Perwatakan Kristus, Identiti Kita
Di dunia hiburan, para pelakon memainkan watak yang bukan perwatakan mereka yang sebenar. Mereka berusaha sebaik mungkin menguasai watak yang diberikan kepada mereka agar lakonan mereka kelihatan asli sehingga para penonton lupa seketika bahawa itu adalah lakonan. Ada antara mereka mempunyai kemampuan untuk memainkan beberapa watak yang berbeza. Dengan kebolehan ini, mereka berjaya menghibur para peminat, tetapi ada juga yang mengalami gangguan emosi. Lakonan mereka hanya bermaksud untuk menghibur, sehingga tidak banyak manfaat yang kita dapat daripada lakonan-lakonan mereka selain daripada hiburan semata-mata.
Dalam sebuah filem ada beberapa watak utama. Tetapi dalam kekristianan hanya ada satu watak utama, iaitu Yesus Kristus. Namun Yesus datang ke dunia bukan sebagai pelakon yang melakonkan suatu watak, melainkan Allah yang menyatakan perwatakan asli-Nya yang mulia dan agung. Dia datang ke dunia bukan sebagai penghibur semata-mata melainkan sebagai Penyelamat. Dia hidup di antara manusia agar manusia dapat mengenal-Nya dan meneladani perwatakan-Nya. Apakah perwatakan Kristus itu?
Perwatakan Kristus dapat disimpulkan dalam satu kata, iaitu “KASIH”. Dalam Perjanjian Lama, Allah memberi beberapa peraturan yang menjadi panduan bagi manusia untuk hidup benar di hadapan-Nya, dan bagaimana memperlakukan sesama manusia dengan benar. Matius 22:37-40 mengatakan bahawa semua ajaran itu dirangkum dalam dua hukum utama yang sama penting, iaitu mengasihi Allah dengan segenap hati, segenap jiwa dan segenap akal budi, serta mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri. Perwatakan Allah diberitahukan dengan cara yang mengilhami orang-orang yang dipilih-Nya. Tetapi dalam Perjanjian Baru, Allah sendiri menyatakan perwatakan-Nya melalui kewujudan-Nya dalam bentuk manusia Yesus Kristus yang penuh kasih. Dia menyatakan keperibadian-Nya dengan maksud agar manusia mencontohinya, dan menjadikannya amalan kehidupan sehari-hari.
Perwatakan Kristus harus dipancarkan melalui kehidupan kita. Dalam Matius 5:14-16, kita belajar bahawa dalam diri kita ada cahaya, dan cahaya itu harus menerangi orang lain. Cahaya itu bukan daripada diri kita melainkan daripada Allah. Saat kita memancarkan cahaya itu, kita memancarkan kasih Kristus kepada dunia.
Untuk mencapai kehidupan yang dapat memancarkan perwatakan Kristus, kita harus selalu berhubung dengan Dia. Saya pernah bercita-cita menjadi kontraktor. Lalu seorang kontraktor berkata kepada saya, “Jika kamu ingin menjadi kontraktor, kamu harus bergaul dengan para kontraktor supaya kamu disuntik dengan semangat dan cara fikir mereka”. Konsep ini juga boleh dirujuk dalam hubungan kita dengan Yesus Kristus. Apabila kita bergaul akrab dengan Dia, kita akan tersuntik dengan keperibadian-Nya. Yohanes 15 memberi perumpamaan seperti ranting anggur yang hanya berbuah jika tetap bercantum pada pokoknya.
Memancarkan perwatakan Kristus bukanlah satu tugas, melainkan gaya kehidupan kita (gaya hidup sehari-hari). Ia adalah identiti kita sebagai Kristian. Jika itu dianggap sebagai tugas, ada waktunya kita akan berasa lelah untuk melakukannya dan akhirnya kita putus asa. Tetapi apabila itu menjadi gaya hidup kita, tanpa dipaksakan, ia dengan sendirinya berlaku, dan kita akan benar-benar menikmatinya dengan sukacita. Kita juga dapat memancarkan Kristus, walau apapun keadaan.
Kegagalan untuk memancarkan perwatakan Kristus bukanlah disebabkan oleh ketidak mampuan, melainkan kerana gagal dalam membentuk sikap dan kebiasaan. Ini disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah memiliki minat yang sangat kurang terhadap hal-hal mengenai Yesus Kristus, sehingga tidak menyediakan waktu khusus untuk bersekutu dengan-Nya. Selain itu, terlalu mengisi fikiran dengan hal-hal lahiriah sehingga fikiran untuk hal-hal rohani semakin kurang. Jika ini berlaku, kita haruslah mengambil tindakan memperbaiki keadaan itu agar kita tidak terus menerus hidup dalamnya. Kita haruslah mengosongkan diri dari gaya hidup duniawi, atau gaya hidup yang kita mahu, dan mengisi hidup kita dengan gaya hidup Kristus atau yang diinginkan Kristus. Kerana selagi kita hidup dalam gaya hidup duniawi, kita tidak mungkin dapat memancarkan kasih Kristus dalam kehidupan kita.