daripada hukuman api kekal ialah Yesus.

Dalam cerita 3 rakan Daniel, Raja Nebukadnezar melihat ada orang keempat dalam relau api tersebut: “Tetapi ada empat orang kulihat berjalan-jalan dengan bebas di tengah-tengah api itu; mereka tidak terluka, dan yang keempat itu rupanya seperti anak dewa!” (Daniel 3:25 TB). Ramai yang mengulas bahawa kelibat seseorang yang dilihat dalam ayat ini adalah pra-jelmaan Yesus Kristus dalam Perjanjian Lama (Yesaya 43:2; Mazmur 91:9-12). Peribadi yang akan menyelamatkan manusia daripada hukuman api kekal ialah Yesus.

 

Tiada sesiapa suka hidup dalam norma baru, pengasingan dan terkongkong. Namun keadaan ini harus kita terima sebagai norma hidup. Sebagai orang percaya kepada Tuhan yang kita kenal melalui Tuhan Yesus Kristus, kita harus mencontohi Daniel dan kawan-kawannya dengan tidak berkompromi dalam hal-hal mengikut dan melakukan kebenaran dalam firman Tuhan. Cara hidup dan cara beribadah kita boleh diubah tetapi iman kita harus teguh.

 

Daniel 1:2 mencatatkan, “Tuhan membenarkan Raja Nebukadnezar menawan Raja Yoyakim dan merampas sebahagian daripada barang-barang berharga di Rumah TUHAN. Raja Nebukadnezar membawa bersama-samanya beberapa orang tawanan dan menempatkan mereka di kuil dewa-dewanya di Babel”. Hal ini menyatakan perubahan dalam tatacara ibadah di Rumah TUHAN.

 

Namun walau apa pun situasi yang dihadapi oleh Daniel dan kawan-kawannya, iman mereka kepada Allah tidak dikompromi. Pendirian Daniel dan kawan-kawannya yang tegas agar tidak menajiskan diri membuat Tuhan menyatakan diri dan kekuasaan-Nya di atas alam semesta ini.

 

Akhirnya, apakah hasilnya? Daniel 2:46-48 berkata, “Sesungguhnya Allahmu agung antara semua dewa; Dialah Tuhan semua raja”. Raja Nebukadnezar mengakui bahkan sujud menyembah Allah Daniel dan kawan-kawannya.

Norma baru boleh saja berkuasa atas kehidupan orang percaya, tetapi orang percaya dapat mengalahkannya dengan tetap hidup dalam kebenaran firman Tuhan.

 

Inilah persaingan antara kemenangan dan norma baru. Norma baru boleh saja berkuasa atas kehidupan orang percaya, tetapi orang percaya dapat mengalahkannya dengan tetap hidup dalam kebenaran firman Tuhan. Semasa kita menempuhi norma baru kehidupan pada hari ini dan akan datang, tetaplah berpegang teguh pada iman dalam Yesus, taat dan setia kepada-Nya dalam segala keadaan. Kita tidak sendirian kerana Yesus sedang berjalan bersama-sama dengan kita.

 


Tentang penulis
Pastor Juakim Digi pernah melayani sebagai penginjil pada tahun 1986-1987 dan melayani sebagai pastor sidang (SIB) sejak tahun 1989 sehingga kini. Dia sudah berkahwin dengan pastor Domoi@Helda Giot dan dikurniakan 3 orang anak.
 

 

read_more