Dipanggil untuk Bermain, Bukan Menonton

 

Bacaan Ezra 10:4: “Bertindaklah kerana itulah tanggungjawab tuan. Kami akan menyokong tuan dengan sepenuhnya. Bertindaklah dengan tegas sehingga perkara itu selesai.”

 

Sekarang adalah musim Piala Dunia. Menonton Arab Saudi mengalahkan Argentina dan kemudian Jepun menang menentang Jerman mengimbau kenangan Piala Dunia sebelum ini. Sejak Diego Maradona memukau saya sebagai anak muda di Mexico pada tahun 1986 dengan ketangkasannya, saya telah menjadi peminat dan pengikut Piala Dunia FIFA.

 

Sepanjang hidup saya, saya juga mendapat keistimewaan untuk menyaksikan Piala Dunia secara langsung pada tahun 1994, 1998, dan 2002. Berada di stadium bersama-sama dengan para peminat yang bersorak dan berteriak adalah satu pengalaman yang luar biasa.

 

Namun, menonton tetap menonton sama ada kita berada di stadium atau menonton melalui TV. Kita masih hanya pemerhati dan bukan pemain dalam permainan. Kita mungkin “berpeluh” melihat pasukan kita kalah, tetapi ia masih jauh berbeza jika dibandingkan dengan peluh dan kesakitan atlet di atas padang.

 

Kita dipanggil untuk bermain, bukan menonton

 

Dan saya percaya Tuhan sedang memanggil kita untuk menjadi lebih daripada sekadar penonton dalam persekitaran kita pada masa ini. Kita dipanggil untuk membuat perubahan dan satu-satunya cara kita boleh melakukannya adalah dengan mengambil bahagian. Kita dipanggil untuk bermain, bukan menonton.

 

Apa salahnya menonton?

Menurut kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine, secara purata, setiap jam yang digunakan untuk menonton TV selepas umur 25 tahun mengurangkan jangka hayat penonton sebanyak 21.8 minit. Menonton TV lebih kerap akan menjadikan hidup kita lebih pendek kedengarannya seperti tidak masuk akal. Malah, semakin saya meneliti perkara ini, saya semakin bimbang. Beberapa penemuan penyelidikan menunjukkan bahawa:

 

  1. Masa skrin yang berlebihan boleh menyebabkan obesiti, masalah tidur, masalah sakit leher dan belakang yang kronik, kemurungan, kebimbangan, dan markah ujian yang lebih rendah kepada kanak-kanak dan orang dewasa.
  2. Menjamu selera sambil menonton TV menyebabkan ketidakseimbangan nisbah pengambilan dan pembakaran kalori, yang menyebabkan “gangguan makan” dan berat badan berlebihan.
  3. Jumlah penonton TV yang tinggi dikaitkan dengan tahap penglibatan politik dan sivik yang rendah.
  4. TV kerap menggantikan interaksi sesama manusia yang membawa kepada masalah pengasingan sosial.

Kita manusia tidak diciptakan untuk duduk diam dan hanya memerhati. Masa yang kita habiskan untuk menonton TV boleh digunakan dengan lebih baik untuk melibatkan diri dalam kehidupan—pelayanan, permainan, pergaulan, atau bahkan menghasilkan sesuatu yang baharu. Tuhan menciptakan kita untuk bergerak dan aktif. Yesus berjalan sambil bercakap, dan kemungkinan besar dia mengajar sambil berdiri. Dia bergerak.

 

Tuhan menciptakan kita untuk bergerak dan aktif

Menonton Piala Dunia selama sebulan adalah aktiviti yang hebat. Tetapi, kita perlu bermain permainan itu. Jadi, apakah yang boleh kita pelajari daripada menonton Piala Dunia dan bagaimana kita menerapkannya dalam permainan kehidupan kita sendiri? Berikut adalah perkara yang kita boleh pelajari:

 

Teruskan menikmati hidup, tanpa mengira apa hasilnya

Saya menghadiri perlawanan Piala Dunia tunggal Jamaica pada tahun 1998 di Perancis. Argentina menewaskan pasukan Bob Marley 5-0. Tetapi apa yang berlaku di tempat penonton akan mengejutkan anda. Ketika gol masuk, penyokong Jamaica bukannya kecewa, sebaliknya meraikannya dengan mengadakan satu pesta besar di tempat penonton. Tidak kisah pasukan mereka kalah teruk; mereka hanya menikmati permainan. Paulus memanggil kita dalam Kolose 1:24 untuk bersukacita sepanjang masa, walaupun dalam penderitaan. Adakah kita melakukannya?

 

Semuanya tentang kerja berpasukan, bukannya bakat individu

Hampir setiap Piala Dunia (kecuali kemenangan Argentina pada tahun 1986) dimenangi melalui usaha berpasukan, bukan kecemerlangan individu. Sebagai komuniti Kristian di Malaysia, kita dipanggil untuk menjadi “satu tubuh dan satu Roh” (Efesus 4:4-6), bersatu sebagai satu gereja. Apabila kita bekerjasama dalam pelayanan dan dalam kehidupan, kita menang sebagai tubuh Kristus. Daripada pemerhatian saya, ini adalah bidang yang perlu kita usahakan. Banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk menyokong pelayanan antara interdenominasi, bekerjasama meneruskan pelayanan Tuhan dan bekerja dalam satu roh.

 

Anda tidak boleh menang jika anda tidak mencuba

Untuk Piala Dunia tahun ini, Nike mengeluarkan iklan multiverse sensasi yang telah membuatkan semua orang teruja. Iklan diakhiri dengan slogan “Bangkitlah!,” menyeru penonton untuk turut serta dalam permainan.

 

Seperti slogan jenama pakaian sukan “Just do it” (Lakukan sahaja) adalah seruan untuk semua orang mengambil tindakan, kita sebagai orang Kristian perlu “Just shine” (Bersinarlah) sebagai Cahaya dalam apa jua keadaan kita, “Just be the salt” (Jadilah garam) yang menambah perisa dan rasa; serta menjadikan keadaan lebih baik dan “Jadilah kota di atas bukit yang tidak dapat disembunyikan,, membolehkan semua orang melihat kemuliaan Tuhan melalui kehidupan kita (Matius 5:14-16).
Jadi, jangan hanya menonton – lakukan sahaja kehendak dan kerja Tuhan!

 


Tentang Penulis
Roshan Tihran adalah ‘Kuli’ di Leaderonomics dan terlibat dalam Wawasan Penabur, Scripture Union dan Global Leadership Network ministries. Beliau merupakan seorang penceramah global dan juga menulis buku mengenai kepimpinan dan telah bekerja untuk pelbagai MNC global.

 

read_more